Syarat “Tidak Masuk Akal” Kongres Amerika Buat Turki Berpaling Pada Typhoon

Spekulasi tentang kemungkinan Turki membeli pesawat pejuang Eurofighter Typhoon semakin hangat diperkatakan apabila pegawai-pegawai kanan tentera udara negara itu mengunjungi sebuah pangkalan udara Royal Air Force (RAF) untuk melihat dengan lebih dekat operasi pesawat pejuang Typhoon itu

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tindakan pihak Kongres Amerika Syarikat meletakkan pelbagai syarat “tidak masuk akal” kepada Turki sebelum menjual pesawat-pesawat terkini F-16 akan hanya meningkatkan peluang pesawat pejuang Eurofighter Typhoon untuk dipilih oleh negara Mediterranean itu sebagai pesawat pejuang terbarunya..

Turki telah menjelaskan kepada Amerika Syarikat bahawa ia tidak akan membeli pesawat-pesawat F-16 Block 70 sekiranya Kongres negara ini menetapkan syarat-syarat tentang penggunaannya.

Ankara merupakan pengguna pesawat F-16 terbesar di luar Amerika dengan kira-kira 250 buah pesawat.

“Rundingan di antara kedua-dua negara masih berjalan pada ketika ini, tetapi Turki tidak akan membeli apa-apa produk yang ‘mengikat tangan kami’,” kata Menteri Luar negara itu Mevlut Cavosoglu baru-baru ini.

“Mengapa kami mahu membeli produk yang kami tidak boleh gunakan,” kata beliau.

Walaupun Presiden Amerika Syarikat Jo Biden bersetuju untuk membenarkan penjualan 40 buah pesawat F-16 Block 70 serta 80 kit pemodenan pesawat F-16 yang telah berusia kepada Turki, tetapi hasrat itu disukarkan oleh kongres negara itu.

Turki percaya sikap Kongres Amerika Syarikat itu adalah akibat terpengaruh dengan lobi oleh anggota-anggotanya yang pro kepada kerajaan Greek.

Kongres negara itu meletakkan syarat sebelum ia bersetuju membenarkan Turki membeli pesawat-pesawat varian terkini F-16 serta kit-kit pemodenan yang kritikal terhadap usaha menaiktaraf pesawat F-16 negara Mediterranean yang kini berusia.

Syarat Kongres Amerika Syarikat yang sukar diterima oleh Turki itu adalah – ia mahu persetujuan Ankara agar tidak menggunakan pesawat F-16 buatan Amerika untuk menceroboh ruang udara Greek.

Presiden Jo Biden memberi jaminannya terhadap penjualan F-16 kepada Turki selepas Ankara menarik balik bantahannya terhadap penyertaan Sweden dan Finland ke dalam NATO.

Bagaimanapun selepas Sweden dan Finland menyertai NATO atas persetujuan Turki, Kongres Amerika Syarikat pula cuba “bermain tarik-tali.”

Walau apa pun berlaku, Presiden Turki Recep Tayyep Erdogan telah pun menyatakan bahawa jika Washington enggan menjual pesawat-pesawat F-16 itu, Ankara mempunyai pilihan lain.

Beliau berkata Britain juga menjual pesawat pejuang, Perancis serta Russia.

Pesawat F-16 Turki

 

Memandangkan Perancis mempunyai hubungan diplomatik yang rapat dengan Greek dan telah bertindak membekalkan 24 buah pesawat pejuang Rafale dan kapal-kapal perang kepada “musuh ketat” Ankara itu, maka, adalah hampir pasti Turki tidak akan membeli pesawat pejuang Rafale untuk tentera udaranya.

Bagi Russia pula, walaupun Moscow menawarkan untuk menjual pesawat pejuangnya seperti Su-35 kepada Turki tetapi penjualan itu mendatangkan risiko yang besar kepada Ankara.

Ia sudah tentu tidak mahu berhadapan dengan sekatan ekonomi, sebagaimana yang dihadapinya selepas membeli sistem pertahanan S-400 daripada Russia.

Bukan sahaja ia dikenakan sekatan oleh Washington, tetapi Turki juga dikeluarkan daripada program pembangunan pesawat pejuang generasi ke-lima, F-35.

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE

 

Ia meninggalkan Britain dengan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon kepada Turki dan ia adalah pilihan yang semakin hampir akan diambil oleh Ankara sekiranya rundingannya dengan Washington terus buntu.

Ini ditambah pula penyertaan syarikat-syarikat British seperti Rolls-Royce dan BAE Systems di dalam program pembangunan pesawat generasi kelima Turki iaitu, TF-X.

Spekulasi tentang kemungkinan Turki membeli pesawat-pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu semakin hangat apabila pegawai-pegawai kanan tentera udaranya mengunjungi sebuah pangkalan udara Royal Air Force (RAF) untuk melihat dengan lebih dekat operasi pesawat pejuang Typhoon itu. — DSA

Jom!!!! follow TwitterTelegramFacebook dan download Apps Defence Security Asia di Google Playstore

 

Eurofighter TyphoonF-16featuredTurki