Thailand Batal Beli Kapal Selam China, Setuju Gantikannya Dengan Friget atau Kapal Peronda

Thailand sepatutnya menerima sebuah kapal selam yang dibuat oleh China pada tahun ini, tetapi bertindak membatalkan pesanan itu selepas Beijing gagal memenuhi permintaan Bangkok supaya kapal selam negara Gajah Putih buatan China itu dilengkapkan dengan enjin buatan syarikat Jerman.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Impian Tentera Laut Thailand untuk memiliki kapal selam sudah hampir pasti terkubur (sekurang-kurangnya untuk jangkamasa terdekat ini), selepas China dilaporkan bersetuju untuk menggantikan kapal selam yang sepatutnya dibekalkan kepada negara Asia Tenggara itu dengan sebuah kapal friget atau dua buah kapal peronda.

Menurut sumber Tentera Laut Thailand kepada Bangkok Post, China telah pun bersetuju untuk membekalkan sebuah kapal friget atau dua buah kapal peronda sebagai ganti kepada kapal selam yang sepatutnya ia bekalkan kepada Thailand.

Thailand sepatutnya menerima sebuah kapal selam yang dibuat oleh China pada tahun ini, tetapi bertindak membatalkan pesanan itu selepas Beijing gagal memenuhi permintaan Bangkok supaya kapal selam negara Gajah Putih buatan China itu dilengkapkan dengan enjin buatan syarikat Jerman.

Bangkok enggan tunduk kepada desakan China supaya kapal selam pertamanya itu dilengkapkan dengan enjin buatan syarikat China dan berkeras mahu ia menggunakan enjin buatan syarikat Jerman.

Menurut sumber Tentera Laut Thailand itu kepada Bangkok Post, persetujuan di antara Bangkok dan Beijing bagi perolehan sebuah kapal friget atau dua kapal peronda sebagai ganti kepada kapal selam itu dicapai ketika lawatan Menteri Pertahanan Thailand Sutin Klungsang ke China baru-baru ini.

Kapal friget Type 054A milik China

 

Turut sama dalam lawatan itu adalah Panglima Tentera Laut Thailand Laksamana Phadung Phan-iam.

Apa yang pasti, buat masa ini impian Tentera Laut Thailand untuk memiliki kapal selam tidak akan tercapai dan usahanya untuk menyertai “submarines club” di Asia Tenggara sudah pasti tertangguh untuk beberapa ketika lagi.

 Thailand menandatangani kontrak dengan China pada 2017 untuk memperolehi sebuah kapal selam S-26T kelas Yuan bernilai US$350 juta (RM1.5 bilion) dan dijangka menerima sama ada tahun ini atau tahun depan.

Kapal selam buatan China yang sepatutnya diterima oleh Thailand itu dikatakan telah 50 peratus siap.

 Kontrak perolehan kapal selam Thailand daripada China berdepan ketidaktentuan kerana Bangkok berkeras mahukan kapal selam pertama miliknya itu dilengkapi dengan enjin MTU396 buatan Jerman, sebagaimana dipersetujui dalam kontrak.

Beijing tidak boleh melengkapkan kapal selam Thailand itu dengan enjin MTU396 buatan Jerman kerana China telah dikenakan sekatan ketenteraan oleh Kesatuan Eropah yang melarang sebarang eksport alatan atau komponen tentera kepada China.

Sebagai jalan penyelesaian,  Beijing telah mencadangkan penggunaan enjin kapal selam buatannya sendiri, CHD 620 yang dibangunkan oleh syarikat Henan Diesel Engine.

Laporan media Thailand menyatakan bahawa kedua-dua negara dilaporkan telah mencapai persetujuan pada Jun tahun lepas, yang akan menyaksikan kapal selam pertama Thailand itu dilengkapi dengan enjin diesel-elektrik CHD 620 buatan China.

Namun, kejatuhan kerajaan Thailand dipimpin jeneral tentera Prayut Chan-o-cha nampaknya telah mengubah keputusan kerajaan mengenai kapal selam.

Kerajaan negara Asia Tenggara yang kini dipimpin oleh Perdana Menteri awam Srettha Thaivisin nampaknya telah mengubah keputusan pucuk pimpinan terdahulu yang bersetuju menggunakan enjin buatan China pada kapal selamnya itu.

Thailand kini bertegas dan tidak mahu menerima kapal selam yang dilengkapi dengan enjin buatan China.

Sememangnya,Bangkok tidak mempunyai “kepercayaan yang tinggi” terhadap kemampuan enjin buatan China terutamanya CHD 620 yang dicadang digunakan pada kapal selam S-26T Thailand kerana ia belum lagi teruji. — DSA

ChinafeaturedKapal SelamThailand