Ukraine Sahkan Pesawat Pejuang F-16 Pertamanya Telah Dimusnahkan Oleh Russia

Ukraine juga mengesahkan bahawa juruterbang F-16 Ukraine itu yang dikenali sebagai “Oleksiy Mes” telah terbunuh dalam serangan Russia itu, yang memusnahkan pesawat pejuang yang dibekalkan oleh negara-negara NATO itu.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pihak tentera Ukraine mengesahkan bahawa sebuah daripada pesawat pejuang F-16 miliknya yang dibekalkan oleh NATO telah musnah dalam serangan peluru berpandu dan dron berani mati Russia beberapa hari lalu.

Ukraine juga mengesahkan bahawa juruterbang F-16 Ukraine itu yang dikenali sebagai “Oleksiy Mes” telah terbunuh dalam serangan Russia itu, yang memusnahkan pesawat pejuang yang dibekalkan oleh negara-negara NATO itu.

Ia adalah pesawat pejuang F-16 pertama milik Ukraine yang dibekalkan oleh NATO disahkan musnah dalam konflik Ukraine-Russia sejak ia tiba di Kiev pada awal bulan ini.

Pihak tentera Ukraine menyatakan bahawa pesawat pejuang F-16 itu telah terhempas sejurus selepas ia berjaya menembak jatuh tiga buah peluru berpandu kruis dan sebuah dron berani mati yang dilancarkan oleh Russia terhadap Ukraine.

“Juruterbang pesawat pejuang F-16 (yang terhempas) itu telah menyelamatkan penduduk Ukraine daripada serangan pelurun berpandu Russia,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Tentera Udara Ukraine di media sosial.

“Bagaimanapun, juruterbangnya terbunuh.”

Juruterbang F-16 Ukraine yang terbunuh, Oleksiy Mes, 31.

 

Menurut penganalisis, pengesahan kemusnahan pesawat pejuang F-16 pertama dibekalkan kepada Ukraine disifatkan sebagai berita buruk kepada Ukraine dan presidennya Volodymr yang berjanji bahawa penghantaran pesawat pejuang buatan Amerika Syarikat itu akan memberikannya “kemenangan” dalam konfliknya dengan Russia.

Apa yang berlaku adalah, tidak sampai sebulan pesawat pejuang F-16 itu tiba di Ukraine, pesawat pertama buatan syarikat Lockheed Martin telah berjaya dimusnahkan oleh tentera Russia.

Apa yang dibimbangi adalah pesawat-pesawat pejuang F-16 buatan Barat yang dibekalkan kepada Ukraine akan menjadi seperti senjata-senjata Barat lain yang dibekalkan kepada Kiev seperti kereta kebal Abrams, Challenger dan Leopard tetapi gagal membantu tentera negara itu dalam konfliknya dengan Russia, walaupun pada mula didakwa akan mengubah keadaan di medan peperangan.

Apatah lagi pesawat-pesawat F-16 yang dibekalkan kepada Ukraine itu adalah daripada varian awal yang sudah tidak lagi digunakan oleh negara-negara penggunanya disebabkan sudah terlalu berusia.

Tentera Udara Ukraine mengesahkan bahawa ia menggunakan pesawat-pesawat pejuang F-16 yang dibekalkan oleh NATO itu untuk menembak jatuh peluru-peluru berpandu dan dron berani mati yang dilancarkan oleh Russia baru-baru ini.

F-16 Ukraine

 

Russia melancarkan lebih daripada 200 peluru berpandu dan dron berani mati terhadap kedudukan tentera dan awam di Ukraine.

Tidak dapat dipastikan jumlah sebenar pesawat pejuang F-16 dimiliki oleh Ukraine pada ketika ini, tetapi negara-negara NATO dipercayai telah membekalkan kira-kira 65 buah pesawat pejuang itu kepada negara Eropah Timur itu selepas Amerika Syarikat memberikan kebenaran terhadap penghantarannya.

Negara anggota NATO, Belanda dilaporkan telah membekalkan 24 buah pesawat pejuang F-16 kepada Ukraine. — DSA

 

F-16featuredRussiaUkraine
Comments (0)
Add Comment