Pesawat Pejuang Gen-5 Turkiye Mula Ujian Darat, Penerbangan Sulung Akhir Tahun

Pesawat prototaip pertama TF-X yang dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI) telah bergerak ke landasan menggunakan enjinnya sendiri, untuk memulakan pelbagai ujian teknikal di daratan, sebelum ia melakukan penerbangan sulungnya yang dijangkakan berlaku pada akhir tahun ini.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Buat pertama kalinya, pesawat generasi kelima Turkiye, National Combat Aircraft (MMU) atau “TF-X” telah dibawa keluar daripada hangarnya untuk menjalani ujian teknikal (taxiing) di landasan.

Menurut laporan, pesawat prototaip pertama TF-X yang dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI) telah bergerak ke landasan menggunakan enjinnya sendiri, untuk memulakan pelbagai ujian teknikal di daratan, sebelum ia melakukan penerbangan sulungnya yang dijangkakan berlaku pada akhir tahun ini.

TAI merancang untuk menampilkan (rollout) pesawat prototaip TF-X buat itu pertama kalinya kepada seluruh dunia pada hari ini. (18 Mac)

Ia adalah detik bersejarah bagi industri pertahanan dan penerbangan Turkiye yang berusaha membangunkan pelbagai sistem pertahanan sebagai respons terhadap permintaan pasaran dan juga sekatan senjata oleh beberapa negara.

Bagi pesawat pejuang generasi kelima Turkiye itu, Ankara mengambil keputusan untuk memperhebatkan program pembangunan pesawat itu selepas ia dikeluarkan daripada program pembangunan pesawat pejuang F-35 berikutan perolehan sistem pertahanan udara S-400 buatan Russia.

Washington bimbang rahsia dan kemampuan pesawat F-35 itu akan terdedah akibat pengoperasian sistem pertahanan udara S-400 oleh Turkiye.

Amerika Syarikat bertindak membatalkan perolehan kira-kira 100 buah pesawat F-35 yang telah ditempah oleh Turkiye, mendorong Presiden Recep Tayyep Erdogan untuk melancarkan program pembangunan pesawat Gen-5.

Ketua Pegawai Eksekutif TAI Prof Temel Kotil dilaporkan berkata bahawa pesawat pejuang generasi kelima Turkiye itu akan melakukan penerbangan sulungnya pada minggu ketiga Disember tahun ini, iaitu dua tahun lebih awal daripada jadual asalnya pada tahun 2025.

“Program pembangunan pesawat generasi kelima TF-X telah berjalan dengan amat baik, penerbangan sulung sepatutnya dijadualkan pada tahun 2025 tetapi jadual (penerbangan sulung) itu telah dijadualkan semula  kepada akhir tahun ini (2023),” kata beliau kepada media tempatan.

Hampir 100 peratus pesawat generasi kelima Turkiye itu dibangunkan oleh industri pertahanan negara itu, kecuali beberapa bahagian pesawat seperti kerusi anjal (ejection seat), enjin dan joystick (controller).

Bagaimanapun ketiga-tiga komponen asing pada pesawat TF-X itu akan digantikan dengan komponen buatan Turkiye apabila pembangunan pesawat itu memasuki fasa lebih maju.

Kesemua 10 buah pesawat prototaip TF-X akan dilengkapi dengan dua enjin buatan General Electric  F110, yang amat dikenali oleh pihak Turkiye kerana ia turut digunakan oleh pesawat-pesawat F-16 C/D milik negara itu dan dipasang di dalam negara.

Bagaimanapun untuk pesawat-pesawat produksi bersiri (serial production) TF-X, ia akan menggunakan enjin-enjin yang lebih berkuasa dihasilkan oleh syarikat Turki sendiri dengan kerjasama syarikat luar sama ada Rolls-Royce atau syarikat lain.

Menurut sumber di dalam kerajaan Turkiye  yang memberitahu media antarabangsa, ia mempunyai tiga program berasingan untuk membangunkan enjin buatan tempatan bagi digunakan oleh pesawat-pesawat produksi bersiri TF-X.

Pembangunan enjin bagi pesawat TF-X itu disifatkan cabaran paling utama yang boleh menghalang kejayaan pembangunan pesawat pejuang generasi kelima Turkiye.

Berbanding pesawat F-35 yang hanya memiliki satu enjin, pesawat TF-X dilengkapi dengan dua enjin.

Menjelang tahun 2030,  kesemua 250 pesawat pejuang generasi kelima  TF-X Turkiye dijangka sudah siap bersedia, menggantikan sebahagian besar daripada 240 buah pesawat pejuang F-16 (versi lama) dan kira-kira 40 buah pesawat pejuang F-4 Phantom yang digunakan oleh Tentera Udara Turki. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

ErdoganF-35featuredMMUS-400TAITF-XTurkiye
Comments (0)
Add Comment