Turkiye Cadang Kecilkan Skop Kontrak Perolehan, Permodenan F-16. Tetap Mahukan Eurofighter Typhoon

Hanya beberapa bulan selepas menandatangani kontrak terbabit, Turkiye dilaporkan bercadang mengecilkan skop kontrak bernilai US$23 billion (RM107 billion) itu dengan mengurangkan perolehan kit permodenan pesawat F-16 itu dan pakej bom-bom serta peluru berpandunya.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Selepas bertahun-bertahun berunding dengan Amerika Syarikat untuk memperolehi 40 varian terkini pesawat pejuang F-16 dan 80 kit permodenan F-16 bernilai US$23 billion (RM107 billion), Turkiye kini nampaknya “berubah hati”.  

Hanya beberapa bulan selepas menandatangani kontrak terbabit, Turkiye dilaporkan bercadang mengecilkan skop kontrak bernilai US$23 billion itu dengan mengurangkan perolehan kit permodenan pesawat F-16 itu dan pakej bom-bom serta peluru berpandunya.

Ankara dikatakan bertindak demikian disebabkan faktor kekangan kewangan dan mahukan menyalurkan sebahagian daripada peruntukan bagi perlaksanaan kontrak dengan Amerika Syarikat itu kepada industri pertahanan tempatan.

Secara ringkasnya, Ankara mahu menyalurkan sebahagian daripada wang untuk kontrak dengan Amerika Syarikat itu kepada industri pertahanan tempatannya.

Turkiye merupakan antara negara pengguna terbesar pesawat pejuang F-16 tetapi ia adalah pesawat-pesawat F-16 daripada varian terdahulu dan memerlukan kit permodenan untuk dinaiktaraf kepada varian terkini.

Bagaimanapun industri pertahanan Turkiye kini telah mencapai tahap yang tinggi, membolehkan ia melaksanakan pakej pemodenan pesawat pejuang F-16 miliknya itu dalam negara, dengan kos yang effektif dan tanpa perlu bergantung pada pihak luar bagi mengelak pengaliran wang asing.

Pesawat pejuang Eurofighter Typhoon

 

Industri pertahanan Turkiye telah membuktikan ia kini telah berjaya membangunkan radar AESA (Active Electronically Scanned Array) dan bom-bom pintar serta pelbagai peluru berpandu untuk kegunaan pesawat pejuang F-16 miliknya itu.

Pada Mac lalu, sebuah pesawat pejuang F-16 Ozgur milik Tentera Udara Turkiye dilengkapi dengan Nose Radar AESA (Active Electronically Scanned Array) dibangunkan sepenuhnya oleh kepakaran tempatan telah berjaya melakukan penerbangan sulungnya.

Nose Radar AESA yang digunakan dalam penerbangan sulung pesawat pejuang F-16 Turkiye itu telah bangunkan oleh syarikat ASELSAN.

Dengan Nose Radar AESA dibangunkan oleh ASELSAN, ia telah menjadikan pesawat F-16 Block 30 milik Turkiye itu kepada pesawat pejuang generasi 4.5 setaraf dengan kemampuan varian terkini pesawat pejuang itu,  F-16 Block 70.

Menurut kenyataan daripada syarikat ASELSAN, “Ia (Nose Radar AESA) memberikan kemampuan yang amat baik kepada pesawat-pesawat kami dengan kemampuan serentak untuk misi-misi udara-ke-udara dan udara-ke-darat.”

“Ia juga berkemampuan untuk mengesan dan menjejak pelbagai sasaran, sistem panduan peluru berpandu BVR (Beyond Visual Range), pengambilan imej-imej daratan resolusi tinggi dan juga fungsi peperangan elektronik.”

Selain dilengkapkan dengan Nose Radar AESA, pesawat-pesawat berusia F-16 Block 30 Turkiye itu juga akan menjalani peningkatan kemampuan avionik dengan kelengkapan sistem dan komponen moden buatan tempatan.

Dibawah program peningkatan kemampuan, jumlah jam pesawat F-16 Block 30 milik negara Mediterranean itu juga akan ditingkatkan daripada 8,000 jam kepada 12,000 jam.

Ankara tidak nampak keperluan untuk terus bergantung kepada syarikat-syarikat pertahanan Amerika Syarikat bagi kerja-kerja pemodenan pesawat pejuang F-16 milik kerana kebanyakkan daripada tugas itu boleh dilakukan oleh syarikat-syarikat pertahanan tempatan.

Awal tahun ini, Washington meluluskan permohonan Turkiye untuk memperolehi 40 buah varian terkini pesawat pejuang F-16 dan 80 kit permodenan, selepas Ankara meratifikasikan undang-undang yang membenarkan kemasukan Sweden ke dalam pakatan ketenteraan NATO.

Ia sekaligus menamatkan “drama” di antara Turkiye dan Amerika Syarikat yang berlangsung selama beberapa tahun.

Selain dilaporkan mahu menyalurkan lebih banyak peruntukan kepada industri pertahanan tempatanya, Turkiye juga dilaporkan mahu meneruskan hasratnya untuk memperolehi pesawat-pesawat pejuang Eurofighter Typhoon yang dibangunkan oleh konsortium empat buah negara Eropah, United Kingdom, Jerman, Itali dan Sepanyol.

Turkiye mahu terus mendapatkan varian terkini pesawat pejuang Eurofighter Typhoon Tranche 4 walaupun Jerman, salah sebuah negara yang membangunkan pesawat pejuang itu menghalang niat Ankara, walaupun kedua-duanya adalah anggota NATO.

Pentadbiran Presiden Recep Tayyep Erdogan telah menyatakan beberapa kali tentang hasrat untuk memperolehi pesawat-pesawat pejuang Eurofighter Typhoon dan permintaannya itu disokong kuat oleh United Kingdom.

Jerman berkemungkinan besar akan meluluskan penjualan pesawat Eurofighter Typhoon itu sebagai membalas jasa Turkiye yang membantu Ukraine dalam konflik dengan Russia, serta mahu meredakan kemarahan industri pertahanan tempatannya yang mahukan kerajaan mereka meluluskan permintaan Ankara untuk membeli pesawat pejuang itu bagi menjana industri pertahanan mereka.

Jerman enggan meluluskan penjualan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu kepada Turkiye kerana “bengang” dengan kritikan-kritikan keras negara Mediterranean itu terhadap tindakan ketenteraan Israel di Semenanjung Gaza yang sehingga kini telah mengorbankan hampir 40,000 orang.

Pada November tahun lepas, Turkiye menyatakan bahawa ia telah memulakan perbincangan dengan negara-negara konsortium pembuat pesawat Eurofighter Typhoon terutamanya Britain untuk memperolehi 40 buah varian terkini pesawat pejuang Eurofighter Typhoon dikenali dengan nama “Tranche 4.”

Dilengkapi dengan radar AESA “CAPTOR E”, Eurofighter Typhoon Tranche 4 dikatakan adalah varian pesawat pejuang termoden Eropah yang boleh berkhidmat sehingga ke tahun 2060. 

Jerman dikatakan telah memesan 38 buah pesawat pejuang Typhoon Tranche 4. — DSA

 

 

F-16featuredTurkiyeTyphoon
Comments (0)
Add Comment