Selepas 25 Tahun, Kerja Pembaikan Kapal Perang Russia “Admiral Nakhimov” Terus Alami Kelewatan

Sumber-sumber memberitahu media pertahanan negara itu bahawa kerja-kerja pembaikan dan naik taraf kapal kruiser berkuasa nuklear kelas-Kirov "Admiral Nakhimov" yang disifatkan sebagai “kapal terkuat Tentera Laut Russia” telah mengalami kelewatan yang serius, walaupun selepas 25 tahun berada di limbungan kapal.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Selepas 25 tahun menjalani kerja-kerja pembaikan dan naiktaraf, kapal kruiser kelas-Kirov berkuasa nuklear Tentera Laut Russia, “Admiral Nakhimov” (Projek 11442M) sepatutnya mula menjalani ujian di lautan (Sea Trial) bermula pada 15 Nov ini.
Bagaimanapun, sumber-sumber memberitahu media pertahanan negara itu bahawa kerja-kerja pembaikan dan naik taraf kapal kruiser yang disifatkan sebagai “kapal terkuat Tentera Laut Russia” telah mengalami kelewatan yang serius, walaupun selepas 25 tahun berada di limbungan kapal.
Russia dikatakan telah membelanjakan US$2 billion (RM9 billion) untuk memperbaiki dan menaiktaraf “Admiral Nakhimov”, tetapi kos itu dipercayai telah meningkat kepada dua kali ganda, menurut penganalisis.
Kelewatan yang serius dalam kerja-kerja pembaikan dan naik taraf itu telah menyebabkan tarikh permulaan Ujian di Lautan “Admiral Nakhimov” itu yang sepatutnya bermula 15 Nov 2024 itu ditangguhkan kepada suatu tarikh yang belum lagi ditentukan pada tahun depan.
“Ini menandakan satu lagi kelewatan dalam jadual pembaikan dan naik taraf kapal itu, yang telah berubah beberapa kali sejak beberapa tahun lalu,” kata sumber tentang kelewatan terbaru yang dialami oleh kapal perang berkuasa nuklear Russia itu.
Kerja-kerja pembaikan dan naik-taraf terhadap kapal cruiser kelas-Kirov Tentera Laut Russia itu bermula pada 1999 di Limbungan Kapal Sevmash.
“Admiral Nakhimov”
Tentera Laut Russia menyifatkan kapal perang permukaan berkuasa nuklear, “Admiral Nakhimov” yang memiliki berat keseluruhan 28,000 tan (full load) sebagai kapal perang permukaan (surface ship) yang paling berkemampuan dimilikinya.
“Admiral Nakhimov” dan sebuah lagi kapal kruiser kelas-Kirov “Pyotr Velikiy” merupakan dua buah kapal perang permukaan milik Tentera Laut Russia berkuasa nuklear.
Tentera Laut Russia bercadang menamatkan khidmat “Pyotr Velikiy” apabila kerja-kerja pembaikan dan naiktaraf “Admiral Nakhimov” selesai dan di mula beroperasi.
Beberapa bulan lalu, Limbungan Kapal Sevmash menyatakan bahawa ia telah memulakan proses latihan bagi anak-anak kapal Admiral Nakhimov.
“Kapal perang itu akan dibawa ke laut untuk menjalani latihan, dengan anak-anak kapal menguji kapal itu dalam semua keadaan operasi,” kata limbungan kapal itu beberapa bulan lepas bagi Ujian di Laut “Admiral Nakhimov” pada 15 Nov.
Kapal perang “Admiral Nakhimov” itu mula menjalani kerja-kerja pembaikan dan naik-taraf di Limbungan Kapal Sevmash sejak tahun 1999, hampir 25 tahun yang lalu.
Admiral Nakhimov
Antara kerja-kerja pembaikan dan naik-taraf yang dilakukan terhadap kapal perang berkuasa nuklear itu adalah menukar uranium di dalam reaktor nuklear miliknya serta memasangnya dengan beberapa sistem persenjataan yang baru termasuk peluru-peluru berpandu kruis.
Ia akan dilengkapi dengan 176 sel-sel bagi Vertical Launch System (VLS) bagi melancarkan peluru-peluru berpandu sasaran darat dan sasaran udara.
Antara sistem persenjataan baru yang bakal dibawa oleh “Admiral Nakhimov” termasuklah peluru berpandu hypersonik “Tsirkon”, dengan pemerhati ketenteraan Russia menyatakan bahawa kapal perang “terkuat” Russia itu akan dilengkapkan dengan 60 butir peluru berpandu hypersonik itu
Dengan kelajuan melebih Mach 8, peluru berpandu hypersonik itu boleh dilengkapi dengan kepala peledak nuklear itu berkemampuan membedil sasaran sejauh 1,000km.
Selain Tsirkon, kapal perang itu juga akan dilengkapi dengan peluru berpandu kruis “Kalibr”, sistem pertahanan udara Fort-M, Pantsir-M selain sistem anti-kapal selam “Paket-NK” dan “Otvet.”
“Admiral Nakhimov”
Kapal kruiser kelas-Kirov “Admiral Nakhimov” itu telah ditauliahkan ke dalam tentera laut Kesatuan Soviet pada tahun 1988 selepas kerja-kerja pembinaannya yang bermula pada tahun 1983 disiapkan ketika era Komunis.
Nama asalnya kapal perang Russia itu adalah “Kalinin” sehinggalah pada tahun 1992 apabila nama kapal itu diubah kepada “Admiral Nakhimov.”
Kapal perang permukaan terkuat Tentera Laut Russia itu, “Admiral Nakhimov” akan berkhidmat dengan Armada Utara (Northern Fleet) apabila kapal perang itu selepas menjalani ujian di lautan. — DSA

 

Admiral NakimovfeaturedKapalRussia
Comments (2)
Add Comment