Selepas Gagal Jual Pesawat “Tejas” Pada Argentina, India Cuba Nasib Lagi Di Filipina

Laporan media pertahanan di India menyatakan bahawa pegawai-pegawai kanan Hindustan Aeronautics Ltd (HAL) dilaporkan berada di Filipina baru-baru ini untuk mencuba nasib sekali lagi bagi menjadikan Filipina pasaran eksport mereka yang pertama untuk pesawat pejuang “Tejas” itu.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Cubaan India untuk menjual pesawat pejuang “Tejas” kepada Argentina bolehlah dianggap telah berakhir selepas Amerika Syarikat memberikan kelulusan kepada Denmark untuk memindahkan pesawat F-16 miliknya kepada negara Amerika Latin.

Surat kelulusan itu disifatkan sebagai langkah terakhir yang membolehkan Washington untuk menjual 24 buah pesawat F-16A/B terpakai milik Denmark bernilai kira-kira US$700 juta (RM3.1  bilion) kepada Argentina.

Selepas berdepan dengan beberapa kegagalan termasuk di Malaysia, New Delhi cuba menjadikan Argentina negara export pertama bagi pesawat pejuang “Tejas” yang dibangunkan oleh industri pertahanannya sendiri.

Namun usaha mencari pasaran eksport yang pertama bagi pesawat pejuang “Tejas”di Argentina itu gagal selepas Amerika Syarikat yang “bimbang” dengan China, telah bertindak memberikan kelulusan untuk memindahkan 24 buah F-16 milik Denmark kepada negara Amerika Latin itu.

Laporan media baru-baru ini menyatakan bahawa Biro Hal Ehwal Politik-Ketenteraan Jabatan Negara Amerika Syarikat telah menyerahkan surat kelulusan pemindahan pesawat F-16 milik Denmark itu kepada duta Argentina di Washington.

Aksi pesawat “Tejas” pada Singapore Air Show 2022.

 

Baru-baru ini, Argentina juga memperolehi empat buah pesawat peronda maritim P3 Orion.

China yang mahu “menembusi” Amerika Latin telah menawarkan pesawat pejuang JF-17 yang dibangunkannya bersama dengan Pakistan kepada Argentina menerusi pakej penjualan yang amat menarik.

Bimbang tentang langkah China menawarkan pakej menarik penjualan JF-17 itu kepada Argentina, Washington telah mempercepatkan langkah penjualan F-16 terpakai milik Denmark itu kepada Buenos Aires.

Amerika Syarikat tidak mahu melihat China menerusi penjualan JF-17 itu kepada Argentina “bertapak” di Amerika Latin dan memperluaskan pengaruh politik dan ketenteraannya di rantau yang terletak berhampiran dengannya.

Oleh kerana itulah ia bertindak menjual pesawat-pesawat F-16 terpakai kepada Argentina.

Pesawat pejuang F-16 milik Denmark yang cuba dijual oleh Amerika kepada Argentina.

 

Bagi India dan syarikat Hindustan Aeronautics Ltd (HAL) yang membangunkan pesawat pejuang “Tejas” pula, mereka dilaporkan telah “kembali ke Filipina selepas berhadapan dengan “kegagalan” di negara Amerika Latin itu.

Laporan media pertahanan di India menyatakan bahawa pegawai-pegawai kanan HAL dilaporkan berada di Filipina baru-baru ini untuk mencuba nasib sekali lagi bagi menjadikan Filipina pasaran eksport mereka yang pertama untuk pesawat pejuang “Tejas” itu.

Namun usaha menjual pesawat pejuang “Tejas” kepada Filipina itu juga berhadapan dengan ranjau kerana Manila dikatakan telah menyenaraipendek dua buah pesawat pejuang untuk memenuhi keperluannya.

Filipina mahu mendapatkan barisan pesawat pejuang MRCA bagi menambah 12 pesawat pejuang ringan FA-50 yang dibelinya pada tahun 2015 daripada Korea Selatan bagi menggantikan pesawat F-5 yang ditamatkan khidmat pada tahun 2005.

Pesawat Gripen-E

 

Jurucakap Tentera Udara Filipina memaklumkan bahawa ia telah menyenaraipendek F-16 Block 50/52 dan Gripen C/D sebagai pesawat-pesawat pejuang yang akan dipertimbangkannya bagi program MRF.

Namun selagi tiada keputusan akhir daripada kerajaan Filipina tentang pilihan pesawat pejuangnya, maka pegawai-pegawai India dan HAL boleh terus mengharapkan “keajaiban” untuk berlaku. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact admin: haikalhamas73@gmail.com

 

 

featuredFilipinaIndiaPesawatTejas
Comments (1)
Add Comment