Simulasi Peperangan Tentera British Dapati Kapal Pengangkut Pesawatnya “Tenggelam” Dibedil

Hasil daripada simulasi peperangan yang dijalankan secara rahsia itu sebagaimana didedahkan oleh akhbar British “The Times” adalah membimbangkan, terutamanya melibatkan kedua-dua buah kapal pengangkut pesawatnya, HMS Queen Elizabeth dan HMS Prince of Wales yang dibina dengan kos US$7.8 billion (RM34.8 billion).
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Angkatan Tentera British dilaporkan telah melaksanakan simulasi peperangan melibatkan pelbagai senario secara rahsia dimana kebolehan tentera lautnya untuk beroperasi dan selamat ketika berhadapan dengan kuasa tentera yang kuat telah diuji.
Dan hasilnya daripada simulasi peperangan itu sebagaimana didedahkan oleh akhbar British “The Times” adalah membimbangkan, terutamanya melibatkan kedua-dua buah kapal pengangkut pesawatnya yang dibina dengan kos US$7.8 billion (RM34.8 billion).
Kedua-dua buah kapal pengangkut pesawat kebanggaan Tentera Laut British, HMS Queen Elizabeth dan HMS Prince of Wales yang telah ditauliahkan dalam perkhidmatan pada 2017 dan 2109 dilaporkan dengan “mudah terdedah kepada ancaman peluru berpandu.”
“Dalam kebanyakkan simulasi peperangan, kapal pengangkut pesawat (milik British) itu berjaya ditenggelamkan,” menurut sumber terbabit kepada akhbar British itu, sambil menambah bahawa kapal-kapal pengangkut pesawat milik negara itu “amat terdedah kepada ancaman peluru berpandu pihak musuh.”
Pengarah Sains Ketenteraan di organisasi pemikir, Royal United Services Institute Matthew Savill dipetika sebagai berkata dalam laporan The Times itu bahawa adalah amat mudah untuk mengesan dan menjejaki kapal-kapal pengangkut pesawat itu disebabkan kepantasan teknologi peluru berpandu itu berkembang.
Dilaporkan juga bahawa Kementerian Pertahanan dan juga Perbendaharaan British sedang mempertimbangkan untuk “melupuskan” salah satu daripada dua buah kapal pengangkut pesawat kebanggaan negara itu.
HMS Prince of Wales dan HMS Queen Elizabeth
HMS Queen Elizabeth dan HMS Prince of Wales adalah dua buah kapal pengangkut pesawat milik Tentera Laut Britain (Royal Navy) dan merupakan kapal-kapal perang terbesar pernah dibina oleh negara itu.
Masing-masing kapal pengangkut pesawat konvensional Britain itu mampu membawa anak kapal 1,600 orang anak kapal dan berkeupayaan membawa sehingga 36 buah pesawat pejuang F-35B (Vertical Short Take-off and Landing), tidak termasuk helikopter.
Tetapi malangnya, sejak kedua-dua kapal pengangkut pesawat Britain itu ditauliahkan pada 2017 dan 2019 masing –masing telah mengalami pelbagai masalah sehingga ada yang menganggap pembinaan dua buah kapal perang itu adalah satu pembaziran.
Ada pengkritik yang mencadangkan supaya kerajaan Britain menjual kedua-dua buah kapal pengangkut pesawat itu kepada sekutu-sekutunya berikutan pelbagai masalah yang dihadapinya, terutamanya melibatkan mekanikal.
Pada Februari lepas, kapal pengangkut pesawat pertama Britain HMS Queen Elizabeth sepatutnya mengetuai Latihan Steadfast Defender yang merupakan latihan terbesar NATO sejak Perang Dingin tetapi penyertaannya dibatalkan pada saat-saat akhir selepas ia mengalami masalah dengan alatan Starboard Propeller.
Berikutan dengan masalah itu, kapal pengangkut pesawat kedua Britain, HMS Prince of Wales telah dikerah untuk menggantikan HMS Queen Elizabeth.
HMS Prince of Wales
Dengan anak kapal anak kapal seramai 1,600 orang, kapal pengangkut pesawat HMS Prince of Wales berkemampuan membawa sehingga 36 buah pesawat pejuang F-35B (Vertical Short Take-off and Landing), tidak termasuk helikopter.
Walau baru sahaja lima tahun ditauliahkan ke dalam Tentera Laut Britain, namun kapal pengangkut pesawat kedua Britian itu memiliki sejarah kerosakan yang agak panjang sebaik sahaja ia ditauliahkan ke dalam perkhidmatan tentera laut negara itu.
Pada tahun 2020, kapal pengangkut pesawat kedua Britian itu “tersadai” di Portsmouth selepas bilik enjinnya dimasuki air menyebabkan kerosakan terhadap sistem elektriknya.
Dalam tempoh dua tahun selepas ditauliahkan, kapal pengangkut pesawat HMS Prince of Wales itu hanya menghabiskan masa kira-kira 90 hari di lautan selepas kebocoran dikesan sebanyak dua kali dalam tempoh lima bulan.
Pada 2022 pula, ketika kapal pengangkut pesawat HMS Prince of Wales sedang bersiap-sedia untuk dikerahkan ke Amerika Syarikat untuk menyertai latihan, ia telah mengalami kerosakan.
Menurut laporan, kerosakan itu berlaku di bahagian starboard propeller dan perlu diganti.
Kapal HMS Queen Elizabeth dan kapal selam nuklear kelas-Astute Britain di Laut Mediterranean.
Untuk memperbaiki kapal pengangkut pesawat HMS Prince of Wales itu dapat dilakukan dengan cepat, maka pihak Royal Navy mengambil keputusan untuk “cannibalise” iaitu mengambil alatan daripada sebuah lagi kapal pengangkut pesawat, HMS Queen Elizabeth dan memasangnya di HMS Prince of Wales.
Selain masalah mekanikal yang kerap dialami kapal-kapal pengangkut pesawatnya, krisis belanjawan pertahanan Britain juga mencengkam angkatan tenteranya sehinggakan media-media negara itu mencadangkan HMS Prince of Wales seberat 65,000 tan akan dijual dengan “harga runtuh” pada negara-negara sahabat yang berminat.
Media-media Britain menyatakan bahawa tentera laut negara itu berkemungkinan terpaksa menamatkan perkhidmatan atau menjual kapal pengangkut pesawat, HMS Prince of Wales kepada negara-negara sahabat untuk menampung kekurangan kritikal belanjawan pertahanan negara itu.
Menurut media-media itu yang memetik sumber dalam Tentera Laut Britain menyatakan bahawa keputusan sama ada untuk menamatkan perkhidmatan atau menjual HMS Prince of Wales itu akan terpaksa dibuat seawalnya tahun 2028.
Peluru berpandu “pembunuh kapal pengangkut pesawat” DF-17 buatan China.
Salah sebuah media negara itu, Daily Mail menyatakan ia diberitahu oleh sumber di dalam tentera laut negara itu bahawa senario di mana Tentera Laut Britain terpaksa menjual kapal pengangkut pesawat HMS Prince of Wales itu telah dibincangkan oleh Maritime Enterprise Planning Group.
Maritime Enterprise Planning Group merupakan kumpulan yang melihat kepada perancangan dan strategi masa depan tentera laut. — DSA
BritishfeaturedKapal Pengangkut PesawatSimulasi