Tentera Israel Tembak Mati 9 Penduduk Palestin Di Tebing Barat, Anggota Hezbollah Maut

Bilangan kematian itu disahkan oleh Pihak Berkuasa Palestin.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sekurang-kurang sembilan orang penduduk Palestin ditembak mati oleh anggota tentera Israel hari ini apabila keganasan merebak ke Tebing Barat bagi membantah keganasan Tel Aviv di Semenanjung Gaza.

Bilangan kematian itu disahkan oleh Pihak Berkuasa Palestin.

Penduduk Palestin itu yang hanya bersenjatakan batu terbunuh dalam pertempuran dengan tentera Israel di beberapa lokasi di Palestin termasuk Nablus dan lain-lain bagi membantah apa yang berlaku terhadap saudara mereka di Gaza.

Pihak tentera Israel mengatakan kira-kira 3,000 penduduk Palestin mengadakan bantahan di beberapa tempat di Tebing Barat.

Presiden Palestin Mahmoud Abbas membantah kematian penduduk Palestin di Tebing Barat dan meminta dunia serta Amerika Syarikat menghentikan kekejaman Israel itu.

Pada hari ini juga, seorang pegawai kanan Amerika Syarikat tiba di Tel Aviv untuk mengadakan rundingan dengan Israel supaya menghentikan operasi tenteranya di Gaza.

Disempadan Israel-Lubnan pula, seorang warga Lubnan dikenali sebagai Mohammad Qassem Tahhan maut ditembao oleh tentera Israel selepas dia menceroboh pagar sempadan.

Mohammad Qassem menurut media Lubnan merupakan anggota simpanan Hezbollah.

Mohammad Qassem Tahhan

 

Sementara itu Israel melaksanakan serangan udara paling ganas terhadap Gaza hari ini, menumpukan usaha mereka untuk memusnahkan terowong-terowong bawah tanah yang dipercayai digunakan oleh pejuang Palestin.

Tentera Israel mengatakan ia mengerah 160 pesawat pejuang untuk menjatuhkan kira-kira 80 tan bahan letupan terhadap kawasan-kawasan di Gaza yang dipercayai menempatkan terowong –terowong bawah tanah terbabit.

Ia mengatakan serangan udara berjaya dan lebih daripada sedozen pejuang Palestin bersama-sama komander terkorban dalam serangan itu.

Walaupun berhadapan dengan serangan udara paling besar sejak konflik terbaru ini meletus, pejuang-pejuang Palestin tetap melancarkan serangan roket terhadap bandar-bandar Israel, sebagaimana yang dilakukan oleh mereka sejak permulaan konflik ini.

Serangan roket oleh pejuang Palestin setakat ini mengorbankan sembilan orang di bandar-bandar Israel.

Dalam perkembangan lain, gergasi minyak dan gas Amerika Syarikat, Chevron memutuskan untuk menggantung operasi pelantar gasnya dipanggil “Tamar” yang terletak 23km di luar pantai Ashkelon kerana ancaman daripada dron-dron pejuang Palestin.

Penutupan ini bakal mengakibat kerugian jutaan Dollar sehari kerana pelantar gas itu bersama-sama satu lagi pelantar gas “Levianthan” membekalkan sebahagian besar daripada keperluan gas Israel.

Pelantar gas, “Leviathan” itu turut dioperasi oleh Chevron.

“Kami menutup pelantar gas itu atas arahan Kementerian Tenaga Israel. Keutamaan kami adalah keselamatan para pekerja,” kata Chevron dalam satu kenyataan, ketika Hamas melancarkan dron-dron berani mati untuk membedil infrastruktur ekonomi Israel.

Awal hari ini, Hamas mengeluarkan rakaman video bagaimana sebuah dron berani matinya dikenali “Shehab” membedil sebuah kilang kimia.

Dan beberapa hari lepas, dron berani mati Hamas dikenalpasti bertanggungjawab membedil sebuah tangki minyak milik Eilat-Ashkelon Pipe sehingga menyebabkan kebakaran yang amat besar.

DEFENCE SECURITY ASIA

ChevronIsraelPalestinTebing Barat