Su-30MKM TUDM Boleh Kekal Hingga 2035 Tapi Bergantung “Ketersediaan Alat Gantinya”

Isu mengenai “ketersediaan” alat ganti pesawat dan aset pertahanan buatan Russia menjadi hangat bukan sahaja untuk Malaysia sahaja tetapi membabitkan kesemua penggunanya di seluruh dunia berikutan sekatan ekonomi yang ketat dikenakan terhadap Moscow pada ketika ini.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Walaupun mengatakan bahawa ia mampu memastikan pesawat pejuang Su-30MKM milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dikekalkan sehingga 2035,  namun syarikat penyelenggaranya Aerospace Technology Systems Corporation (ATSC) berkata ia bergantung kepada “ketersediaan alat gantinya.”

Berkata dalam portal berita Free Malaysia Today hari ini, syarikat itu menyatakan bahawa pesawat pejuang TUDM buatan Russia itu masih berkemampuan beroperasi untuk tempoh kira-kira dua dekad lagi.

Ketua pegawai eksekutifnya Lt Col (Rtd) Fadzar Suhada dipetik sebagai berkata dalam laporan oleh portal berita itu bahawa, syarikat mampu memastikan jet pejuang negara itu yang kini yang berusia 16 tahun itu dikekalkan sehingga 2035.

Pesawat Sukhoi Su-30MKM TUDM (gambar kredit Bernama)
Namun katanya, ia tertakluk kepada ketersediaan alat gantinya.

Isu mengenai “ketersediaan” alat ganti pesawat dan aset pertahanan buatan Russia menjadi hangat bukan sahaja untuk Malaysia sahaja tetapi membabitkan kesemua penggunanya di seluruh dunia berikutan sekatan ekonomi yang ketat dikenakan terhadap Moscow pada ketika ini.

Russia dikenakan sekatan ekonomi yang ketat terutama membabitkan industri senjatanya selepas pencerobohan tenteranya di Ukraine pada Februari tahun lepas.

Pada 2022, Menteri Pertahanan ketika itu Hishammuddin Hussein dilaporkan berkata dalam Parlimen bahawa stok alat ganti pesawat Su-30MKM yang dimiliki oleh syarikat ATSC cukup untuk menampung keperluan operasi pesawat itu selama dua tahun.

“Syarikat terlibat seperti ATSC telah mengesahkan bahawa pihaknya mempunyai keuipayaan untuk menguruskan penyelenggaraan pesawat Sukhoi (Su-30MKM yang digunakan oleh TUDM) dan mempunyai stok alat ganti untuk pesawat berkenaan selama dua tahun.

“Isu Ukraine dan Russia tidak akan menjejaskan kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia,” kata beliau.

Dalam masa yang sama kata Hishammuddin, pihaknya akan memperluaskan perolehan alat-alat ganti pesawat yang digunakan oleh TUDM daripada negara yang menggunakan pesawat yang sama seperti India.

India adalah antara pengguna terbesar pesawat pejuang Sukhoi Su-30 dengan lebih daripada 250 varian pesawat Su-30MKI yang sebahagian besarnya dibuat secara berlesen oleh syarikat tempatan India.

Negara menurut Hishammuddin akan mempelbagaikan perolehan asset-aset strategik negara dan tidak bergantung dengan hanya negara-negara tertentu.

Pesawat-pesawat Su-30MKI India dan Su-30MKM TUDM dalam latihan bersama baru-baru ini.

 

Menurut bekas Menteri Pertahanan itu, selain pesawat Su-30MKM, negara turut menggunakan sistem peluru berpandu anti-kereta kebal Metis-M serta VSHORAD (Very Short Range Air Defence) “Igla”.

Sementara itu, Fadzar dalam laporan portal berita itu juga berkata bahawa ATSC boleh membaik pulih sepenuhnya Su-30MKM di Malaysia, yang telah dilakukan sejak 2007, pada separuh kos berbanding jika dihantar ke Russia.

Portal berita iti difahamkan, setiap pesawat Su-30 memerlukan kos sebanyak USD$27 juta (RM108 juta) untuk proses membaikpulih sepenuhnya bagi setiap 1,500 jam penerbangan atau 10 tahun beroperasi.

“Sekurang-kurangnya 70 peratus daripada krew penyelenggaraan kami adalah pesara juruteknik dan jurutera TUDM, yang telah diambil kerana kepakaran luas mereka dalam mengendalikan jet,” kata Fadzar.

Sebuah pesawat Su-30MKM ketika terbang rendah di Stesen Lima, Pulau Layang-Layang (gambar sumbangan pembaca DSA)

 

Malaysia adalah antara negara terawal menggunakan jet pejuang Rusia di Asia Tenggara setelah memperoleh 18 MiG-29N Fulcrum pada 1995, diikuti dengan 18 Su-30MKM pada 2007.

Dengan perolehan ini, Malaysia secara tradisinya tidak lagi bergantung kepada Britain, Eropah atau Amerika Syarikat untuk pesawat pejuang.

MiG-29N yang telah berusia dilucutkan perkhidmatan daripada TUDM pada 2015.

Malaysia baru-baru ini mengumumkan rancangan untuk mendapatkan 18 pesawat tempur ringan  FA-50 Block 20 buatan Korea Aerospace Industries (KAI) menjelang 2026 menerusi perjanjian bernilai lebih daripada RM4 bilion. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

Alat GantifeaturedOperasiRussiaSu-30MKM
Comments (0)
Add Comment