Turkiye-Arab Saudi Bakal Meterai Perjanjian Pertahanan Bernilai RM26.3 Billion. Bakal Libat KAAN ??
Baru-baru ini, Defence Security Asia melaporkan bahawa Arab Saudi sedang menimbangkan cadangan untuk memperolehi kira-kira 100 buah pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” yang sedang dibangunkan oleh Turkiye.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Turkiye dilaporkan sedang berunding dengan Arab Saudi untuk memeterai perjanjian pertahanan bernilai US$6 billion (RM26.3 billion) dengan Arab Saudi, berkemungkinan merangkumi penjualan kereta kebal, kapal perang, dan peluru berpandu.
Menurut pegawai yang terlibat dalam perbincangan itu kepada akhbar Turkiye Today, perjanjian pertahanan itu turut meliputi kerjasama dalam program pembangunan pesawat pejuang buatan Turkiye.
Presiden Recep Tayyip Erdogan dijangka melawat Arab Saudi pada bulan Mac ini untuk memuktamadkan perjanjian tersebut, menurut laporan oleh media antarabangsa itu.
Perjanjian ini dilihat sebagai langkah strategik Turkiye dalam usaha memperluaskan industri pertahanannya serta mengukuhkan hubungan dengan salah satu pengimport senjata terbesar di dunia.
Arab Saudi dilaporkan berminat untuk menyertai program pesawat pejuang generasi kelima KAAN yang dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI).
Selain itu, Turkiye dilaporkan berminat untuk menjual kereta kebal utama Altay dan sistem pertahanan udara kepada Arab Saudi.
Delegasi Arab Saudi bergambar di hadapan pesawat pejuang KAAN baru-baru ini.
Pegawai menekankan bahawa sistem ini akan memperkukuh keupayaan pertahanan Arab Saudi sambil menyokong pertumbuhan eksport pertahanan Türkiye.
Baru-baru ini, Defence Security Asia melaporkan bahawa Arab Saudi sedang menimbangkan cadangan untuk memperolehi kira-kira 100 buah pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” yang sedang dibangunkan oleh Turkiye.
Cadangan perolehan pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” oleh Arab Saudi itu dikata telah dibincangkan ketika lawatan Panglima Tentera Udara Diraja Arab Saudi Putera Turki bin Bandar Al Saud ke Turkiye itu baru-baru ini.
Ketika lawatannya ke Turkiye itu, Putera Turki telah mengadakan perbincangan dengan syarikat-syarikat pertahanan negara Mediterranean itu termasuk Roketsan, Aselsan dan syarikat pembuat “KAAN” iaitu Turkish Aerospace Industries (TAI).
“Lawatan Putera Turki ke Turkiye itu telah memberikan beliau dan delegasi Arab Saudi dengan maklumat terkini tentang kemampuan pesawat pejuang KAAN itu serta cadangan kerjasama strategik antara kedua-dua negara berkenaan pesawat pejuang generasi kelima itu, “ menurut laporan media pertahanan antarabangsa.
Kerjasama itu berkemungkinan melibatkan pemindahan teknologi dan pembuatan pesawat pejuang generasi kelima itu dalam negara.
Cadangan perolehan pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” itu adalah selaras dengan hasrat kerajaan Arab Saudi dan Turkiye mahu mengeratkan hubungan pertahanan antara kedua-dua kuasa serantau itu.
Tentera Udara Turkiye dijangka akan mula menggoperasikan pesawat pejuang KAAN pada 2028 apabila ia menerima 20 buah pesawat pejuang generasi kelima itu daripada syarikat pembuatnya, TAI (TUSAS) pada tahun itu.
Menjelang tahun 2029, TAI dijangka mengeluarkan dua buah pesawat pejuang KAAN setiap bulan, menjana perolehan kira-kira US$2.4 bilion (RM9.6 bilion) setiap tahun.
Tentera Udara Turkiye dijangka akan menerima lebih daripada 100 buah pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” sebaik sahaja pesawat pejuang yang dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI) itu dihasilkan secara besar-besaran (mass production).
Perkara itu dimaklumkan oleh ketua pegawai eksekutifnya yang baru Mehmet Demiroglu.
Pesawat pejuang “KAAN” melakukan penerbangan sulungnya pada 21 Februari tahun lepas, sekaligus memastikan Turkiye menyertai segelintir negara di dunia ini yang berkemampuan membangunkan pesawat pejuang generasi kelima dengan sendirinya.
Kenderaan pelancar Sistem Pertahanan Udara Jarak Sederhana “HISAR-O”
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, hubungan pertahanan antara Ankara dan Riyadh adalah semakin rapat.
Pada 18 Julai tahun lepas, Arab Saudi mengumumkan bahawa ia bakal membelanjakan US$3 bilion (RM13.5 bilion) untuk memperolehi sistem pesawat tanpa pemandu (dron) “Akinci” MALE (Medium Altitude Long Endurance) keluaran syarikat pertahanan Turkiye, Baykar Technology.
Pembelian dron Akinci MALE bernilai US$3 bilion oleh Arab Saudi merupakan kontrak pertahanan terbesar dalam sejarah Turkiye.
Pada 6 Ogos tahun lepas pula, syarikat pertahanan Saudi Arabian Military Industries (SAMI) mengumumkan bahawa 70 peratus daripada komponen dron “Akinci” yang bakal diperolehi oleh Arab Saudi itu akan dibuat dalam negara.
Ia adalah sebahagian daripada langkah Arab Saudi untuk meningkatkan kemampuan industri pertahanannya.
“Akinci”
Selain SAMI yang menandatangani perjanjian dengan syarikat pembuat dron “Akinci” iaitu Baykar Technology — sebuah lagi syarikat Arab Saudi, National Company for Mechanical Systems (NCMS) pula memeterai perjanjian dengan syarikat Aselsan daripada Turkiye yang membina sistem electro-optical bagi dron bersenjata itu.
NCMS turut menandatangani perjanjian dengan syarikat Roketsan daripada Turkiye, yang menghasilkan sebahagian besar sistem persenjataan dron “Akinci” serta pelbagai sistem persenjataan lain.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Aselsan, kedua-dua pihak akan terlibat dalam usaha menghasilkan dalam bidang electro-optical surveillance, targeting system, guidance kits dan bom-bom pintar yang digunakan oleh dron-dron keluaran syarikat Baykar. –