(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dikala Amerika Syarikat, China dan negara-negara lain sedang berlumba-lumba untuk membina kapal-kapal pengangkut pesawat (aircraft carrier) untuk menonjolkan kuasa maritim mereka, Russia pula masih dengan kapal pengangkut pesawat tunggal mereka yang sering rosak, “Admiral Kuznetsov.”
Mengapa Russia sebagai sebuah kuasa tentera utama dunia, dengan pengetahuan kejuruteraan dan ketenteraan yang tinggi hanya memiliki sebuah kapal pengangkut pesawat berbanding 11 buah yang dimiliki oleh pesaing terdekatnya, Amerika Syarikat?
Amerika Syarikat memiliki 11 buah kapal pengangkut pesawat, manakala China baru sahaja siap membina kapal pengangkut pesawatnya yang ketiga “Fujian” baru-baru ini dan akan menambah dua lagi dalam tempoh beberapa tahun akan datang, Britain ada dua kapal pengangkut pesawat dan negara-negara lain juga sama ada merancang untuk membina atau sedang membinanya kapal pengangkut pesawat masing-masing.
Russia kekal dengan sebuah kapal pengangkut pesawat, Admiral Kuznetsov yang sering rosak itu.
Sebenarnya, Russia sememangnya tidak pernah dikenali sebagai sebuah kuasa maritim dunia kerana kuasa laut Russia atau Kesatuan Soviet sememangnya adalah terhad sejak dari dahulu lagi, malah negara itu lebih diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa sebagai sebuah kuasa darat.
Sebab itulah, Russia atau Kesatuan Soviet tidak begitu mementingkan pemilikan kapal-kapal pengangkut pesawat dalam doktrin tentera lautnya, walaupun ketika zaman Komunisme terdapat percubaan untuk membina kapal pengangkut pesawat yang besar sehingga mencecah berat 80,000-90,000 tan untuk mencabar Amerika Syarikat.
Ketika zaman Kesatuan Soviet, ia melancarkan Projek 1153 Orel (Eagle) untuk membina sebuah kapal pengangkut pesawat yang besar dengan berat mencecah sehingga 85,000 tan untuk mencabar kapal pengangkut pesawat Amerika.
Kapal pengangkut pesawat Soviet itu dinamakan “Kremlin” sebelum ditukar ke “Ulyanovsk” bersempena dengan tempat kelahiran Vladimir Lenin, tetapi usaha pembinaan itu akhirnya terbengkalai akibat beberapa sebab termasuk kekurangan sumber kewangan dan kepentingan ketenteraan yang sudah berubah.
Sumber kewangan yang terhad dan tiada kemahuan politik di zaman Komunis meranapkan lagi harapan Tentera Laut Soviet untuk melihat pembinaan kapal-kapal pengangkut pesawat bagi mencabar dominasi Amerika Syarikat.
Satu lagi sebab utama mengapa Kesatuan Soviet dan Russia tidak begitu teruja untuk membina lebih banyak kapal pengangkut pesawat adalah kerana lokasi-lokasi pangkalan bagi armada-armada tentera lautnya, yang ternyata menyukarkannya untuk mengoperasikan kapal pengangkut pesawat.
Tentera Laut Russia memiliki empat armada iaitu Armada Utara (Northern Fleet), Armada Baltik (Baltic Fleet), Armada Laut Hitam (Black Sea Fleet) dan Armada Pasifik (Pacific Fleet).
Kapal-kapal Tentera Laut Russia yang bernaung di bawah Armada Laut Hitam terpaksa belayar di perairan Turki apabila ia meninggalkan pangkalannya di Sevastopol, manakala bagi kapal-kapal yang bernaung di bawah Armada Baltik pula terpaksa melintas Selat Skargerak yang memisahkan Denmark dengan kawasan pantai Norway dan Sweden.
Hanya Armada Utara dan Armada Pasifik yang beruntung kerana ia berdepan dengan laut lepas milik antarabangsa tetapi cuaca yang terlalu ekstrim pula menyukarkan operasi kapal pengangkut pesawat dan anak-anak kapalnya di kedua-dua kawasan tersebut.
Armada Utara berpangkalan di Severmorsk di Murmansk Oblast yang terletak di Garisan Artik (Artic Circle) dengan cuaca membeku pada musim sejuk, manakala Armada Pasifik pula berpangkalan di bandar Vladivostok dengan purata suhu pada cuaca sejuk boleh menjunam ke tahap -12 darjah celcius.
Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store:
Cuaca yang terlalu ekstrim dan terlalu sejuk sememangnya menyukarkan operasi kapal pengangkut pesawat dan anak-anak kapalnya.
Satu lagi sebab mengapa Soviet dan Russia kurang membina kapal-kapal pengangkut pesawat adalah ia tidak memiliki pangkalan-pangkalan luar negara yang boleh menjadi hos kepadanya, berbanding dengan kapal-kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat yang memiliki pangkalan laut di seluruh pelusuk dunia.
Satu-satunya pangkalan laut luar negara milik Russia iaitu di Tartus, Syria tidak berkemampuan untuk menampung operasi kapal pengangkut pesawat. — DSA