Kapal “San Jose” Dengan Muatan Emas Bernilai US$17 Bilion (RM68 Bilion)

Di dalam perut kapal “San Jose” itu penuh dengan jongkong-jongkong emas, syiling emas dipanggil “macuquinas”, barangan kemas, bahan-bahan bersejarah termasuk pedang yang dipakai oleh penumpangnya, tembikar dan pelbagai barangan lain.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada 2015, kerajaan Colombia mengumumkan bahawa tentera laut negara itu telah berjaya menemui bangkai sebuah kapal milik Sepanyol yang tenggelam pada tahun 1708 selepas dibedil oleh kapal perang British ketika War of Spanish Succession (1701-1714).

Bangkai kapal Sepanyol yang diberi nama “San Jose” itu dipercayai ditemui berhampiran Pelabuhan Cartagena di sempadan maritim negara Amerika Selatan itu dengan Kepulauan Carribean.

Namun, kedudukan sebenar bangkai kapal Sepanyol atau “galleon” itu masih dirahsiakan oleh kerajaan Colombia sehingga kini.

Barangan berharga yang ditemui daripada bangkai kapal “San Jose.”

 

Apa yang menarik tentang kapal “San Jose” adalah, ketika ia ditenggelamkan akibat bedilan meriam oleh kapal perang British pada tahun 1708 itu,  ia membawa 600 penumpang (kebanyakannya terbunuh) bersama-sama lebih 200 tan emas dan pelbagai barangan berharga yang lain.

Selepas mengumumkan penemuan bangkai kapal Sepanyol itu, kerajaan Colombia bersama-sama tentera lautnya telah meninjau dengan lebih dekat kapal terbabit menggunakan beberapa peralatan penyelaman moden termasuk Remote Operated Vehicle (ROV) yang berkemampuan menyelam dalam kedalaman yang ekstrim.

Presiden Colombian Ivan Duque berkata, negara itu kini memiliki peralatan moden untuk melihat dengan lebih dekat muatan dibawa “San Jose” itu.

Ilustrasi kapal galleon “San Jose”

 

Menggunakan peralatan-peralatan selaman moden, kerajaan Colombia dapat melihat dengan lebih dekat artifak-artifak bersejarah dan berharga yang berada di dalam perut bangkai kapal “San Jose” di dasar laut negara itu.

Apa yang ditemui adalah menakjubkan kerana di dalam perut kapal “San Jose” itu penuh dengan jongkong-jongkong emas, syiling emas dipanggil “macuquinas”, barangan kemas, bahan-bahan bersejarah termasuk pedang yang dipakai oleh penumpangnya, tembikar dan pelbagai barangan lain.

Hasil daripada tinjauan lebih dekat yang dilakukan terhadap muatan-muatan berharga di dalam bangkai kapal itu, pihak berkuasa Colombia mengatakan nilai kesemuanya adalah di sekitar US$17 bilion (RM68 bilion).

Selepas penemuan “San Jose”, kerajaan Sepanyol juga mengatakan ia akan menuntut muatan berharga kapal itu yang didakwa sebagai miliknya.

Beberapa hari lepas, kerajaan negara Amerika Selatan itu telah mengeluarkan beberapa keping gambar dan video menunjukkan bangkai kapal “San Jose” itu bersama-sama muatan berharganya termasuk syiling-syiling emas yang berteraburan di dasar laut.

Tembikar dari perut kapal “San Jose”

 

Selain itu, kerajaan Colombia turut mengumumkan penemuan dua buah bangkai kapal lain berhampiran dengan “San Jose” yang dipercayai daripada era yang sama dengan kapal Sepanyol itu.

Ia turut mengatakan bahawa kemungkinan terdapat 12 lagi bangkai kapal berada berhampiran “San Jose”.

Apa yang ditemui di dasar lautan di Colombia adalah satu bonanza kepada negara Amerika Selatan dan rakyatnya di dalam aspek kekayaan tambahan untuk negara.

Bagaimana pula dengan negara kita, kerana Malaysia yang merupakan sebuah negara maritim dan pusat perdagangan pada kurun-kurun sebelum ini juga dikelilingi dengan bangkai kapal-kapal yang membawa pelbagai muatan berharga juga.

Bangkai “San Jose”

 

Beberapa tahun lepas, terdapat laporan media mengenai penemuan kapal purba di tapak arkeologi Sungai Batu di Kedah.

Manakala misteri mengenai kapal milik Portugis “Flor de la Mar” yang dikatakan membawa lari harta Kesultanan Melayu Melaka juga masih belum terungkai sehingga kini. — DSA

“Flor de la Mar”

 

 

 

CombiaEmasfeaturedGalleonSan Jose