(VIDEO) Indonesia Kurangkan Sumbangan Kewangannya Terhadap Program KF-21 “Boramae”

(VIDEO) Agensi perolehan pertahanan Korea Selatan, Defense Acquisition Program Administration (DAPA) mengesahkan bahawa Indonesia telah mencadangkan supaya ia mengurangkan pembayaran terhadap program pembangunan pesawat pejuang KF-21 "Boramae".

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Korea Selatan dilaporkan akan menerima cadangan oleh Indonesia yang mahu mengurangkan sumbangan kewangan dibuatnya dalam program pembangunan pesawat pejuang generasi 4.5 KF-21 “Boramae”.

Indonesia kini hanya akan membayar satu pertiga daripada apa yang sepatutnya ia bayar kepada Korea Selatan dalam program pembangunan pesawat pejuang KF-21 itu.

Agensi perolehan pertahanan Korea Selatan, Defense Acquisition Program Administration (DAPA) mengesahkan bahawa Indonesia telah mencadangkan supaya ia mengurangkan pembayaran terhadap program pembangunan pesawat pejuang KF-21.

Menurut DAPA, disebabkan Indonesia mengurangkan bayarannya maka Korea Selatan juga akan mengurangkan pemindahan teknologi kepada Jakarta berkaitan program pembangunan pesawat pejuang itu.

“Indonesia telah mencadangkan untuk membayar US$400 juta (RM1.9 billion) menjelang akhir tahun 2026. Kami sedang mempertimbangkan secara positif untuk menerima cadangan itu (oleh Indonesia) ,” menurut DAPA dalam satu kenyataan.

“Kami juga sedang merangka pelan untuk mengubasuai skala pemindahan teknologi selari dengan pengurangan bayaran (oleh Indonesia).”

Mengikut perjanjian asal, Indonesia sepatutnya membayar kira-kira US$2 billion (RM9 billion) kepada Korea Selatan kerana menjadi rakan pembangunan dalam program pesawat pejuang KF-21.

Tetapi ia beberapa kali gagal menjelaskan pembayaran, malah menurut laporan media, kali terakhir Indonesia membayar wang sumbangannya kerana menjadi rakan kongsi program pembangunan pesawat pejuang itu adalah pada tahun 2017.

Indonesia memiliki 20 peratus pegangan dalam program pembangunan pesawat pejuang KF-21 “Boramae” itu tetapi telah gagal melunaskan bayaran penyertaannya dalam program itu sejak 2017.

Jakarta juga bercadang memperolehi sejumlah 50 buah pesawat pejuang generasi 4.5 itu.

Indonesia dan Korea Selatan telah menandatangani perjanjian pada 2010 untuk bekerjasama di dalam program pembangunan pesawat pejuang itu, dengan Jakarta dikatakan akan menerima prototaip pesawat KF-21 yang kelima itu.

Sebagai rakan kerjasama bagi program pembangunan pesawat KF-21,Jakarta bersetuju untuk membayar 20 peratus daripada jumlah keseluruhan kos pembangunan pesawat pejuang itu.

Bukan sahaja pihak Korea Selatan berhadapan dengan masalah pembayaran oleh Indonesia, tetapi negara Asia Timur itu juga sedang melakukan siasatan terhadap dua orang jurutera Indonesia kerana disyaki cuba mencuri teknologi berkaitan dengan pesawat pejuang KF-21 “Boramae” yang sedang dibangunkan pada ketika ini.

Agensi itu berkata bahawa kedua-dua jurutera Indonesia itu ditugaskan dalam program pembangunan pesawat pejuang KF-21 dan bekerja di kemudahan milik Korea Aerospace Industries (KAI), yang merupakan syarikat pembuat pesawat tunggal di Korea Selatan.

Menurut DAPA jurutera-jurutera Indonesia terbabit disyaki cuba menyimpan data-data rahsia tentang projek pesawat pejuang KF-21 itu di dalam USB.

Kedua-dua jurutera Indonesia itu dilarang meninggalkan Korea Selatan, sementara siasatan sedang dijalankan terhadap mereka.

“Satu siasatan bersama oleh agensi-agensi berkaitan termasuk Perkhidmatan Perisikan Nasional Korea Selatan sedang berjalan pada ketika ini untuk mengetahui perincian mengenai dakwaan kecurian teknologi oleh Indonesia,” menurut pegawai DAPA kepada wartawan di Korea Selatan.

Siasatan itu kata pegawai DAPA terbabit memfokuskan usaha untuk mengenalpasti dokumen spesifik yang cuba dicuri oleh jurutera Indonesia terbabit.

Dilancarkan pada 2015, program pembangunan pesawat KF-21 itu bertujuan menggantikan pesawat-pesawat pejuang supersonik milik Tentera Udara Korea Selatan (ROKAF) yang telah berusia seperti F-4 Phantom dan F-5.

KF-21 “Boramae”

 

KAI merancang untuk membekalkan 40 buah pesawat KF-21 Block 1 yang direkabentuk untuk misi udara-ke-udara bermula pada tahun 2026, diikuti oleh 80 buah pesawat Block 2 itu untuk misi udara-ke-darat.

Walaupun masih menjalani pelbagai ujian dan kini diselubungi pula dengan dakwaan kecurian teknologi oleh jurutera Indonesia yang terlibat dalam program pembangunannya, pesawat pejuang generasi 4.5 KF-21 “Boramae” akan mula dibina secara besar-besaran (mass production) pada tahun ini.

Syarikat yang membangunkan pesawat itu, Korea Aerospace Industries (KAI) dilaporkan akan berbelanja sebanyak US$178 juta (RM800 juta) untuk mula membina 40 buah pesawat KF-21 “Boramae” itu. 

“Pembinaan secara besar-besaran (mass production) pertama pesawat KF-21 Boramae itu dijangkakan akan mengisi vakuum kekuasaan yang ditinggalkan apabila Tentera Udara Korea Selatan menamatkan pesawat-pesawat pejuang yang telah berusia,” menurut menteri pertahanan negara itu dalam satu kenyataan Disember lalu. — DSA

 

featuredIndonesiaKF-21Korea Selatan
Comments (0)
Add Comment