TLDM Dapat Timbalan Panglima Tentera Laut Yang Baru, Kedua Dalam Tempoh 8 Bulan

Memandangkan Panglima TLDM ke-18 Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob kini berusia 59 tahun dan bakal mencapai umur persaraan wajib di dalam tempoh beberapa bulan ini, maka nama Laksamana Madya Dato' Zulhelmy Ithnain disebut-sebut sebagai calon Panglima TLDM ke-19.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Presiden Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS) Laksamana Madya Dato’ Zulhelmy Ithnain telah dilantik sebagai Timbalan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang baru hari ini.

Beliau mengambil alih jawatan kedua tertinggi di dalam TLDM itu daripada Laksamana Madya Datuk Sabri bin Zali, yang dilantik sebagai Timbalan Panglima Tentera Laut kira-kira lapan bulan yang lepas pada 27 Januari lalu.

Menyaksikan serah terima tugas Timbalan Panglima Tentera Laut di antara Sabri dan Zulhelmy bertempat di PUSPHANAS hari ini adalah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman bin Ayob.

(TLDM)

 

Memandangkan Panglima TLDM ke-18, Abdul Rahman, kini berusia 59 tahun dan bakal mencapai umur persaraan wajib di dalam tempoh beberapa bulan ini, maka nama Zulhelmy disebut-sebut sebagai calon Panglima TLDM ke-19.

Zulhelmy yang dilahirkan pada 2 Januari 1968 di Datuk Keramat, Kuala Lumpur telah menyertai perkhidmatan TLDM pada 6 Ogos 1986 dan ditauliahkan pada tahun 1988.

Beliau merupakan seorang submariner TLDM yang telah menjadi Pegawai Memerintah Kapal Selam Pertama TLDM iaitu KD TUNKU ABDUL RAHMAN.

Apa yang unik adalah, kedua-dua Panglima TLDM dan timbalannya yang baru dilantik hari ini adalah submariner.

Ia adalah detik yang bersejarah bagi TLDM dan juga Angkatan Kapal Selam negara.

(TLDM)
Sabri (kanan) ketika dilantik sebagai Timbalan Panglima TLDM pada 27 Januari lalu. (TLDM)

 

Mungkin boleh memberi impetus kepada usaha penambahan kapal selam di dalam TLDM.

Sejarah tercipta apabila Timbalan Panglima TLDM itu berjaya belayar membawa pulang KD TUNKU ABDUL RAHMAN dari Perancis ke Malaysia yang mengambil masa hampir dua bulan.

Zulhelmy pernah berkhidmat di Markas Angkatan Kapal Selam TLDM dengan memegang beberapa perjawatan termasuk Pegawai Memerintah Pusat Latihan Kapal Selam TLDM, Timbalan Panglima Angkatan Kapal Selam dan juga Panglima Angkatan Kapal Selam.

Antara perjawatan penting lain yang pernah disandang beliau termasuk Asisten Ketua Staf Perancangan dan Pembangunan, Markas Tentera Laut dan seterusnya Panglima Wilayah Laut 1 di Kuantan, Pahang.

Zulhelmy telah dilantik sebagai Presiden PUSPAHANAS pada 6 Oktober 2022.

Sementara itu, Sabri yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Panglima Tentera Laut pada 27 Januari 2023 kini dilantik sebagai Presiden PUSPAHANAS yang baru.

KD Tunku Abdul Rahman dan helikopter Fennec (TLDM.)

 

Beliau telah dilahirkan pada 4 Mac 1967 di Rawang, Selangor.

Sabri telah memasuki TLDM sebagai Pegawai Kadet pada 15 Disember 1984 dan telah dipilih untuk menjalani kursus Midshipman Antarabangsa di Jerman Barat selama tiga tahun sehingga Disember 1987.

Beliau telah ditauliahkan pada 21 Disember 1987 setelah kembali dari Jerman.

Antara jawatan penting yang pernah disandang beliau adalah Pegawai Memerintah KD JEBAT merangkap Pegawai Kanan Armada, Asisten Ketua Staf Sumber Manusia di Markas Tentera Laut, Komandan Maktab Pertahanan Angkatan Tentera, Panglima Wilayah Laut 2 dan Panglima Armada Timur.

Sabri dilihat sebagai pegawai kanan TLDM yang lantang dalam menyuarakan pendapat berkenaan isu keusangan aset-aset dimiliki oleh TLDM terutamanya ketika beliau menjawat jawatan sebagai Panglima Armada Timur. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

featuredLantikSabriTimbalan PanglimaTLDMZulhelmy
Comments (0)
Add Comment