Kapal Perang Russia Lepas Tembakan Amaran Terhadap Kapal Turkiye Di Laut Hitam

Hubungan di antara Turkiye dan Russia yang sebelum ini berada didalam keadaan baik, kini dikatakan semakin terjejas apabila kerajaan Presiden Recep Tayyep Erdogan bertindak menyokong permohonan Ukraine untuk diterima menjadi anggota NATO ketika sidang kemuncak kerjasama tentera Eropah itu di Lithuania beberapa bulan lepas.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebuah kapal perang Russia melepaskan tembakan amaran terhadap kapal kargo milik syarikat Turkiye tetapi mengibarkan bendera Palau ketika ia sedang belayar di Laut Hitam, dalam satu lagi insiden yang menimbulkan tanda-tanya tentang hubungan semasa di antara Moscow dan Ankara.

Menurut Kementerian Pertahanan Russia, kapal perang Russia itu “Vasily Bykov” melepaskan tembakan amaran selepas kapal kargo itu gagal mematuhi arahannya supaya menghentikan pelayarannya bagi membolehkan pemeriksaan terhadap kargo dibawanya.

Kapal kargo milik syarikat Turkiye yang mengibarkan bendera Palau itu pula dikenali sebagai “Sukro Okan” dan dipercayai sedang menuju ke pelabuhan Izmail di Ukraine.

“Vasily Bykov”

 

Bagaimanapun data-data perkapalan menunjukkan kapal milik Turkiye itu kini sedang berada di kawasan pesisir pantai Bulgaria dan sedang menuju ke pelabuhan Sulina yang berada di dalam Romania.

Tidak lama selepas menghentikan pelayaran kapal kargo Turkiye itu, helikopter tentera KA-29 Russia menurunkan anggota-anggota bersenjata untuk melakukan pemeriksaan terhadap kapal dan krewnya.

Selepas berpuashati bahawa kapal kargo Turkiye itu tidak membawa sebarang kargo “dicurigai’, kapal itu dibenarkan untuk meneruskan pelayarannya di Laut Hitam

Pada Julai lepas, Moscow menghentikan penyertaannya dalam kerjasama bijirin Laut Hitam yang menyaksikan Ukraine dibenarkan mengeksport bijirin ke pasaran antarabangsa menerusi Laut Hitam.

Russia menyifatkan semua kapal yang belayar ke Ukraine menggunakan Laut Hitam sebagai berpotensi menyeludup senjata untuk digunakan tentera negara itu.

Ini merupakan kali pertama kapal perang Russia bertindak melepaskan tembakan terhadap kapal-kapal kargo asing yang belayar di Laut Hitam, selepas ia menggantung penyertaannya dalam kerjasama bijirin Ukraine itu.

Kapal kargo “Sukro Okan”

 

Kerajaan Ukraine menyifatkan tindakan kapal perang Russia melepaskan tembakan terhadap kapal kargo asing di Laut Hitam merupakan tindakan “pelanunan” oleh sebuah negara.

Hubungan di antara Turkiye dan Russia yang sebelum ini berada didalam keadaan baik, kini dikatakan terjejas apabila Ankara bertindak menyokong permohonan Ukraine untuk diterima menjadi anggota NATO ketika sidang kemuncak kerjasama tentera itu di Lithuania beberapa bulan lepas.

Pelbagai pihak di Russia menyifatkan tindakan Turkiye menyokong permohonan Ukraine itu sebagai suatu tindakan “menikam belakang.”

Sebelum ini, Presiden Turkiye Recep Tayyep Erdogan dan Vladimir Putin mengekalkan hubungan baik disebalik konflik Ukraine-Russia, namun beberapa insiden kebelakangan ini menunjukkan ketidakstabilan di antara kedua-dua negara pesisir Laut Hitam itu.

Beberapa hari lepas, beberapa penganalisis keselamatan dipetik oleh portal pertahanan antarabangsa menyatakan bahawa serangan peluru berpandu Russia terhadap kemudahan syarikat aeroangkasa “Moto Sich” di wilayah Khmelnytskyi barat Ukraine, 300km daripada ibu negara Kiev pada 6 Ogos lepas merupakan suatu “mesej tidak langsung” Moscow kepada Turkiye.

“Moto Sich” menghasilkan beberapa jenis enjin yang digunakan oleh dron-dron dan helikopter yang dibangunkan oleh industri pertahanan Turkiye.

Syarikat Motor Sich membekalkan pelbagai jenis enjin untuk industri pertahanan Turkiye.

 

Antara syarikat pertahanan Turkiye yang menggunakan enjin keluaran “Moto Sich” adalah Baykar Technology yang menggunakan enjin keluaran syarikat Ukraine itu untuk produknya termasuk Akinci dan Kizilelma.

Manakala bagi, Turkish Aerospace Industry (TAI) pula,ia menggunakan enjin keluaran syarikat aeroangkasa Ukraine itu untuk pesawat tanpa pemandunya, Anka-3 dan juga helikopter penyerang berat yang sedang dibangunkannya ketika ini, ATAK-2.

Seorang penganalisis pertahanan dikenali dengan nama, Eugene Kogan memberitahu portal pertahanan antarabangsa Defense News bahawa serangan terhadap “Moto Sich” itu adalah mesej Russia berkenaan ketidakpuasan hati Moscow tentang pembabitan dan kerjasama menantu Presiden Recep Tayep Erdogan dengan tentera Ukraine.

Menantu Presiden Turkiye yang dimaksudkan itu adalah Selcuk Bayraktar, ketua pegawai eksekutif Baykar Technology.

Kemudahan syarikat Moto Sich selepas serangan.

 

“Mungkin Russia mahu menyampaikan mesej kepada Turkiye bahawa, walaupun Moscow dan Ankara mempunyai hubungan yang baik, tetapi penglibatan menantu anda dengan dengan kerajaan Ukraine akan meninggalkan kesan yang besar.”

“Apa-apa kemudahan penghasilan produk tentera, sama ada ia dimiliki oleh tempatan atau asing, adalah sasaran yang sah di mata pihak Russia,” kata penganalisis pertahanan itu. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

featuredKapal PerangRussiaTembakanTurkiye