“Kami Tetap Berminat Untuk Perolehi Eurofighter Typhoon,” Pegawai Pertahanan Turkiye

Walaupun Amerika Syarikat meluluskan penjualan 40 buah F-16 Block 70 dan 80 kit pemodenan kepada Turkiye, namun Ankara tetap berminat untuk memperolehi pesawat pejuang Eurofighter Typhoon.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Turkiye mengekalkan minatnya terhadap pesawat pejuang Eurofighter Typhoon, walaupun Amerika Syarikat telah memberikan kelulusan kepadanya untuk membeli 40 buah pesawat pejuang F-16 Block 70 dan 80 kit permodenan bernilai US$23 billion (RM103 billion).

Bercakap kepada agensi berita Reuters, seorang pegawai kanan di Kementerian Pertahanan Turkiye berkata, negara Mediterranean itu masih mahu membeli pesawat pejuang Eurofighter Typhoon.

“Kami (Turkiye) masih berminat, kami harap anggota konsortium iaitu Jerman bersikap positif di dalam isu ini,”menurut pegawai berkenaan.

Jerman enggan meluluskan penjualan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu kepada Turkiye kerana “bengang” dengan kritikan-kritikan keras negara Mediterranean itu terhadap tindakan ketenteraan Israel di Semenanjung Gaza yang sehingga kini telah mengorbankan 28,000 orang.

Pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu dibangunkan oleh konsortium empat buah negara Eropah, Britain, Jerman, Sepanyol dan Itali.

Pesawat pejuang Eurofighter Typhoon.

 

Sebarang penjualan pesawat pejuang itu memerlukakn persetujuan keempat-empat buah negara itu.

Pada November tahun lepas, Turkiye menyatakan bahawa ia telah memulakan perbincangan dengan negara-negara konsortium pembuat pesawat Eurofighter Typhoon terutamanya Britain untuk memperolehi 40 buah varian terkini pesawat pejuang Eurofighter Typhoon dikenali dengan nama “Tranche 4.”

Bagaimanapun halangan daripada Jerman berkemungkinan besar akan membantutkan hasrat Turkiye untuk memiliki pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu.

Dilengkapi dengan radar AESA “CAPTOR E”, Eurofighter Typhoon Tranche 4 dikatakan adalah varian pesawat pejuang termoden Eropah yang boleh berkhidmat sehingga ke tahun 2060. 

Jerman dikatakan telah memesan 38 buah pesawat pejuang Typhoon Tranche 4.

Pada akhir bulan lepas, pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Jo Biden dilaporkan telah menulis surat kepada Kongres negara itu meminta supaya mereka meluluskan penjualan 40 buah pesawat pejuang F-16 Block 70 dan 80 buah kit pemodenan pesawat pejuang itu kepada Turkiye.

Pesawat pejuang F-16 Turkiye

 

Surat itu dihantar selepas Parlimen Turkiye meluluskan meluluskan undang-undang menyokong kemasukan Sweden ke dalam NATO, sekaligus mengesahkan usaha negara Nordic itu untuk menyertai pakatan ketenteraan yang tertangguh selama 2 tahun.

Sweden akan menjadi negara anggota NATO yang ke-32.

Turkiye merupakan pengguna terbesar F-16 di luar Amerika Syarikat dengan 250 buah pesawat, sebahagian besarnya dibina sendiri secara berlesen oleh industri pertahanan negara itu.

Pentadbiran Amerika Syarikat dan kongres negara itu meletakkan persetujuan Turkiye terhadap kemasukan Sweden ke dalam NATO sebagai syarat utama untuk ia meluluskan penjualan pesawat-pesawat pejuang F-16 Block 70 kepada negara Mediterranean itu. — DSA

To contact email: lulwabyadah@gmail.com 

featuredPesawatTurkiyeTyphoon
Comments (0)
Add Comment