Russia Kerah Kapal Perang, Pesawat Pejuang Pantau HMS Queen Elizabeth Di Timur Mediterranean

Menurut laporan oleh pemerhati aktiviti tentera Russia di Syria, kerahan itu melibatkan sekurang-kurang tujuh buah kapal perang, termasuk dua buah kapal selam Kilo, selain dibantu oleh pesawat-pesawat pejuang serta pengebom yang berpengkalan di Pangkalan Udara Khmeimim juga di Syria.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Russia dilaporkan telah mengerahkan kapal-kapal perang dan kapal selamnya yang berpengkalan di Pangkalan Laut Tartus di Syria ke timur Laut Mediterranean untuk memantau pergerakan rombongan kapal pengangkut pesawat British HMS Queen Elizabeth (CSG21).

Menurut laporan oleh pemerhati aktiviti tentera Russia di Syria, kerahan itu melibatkan sekurang-kurang tujuh buah kapal perang, termasuk dua buah kapal selam Kilo, selain dibantu oleh pesawat-pesawat pejuang serta pengebom yang berpengkalan di Pangkalan Udara Khmeimim juga di Syria.

Pesawat-pesawat yang diketahui berada di Syria pada ketika ini termasuklah MiG-31K, pengebom Tu-22M, pesawat ASW IL-38 dan beberapa skuadron Su-34 yang sememangnya berada di Syria untuk membantu operasi tentera Russia di negara Arab itu.

Dua buah pesawat MiG-31K yang baru tiba di Syria Khamis lepas turut membawa peluru berpandu Hypersonic “Kinzhal” yang mampu membedil sasaran sehingga 2,000km jauhnya.

Pangkalan Laut Russia di Tartus, Syria.

 

Ok berbalik tentang kapal-kapal permukaan Tentera Laut Russia yang dipercayai berada di timur Laut Mediterranean ketika ini untuk memantau (shadow) rombongan kapal perang British itu termasuk sebuah kapal korvet kelas Buyan-M (Project 21631)  dan sebuah kapal peronda kelas Vasiliy Bykov (Project 22160).

Kapal-kapal lain termasuk sebuah kapal friget kelas-Admiral Makarov (Project 11356).

Aset-aset tentera laut Russia yang berada di Pangkalan Laut Tartus di Syria itu juga turut diperkuatkan baru-baru ini dengan kehadiran kapal cruiser kelas-Moskva (Project 1164) dan kapal friget kelas-Admiral Essen (Project 11356).

Gabungan tentera laut dan udara Russia di Syria menjadikan ia ketumbukan yang kuat untuk berhadapan dengan HMS Queen Elizabeth yang turut membawa pesawat F-35B British dan Amerika Syarikat.

Pertembungan antara tentera Russia dan British serta Amerika Syarikat di perairan timur Laut Mediterranean ini berlaku beberapa hari selepas insiden membabitkan kapal destroyer British, HMS Defender di perairan Crimea di Laut Hitam.

Pesawat-pesawat F-35B beroperasi daripada atas kapal HMS Queen Elizabeth.

 

Imej-imej satelit menunjukkan kapal pengangkut pesawat HMS Queen Elizabeth dan kapal-kapal pengiringnya kini dikatakan berada kira-kira 110km di selatan Pulau Cyprus di timur Laut Mediterranean.

Tentera Udara British mengoperasikan satu pangkalan udara yang besar di Akrotiri, Cyprus.

Kapal destroyer, HMS Defender merupakan salah sebuah kapal pengiring HMS Queen Elizabeth sebelum ia belayar ke Laut Hitam daripada Laut Mediterranean untuk melakukan operasi FONOP di perairan Crimea tempoh hari.

Pada ketika ini HMS Defender sedang berlabuh di Pelabuhan Batumi di Georgia sebelum menyertai Latihan Sea Breeze anjuran Amerika Syarikat dan Ukraine.

Rombongan HMS Queen Elizabeth yang kini berada berhampiran Cyprus juga dijangka mengadakan latihan laut dan udara di perairan timur Laut Mediterranean membabitkan kapal-kapal tentera laut negara serantau.

Kapal destroyer British, HMS Defender di pelabuhan Batumi, Georgia.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

 

HMS Queen ElizabethLaut MediterraneanMiG-31KRussiaTU-22M. Kinzhal