(DEFENCE SECURITY ASIA) — Syarikat pertahanan Turkish Aerospace sedia menerima pembayaran dalam bentuk komoditi sekiranya berjaya mendapatkan tender membekalkan pesawat tempur ringan (LCA) Hurjet untuk keperluan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Tanpa menamakan jenis komoditi itu, Ketua Pegawai Eksekutif Turkish Aerospace (TAI) Profesor Temel Kotil berkata, Malaysia boleh memilih kaedah pembayaran mengikut peratusan tertentu bagi komoditi tersebut daripada kos keseluruhan.
Kami fikir perkara yang lebih besar daripada isu pembayaran. Kami tiada masalah tentang perkara ini dan sedia menerima beberapa peratus pembayaran daripada komoditi.
“Bagi kami mudah iaitu perniagaan adalah perniagaan.Kami bukan bersaing (tender) dengan syarikat lain tetapi kami bersaing dengan diri sendiri (menjadi lebih baik).
“Pembuatan pesawat ini menggunakan terknologi terkini dan baharu maka kami yakin dengan potensi mendapatkan tender ini,” katanya kepada delegasi media Malaysia di Ibu Pejabat Turkish Aerospace sebagaimana dilaporkan oleh akhbar Sinar Harian.
Mengulas lanjut Kotil berkata, sekiranya berjaya mendapatkan tender itu, sebanyak 15 pesawat tersebut akan dipasang di Malaysia manakala tiga lagi Turki sekali gus melatih kepakaran jurutera tempatan membina pesawat tempur ringan selain peluang pekerjaan baharu.
TAI merupakan salah satu syarikat yang menyertai tender antarabangsa Kementerian Pertahanan untuk memperolehi 18-36 buah pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA) untuk TUDM.
Perolehan pesawat-pesawat FLIT/LCA yang baru itu bertujuan untuk menggantikan pesawat-pesawat Hawk 108, Hawk 208 dan Aermacchi MB-339CM pada Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) dan RMK-13 (2026-2030).
Selain TAI, terdapat beberapa syarikat lain yang turut membida tender Kementerian Pertahanan itu termasuklah Korea Aerospace Industries (KAI) yang menawarkan pesawat FA-50, pesawat JF-17 “Thunder” daripada Pakistan Aeronautical Complex/Chengdu Aircraft Industry Group.
Manakala bagi China National Aero-Technology Import & Export (CATIC) ia menawarkan pesawat Hongdu L-15B, Hindustan Aeronautics Limited (HAL) pula menawarkan pesawat “Tejas”, Yakovlev Yak-130, Leonardo M-346 Fighter Attack, Saab Gripen dan Boeing T-7 Red Hawk.
Pemenang tender bagi 18-36 buah pesawat FLIT/LCA itu dijangka diumumkan pada tahun ini.
Walaupun tawaran daripada TAI ini adalah sesuatu yang baik, tetapi perlu diingat bahawa “Hurjet” masih lagi merupakan sebuah pesawat prototaip kerana ia masih belum lagi melakukan penerbangan sulung setakat ini.
TAI hanya mensasarkan “Hurjet” untuk melakukan penerbangan sulungnya pada tahun ini, itupun jika segalanya berjalan lancar.
Tempoh masa di antara penerbangan sulung dengan serial aircraft production memakan masa beberapa tahun.
Berbanding dengan pesaing-pesaing utamanya seperti Leonardo M-346FA atau FA-50 Block 20 yang dibangunkan oleh Korea Aerospace Industries (KAI), “Hurjet” diibaratkan seperti produk yang masih lagi menjalani ujikaji di dalam makmal.
Kedua-dua pesawat FA-50 dan M-346 telah lama berada di pasaran dan digunakan oleh pelbagai negara.
Lagi satu walaupun Turki merupakan sebuah negara yang sedang meningkat naik dalam industri pertahanan,tetapi ia masih baru di dalam bidang pembuatan pesawat.
Industri pertahanannya telah berjaya membangunkan dron (Anka dan Bayraktar TB2), helikopter, meriam, senjata ringan, kapal perang dan pelbagai sistem persenjataan tetapi tidak pesawat FLIT/LCA.
Tidak pasti sama ada TUDM mahu menanggung risiko dengan membeli pesawat FLIT/LCA yang masih dikategorikan sebagai “prototaip” dan masih “bergelut” untuk melakukan penerbangan sulungnya. — DSA
Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: