Turki Letak Syarat, Mahu Amerika “Pulangkan” 100 Buah Pesawat F-35

Turki sebagai salah satu negara anggota NATO telah meletakkan syarat sebelum Sweden dan Finland dibenarkan menjadi anggota pertubuhan itu. Apakah syarat yang diletakkan Turki itu?

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Bimbang dengan ancaman Russia telah membuatkan negara-negara Scandinavia iaitu Sweden dan Finland meninggalkan pendirian berkecualinya dan memohon untuk menjadi anggota North Atlantic Treaty Organisation (NATO).

Walaupun anggota-anggota NATO yang lain nampaknya bersetuju dengan kemasukan Sweden dan Finland ke dalam NATO, tetapi Turki telah meletakkan syarat sebelum bersetuju untuk menerima kedua-dua negara itu.

Tanpa persetujuan daripada Ankara, kedua-dua negara Scandinavia itu tidak akan menjadi anggota NATO kerana semua negara anggota perlu bersetuju sebelum sesebuah negara itu menganggotai pertubuhan itu.

Pada ketika ini, NATO memiliki 30 negara anggota.

Syarat utama yang diletakkan Turki adalah ia mahu dimasukkan semula ke dalam program F-35 Lightning II, sekaligus membolehkan ia memperolehi kembali 100 buah pesawat pejuang generasi kelima itu sebagaimana dipersetujui sebelum ini.

Sebagai rakan program pesawat F-35, Turki sepatutnya memperolehi 100 buah pesawat pejuang.

Bagaimanapun tindakannya berkeras untuk memperolehi sistem pertahanan udara S-400 daripada Russia telah membangkitkan kemarahan Amerika Syarikat yang bertindak mengeluarkan Turki daripada program pembangunan pesawat F-35 itu.

Washington bimbang Russia akan menggunakan sistem pertahanan udara S-400 yang dibekalkannya kepada Turki dan diintergrasikan dengan sistem pertahanan udara NATO untuk mengintip maklumat-maklumat sensitif tentang keupayaan pesawat F-35.

Turki bukan sekadar dikeluarkan daripada program pembangunan pesawat F-35 tetapi negara anggota NATO itu juga berhadapan kesukaran untuk memperolehi kit-kit pembangunan untuk pesawat-pesawat F-16 miliknya daripada Amerika Syarikat.

Permohonan keanggotaan NATO oleh Sweden dan Finland telah memberikan “peluang” kepada Turki untuk “tawar-menawar” dengan Amerika Syarikat terutamanya membabitkan pengembalian haknya terhadap pesawat F-35.

Menurut agensi berita kewangan Bloomberg, selain meminta Amerika meluluskan pembelian (yang telah dibayarnya) 100 buah pesawat F-35 itu, Turki juga mahu membeli 40 buah varian termaju pesawat F-16 Block 70 dan 80 kit pembangunan untuk pesawat-pesawat F-16 yang digunakannya pada ketika ini.

Ankara juga mahu Sweden dan Finland menarik balik sekatan senjata yang dikenakan terhadap Turki apabila ia menceroboh Syria pada 2019.

Apa respons pihak Amerika Syarikat?

Khabar-khabar angin mengatakan Amerika Syarikat bersedia untuk meluluskan pembelian varian terbaru pesawat F-16 Block 70 dan kit pembangunan F-16 kepada Turki serta Sweden dan Finland menarik balik sekatan senjata terhadap Ankara.

Sistem Pertahanan Udara S-400

 

Bagaimana untuk membenarkan Turki memperolehi 100 buah pesawat F-35, Amerika tetap berkeras mahukan Ankara “membuang” sistem pertahanan udara S-400 itu atau menghantarnya ke Ukraine untuk digunakan oleh Kiev dalam konfliknya dengan Russia.

Turki yang mengambil sikap berkecuali dalam konflik Russia-Ukraine enggan berbuat demikian kerana ia akan menyebabkan hubungannya dengan Moscow tegang sekaligus memusnahkan harapannya untuk menjadi pengantara dalam konflik itu.

Penghantaran sistem pertahanan udara S-400 milik Turki itu ke Ukraine juga akan menyebabkan musnahnya hubungan baik di antara Presiden Erdogan dengan Presiden Putin yang selama ini berjalan dengan baik.

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Satu lagi perkara yang perlu dipertimbangkan adalah Greek,musuh tradisi Turki yang juga merupakan negara anggota NATO.

Athens sudah tentu tidak akan bersetuju sekiranya Turki diberikan kebenaran memperolehi pesawat F-35 dan sudah tentu akan membantah kemasukan Sweden dan Finland ke dalam NATO sekiranya ia bermaksud Ankara akan mendapat pesawat generasi kelima buatan Lockheed Martin daripada Amerika Syarikat itu,  

Buat masa ini,rundingan masih lagi berjalan. — DSA

 

F-35featuredNATOTurki
Comments (0)
Add Comment