Skuadron Korvet TLDM Peraga Kehadiran Aset Pertahanan Di Selat Melaka

Menurut kenyataan daripada TLDM, latihan Perang Pangkor itu antara lain bertujuan untuk memperagakan kehadiran aset pertahanan TLDM disamping melindungi kepentingan maritim di perairan Selat Melaka.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kapal-kapal daripada Skuadron Korvet ke-24 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terdiri daripada KD Laksamana Tan Pusmah, KD Laksamana Hang Nadim dan KD Laksamana Tun Abdul Jamil telah melaksanakan latihan kesiagaan berkala di sekitar perairan Selat Melaka.

Fast Combat Boat (FCB) TLDM turut terlibat dalam Latihan Perang Pangkor siri 30/22.

Menurut kenyataan daripada TLDM, latihan Perang Pangkor itu antara lain bertujuan untuk memperagakan kehadiran aset pertahanan TLDM disamping melindungi kepentingan maritim di perairan Selat Melaka.

(TLDM)

 

Selain itu, pelaksanaan latihan ini juga adalah landasan yang berupaya dan berkesan untuk melatih dan menilai tahap keupayaan aset serta kecekapan anggota TLDM di Armada Barat dalam pelbagai disiplin lapangan antaranya Ilmu Kelautan, Navigasi dan Latihan Kecemasan semasa beroperasi di laut.

“Antara latihan yang dilaksanakan dalam siri ini adalah Latihan Menggeledah, Manuvra Taktis, Formasi Bersauh serta Mengawal Kebanjiran dan Melawan Api (MKMA),” kata kenyataan itu.

Menurut TLDM, melalui latihan yang dilaksanakan secara berkala, ia akan terus memperkasakan kompetensi anggota TLDM sebagai salah satu persediaan semasa menghadapi eksesais berskala besar.

KD Laksamana Tan Pusmah

 

“Ini dibuktikan dengan kejayaan KD Lekir yang mencipta sejarah negara sebagai aset TLDM pertama menembak misil di perairan luar negara semasa Eksesais Rim of Pacific (RIMPAC) 2022 di perairan Hawaii, Amerika Syarikat pada 12 Julai 2022 yang lalu,” katanya.

Latihan seumpama ini kata TLDM akan terus dipergiatkan pelaksanaan dalam memastikan Armada Barat sentiasa berada pada tahap kesiagaan yang tertinggi selaras dengan keperluan semasa operasi maritim.

Kapal-kapal KD Laksamana Tan Pusmah, KD Laksamana Hang Nadim dan KD Laksamana Tun Abdul Jamil bernaung di bawah Skuadron Korvet ke-24.

KD Laksamana Tun Abdul Jamil

 

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Sebuah lagi kapal perang di bawah skuadron korvet itu, KD Laksamana Muhammad Amin tidak menyertai latihan itu.

Ia adalah berdasarkan kepada kenyataan TLDM pada Disember tahun lepas yang mengatakan KD Laksamana Muhammad Amin sedang menjalani kerja-kerja re-fit.

Kapal itu dipercayai sedang menjalani pasang pulih (refit) di Grade One Marine Shipyard Sdn Bhd, yang antara lain meibatkan perlaksanaan kerja-kerja repowering serta penukaran sebahagian besar badan kapal (hull) menggunakan konsep re-hull. —  DSA

featuredSelat MelakaSkuadron KorvetTLDM