USS Carl Vinson Kini Di Laut China Selatan, Tangani “Provokasi” China

Tidak dapat dipastikan sama ada kehadiran USS Carl Vinson ke bahagian selatan Laut China Selatan itu berkait  dengan “provokasi” berterusan kapal-kapal pengawal pantai China di Laut Natuna serta di Beting Patinggi Ali milik Malaysia.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat, USS Carl Vinson (CVN-70) kini berada di bahagian selatan Laut China Selatan, tidak jauh daripada Laut Natuna dan Beting Patinggi Ali yang kerap didatangi kapal-kapal pengawal pantai China dan kapal survey milik negara itu.

Tidak dapat dipastikan sama ada kehadiran USS Carl Vinson ke bahagian selatan Laut China Selatan itu berkait  dengan “provokasi” berterusan kapal-kapal pengawal pantai China di Laut Natuna serta di Beting Patinggi Ali milik Malaysia.

Bagaimanapun, kehadiran USS Carl Vinson yang diiringi oleh kapal cruiser USS Lake Champlain (CG 57) dan kapal destroyer USS Chafee (DDG 90) serta Littoral Combat Ship USS Tulsa (LCS-16) itu semenangnya adalah “satu amaran” kepada tindakan agresif China di Laut China Selatan itu.

Ini merupakan kali pertama, kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat itu beroperasi di kawasan operasi 7th Fleet.

Sebagaimana yang kerapkali dilaporkan oleh Defence Security Asia dan media-media lain, kapal-kapal pengawal pantai China kerapkali berlabuh berhampiran dengan Beting Patinggi Ali serta melakukan rondaan di kawasan-kawasan perairan berhampiran.

Kedudukan USS Carl Vinson.

 

Beting Patinggi Ali milik negara terletak kira-kira 80 batu nautika daripada kawasan pesisir pantai Sarawak, bagaimanapun Beijing mendakwa ia adalah wilayah paling selatannya (southern most territory).

Perairan di sekeliling Beting Patinggi Ali diketahui sebagai antara kawasan yang paling kaya dengan sumber-sumber minyak dan gas, dengan PETRONAS serta rakan-rakan tempatan dan asingnya yang lain sedang bekerjasama untuk membangunkannya.

Di antara bulan Mei hingga Ogos, admin ada melaporkan bagaimana kapal-kapal pengawal pantai China  melakukan rondaan dan “provokasi” terhadap kapal-kapal tunda milik syarikat tempatan yang membawa peralatan industri minyak dan gas di lapangan/blok berhampiran.

Menurut laporan oleh Asian Maritime Transparency Institute (AMTI), data daripada Marine Traffic menunjukkan pada 4 Jun sebuah kapal pengawal pantai China CCG 5403 belayar hampir dengan Sapura 2000 (derick pipelay barge) apabila kapal itu berada di Lapangan Kasawari bersama bot-bot sokongan yang lain.

Sapura 2000 dikontrak untuk memasang “jacket and topside of the wellhead platform” di Lapangan Kasawari yang terletak di Blok SK316 milik syarikat negara, Petronas.

Menurut AMTI itu lagi, kapal pengawal pantai China itu berbuat demikian walaupun kapal TLDM, Bunga Mas 5 berada berhampiran.

Lapangan Kasawari itu ditemui pada 2011 dan terletak kira-kira 100 batu nautika daripada pusat kemudahan pemprosesan gas asli di Bintulu, Sarawak.

Kehadiran kapal-kapal pengawal pantai China di sekitar perairan Beting Patinggi Ali (di dalam EEZ Malaysia) adalah “well-documented” dan telah berlaku selama bertahun-tahun.

Beberapa hari lepas pula, sebuah kapal ocean survey milik kerajaan China, Haiyang Dizhi 10 bersama-sama sebuah kapal pengawal pantai China dikesan berada di Blok Tuna, kawasan carigali minyak dan gas milik Indonesia di Laut Natuna.

Laporan juga mengatakan sebuah kapal perang China berada berhampiran.

Sehingga kini, kerajaan Indonesia tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tentang kehadiran kapal-kapal milik China di salah satu lapangan minyak dan gasnya yang paling produktif di Laut Natuna, yang terletak di bahagian paling selatan di Laut China Selatan.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

BetingLaut China SelatanLaut Natuna Patinggi AliUSS Carl Vinson