Russia Hantar S-400 “Triumf” Ke Iran Untuk Pertahan Loji-Loji Nuklearnya?

Russia dilapor membekalkan sistem pertahanan udara S-400 “Triumf” itu selepas Iran memintanya dan anggota tentera negara itu dilaporkan telah bertindak dengan pantas untuk menghantar dan memasang sistem itu beberapa lokasi di Iran terutamanya untuk mempertahan loji-loji nuklearnya.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Beberapa hari lalu, Defence Security Asia melaporkan bahawa Russia telah mula membekalkan sistem peperangan elektronik jarak jauh “Murmansk-BN” kepada Iran dan kini laporan juga menyatakan bahawa Moscow turut membekalkan sistem pertahanan udara S-400 “Triumf” kepada Teheran.

Russia dilapor membekalkan sistem pertahanan udara S-400 “Triumf” itu selepas Iran memintanya dan anggota tentera negara itu dilaporkan telah bertindak dengan pantas untuk menghantar dna memasang sistem itu beberapa lokasi di Iran terutamanya untuk mempertahan loji-loji nuklearnya.

Akhbar terkenal Amerika Syarikat, New York Times menyatakan bekalan sistem pertahanan udara S-400 itu ke Iran itu disahkan oleh pegawai-pegawai kerajaan Iran dan juga beberapa pegawai Kor Pengawal Revolusi Islam Iran.

Bekalan sistem pertahanan udara S-400 “Triumf”, sistem peperangan elektronik “Murmansk-BN” dan pelbagai sistem persenjataan lain buatan Russia kepada Iran berlaku ketika Teheran mengancam untuk melancarkan serangan besar-besaran terhadap Israel berikutan tindakannya melancarkan serangan yang membunuh Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh.

Selain Iran, kumpulan-kumpulan bersenjata yang disokong oleh Teheran termasuk Hezbollah, Houthi dan pelbagai kumpulan lain turut mengancam untuk melancarkan serangan balas-dendam terhadap Israel.

S-400 “Triumf”

 

Israel pula menyatakan bahawa ia akan melancarkan serangan balas besar-besaran terhadap Iran sekiranya Teheran memulakan serangan itu.

Sebelum ini, Iran telah pun memiliki sistem pertahanan udara S-300 tetapi pemilikan sistem pertahanan udara S-400 lebih membimbangkan pesawat-pesawat pejuang milik Israel dan Amerika Syarikat disebabkan kemampuannya membedil sasaran udara sejauh lebih 400km.

Dilaporkan pada 2 Ogos lalu, pesawat-pesawat pengangkut Russia telah mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Teheran.

Pesawat pengangkut itu dikenalpasti IL-76TD milik Gelix Airlines yang sememangnya diketahui digunakan oleh Moscow untuk menghantar senjata dengan menyamar sebagai syarikat kargo udara awam.

Pada April lalu, akhbar Amerika Syarikat, The Washington Post menyatakan Moscow telah menjemput delegasi daripada Iran untuk melawat pelbagai kemudahan pembuatan senjatanya termasuk syarikat yang membina beberapa komponen penting sistem pertahanan udara S-400.

Delegasi yang terdiri daripada 17 orang pegawai kanan Iran itu telah dibawa melawat kemudahan milik syarikat START NPP terletak di bandar Yekaterinburg yang terlibat dalam pembuatan komponen-komponen kritikal untuk sistem pertahanan udara S-400.

Peluru berpandu terbaru 40N6 digunakan sistem pertahanan udara jarakjauh S-400 “Triumf”.

 

Sistem pertahanan udara S-400 sememangnya amat digeruni oleh dunia Barat kerana kemampuannya untuknya untuk mengesan dan memusnahkan sasaran udara termasuk pesawat-pesawat pejuang yang dikategorikan sebagai halimunan seperti F-35.

Sistem pertahanan udara S-400 itu berkemampuan menembak jatuh sasaran udara sejauh 400km.

Beberapa varian sistem pertahanan udara S-400 itu dilengkapi dengan radar berkuasa tinggi yang boleh menewaskan teknologi halimunan yang digunakan oleh pesawat-pesawat pejuang seperti F-35 serta pesawat pengebom.

Menurut pegawai-pegawai perisikan Amerika Syarikat, lawatan delegasi Iran ke kemudahan pembuatan senjata Russia itu membuktikan betapa eratnya hubungan pertahanan di antara kedua-dua negara, terutamanya selepas tercetusnya konflik di Ukraine.

Beberapa hari lalu, Iran dilaporkan telah dibekalkan dengan sistem peperangan elektronik jarak jauh oleh Russia dipanggil “Murmansk-BN”, bagi berhadapan dengan kemungkinan serangan besar-besaran oleh Israel dan Amerika Syarikat.

Laporan menyatakan Iran telah memasang sistem peperangan elektronik jarak jauh ini di beberapa bahagian negara itu.

“Murmansk-BN”

 

Sistem peperangan elektronik jarak jauh dipanggil “Murmansk-BN” itu dikatakan ia adalah sistem EW paling berkuasa di dalam angkatan tentera negara Russia.

Sistem “Murmansk-BN” berkeupayaan menganggu dan memintas signal-signal radio, Global Positioning System (GPS), komunikasi, satelit dan sistem elektronik musuh lain sehingga 5,000km jauhnya.

Tujuan utama sistem ini adalah untuk menganggu dan memusnahkan sistem komunikasi satelit berfrekuensi tinggi miliik Amerika Syarikat dan NATO.

Selain itu, ia boleh juga membuatkan senjata-senjata “pintar” (smart munition) dan sistem-sistem pesawat tanpa pemandu “menjadi buta dan pekak.”

Terdapat penganalisis pertahanan mengatakan jarak operasi sistem Murmansk-BN bukan 5,000km tetapi jarak maksimum operasinya adalah sehingga 8,000km. — DSA

featuredIranRussiaS-400
Comments (0)
Add Comment