Russia Bina Secara Besar-Besaran Bom FAB-3000, Berat Tiga Tan

Pihak tentera Russia dilaporkan telah memulakan semula pengeluaran besar-besaran (mass production) bom seberat 3 tan dipanggil FAB-3000 yang dilengkapi dengan bahan peledak Trinitrotoluene (TNT) seberat 1.4 tan.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pihak tentera Russia dilaporkan telah memulakan semula pengeluaran besar-besaran (mass production) bom seberat 3 tan dipanggil FAB-3000 yang dilengkapi dengan bahan peledak  Trinitrotoluene (TNT) seberat 1.4 tan.

Russia atau Kesatuan Soviet mula membina bom-bom FAB-3000 itu pada Perang Dunia Kedua dan kini ia mahu membina bom-bom seberat tiga tan itu semula, berkemungkinan besar untuk konflik di Ukraine atau sebagai persediaan untuk berhadapan peperangan yang lebih besar.

Walau apapun Russia tidak memberikan alasan mengapa ia membina semula bom-bom seberat 3 tan itu.

Radius letupan daripada bom FAB-3000 adalah kira-kira 900 meter yang boleh menyebabkan kemusnahan besar-besar terhadap sasarannya, sama ada bangunan atau pangkalan-pangkalan tentera.

Walaupun bom-bom daripada keluarga FAB itu diperbuat tanpa sebarang sistem panduan, namun ia akan dilengkapi dengan kit Universal Module for Planning and Correction (UMPC) atau Unifitsirovannyi Modul Planirovaniya i Korrektsii (UMPK) bagi menjadikannya bom-bom berpanduan atau bom pintar.

Konsep UMPC atau UMPK ini adalah sama dengan kit-kit JDAM buatan pihak tentera Amerika Syarikat yang menukar bom-bom bodoh kepada bom pintar.

Selain meningkatkan lagi “kepandaian” bom-bom bodoh selepas dilengkapkan dengan kit UMPC/UMPK, ia juga meningkatkan jarak bedilannya kerana ia juga dilengkapi dengan “sayap” bagi membolehkan ia meluncur lebih jauh sebaik sahaja digugurkan oleh pesawat.

Bom-bom yang dilengkapi dengan kit UMPC/UMPK beserta sayap/glider boleh membedil sasaran sejauh 80km.

Penganalisis tentera Barat juga menggelar bom-bom ini sebagai “winged bomb” (bom bersayap) atau “glide bom”.

Kini tentera Ukraine akan berhadapan dengan bom-bom FAB-3000 seberat 3 tan yang mampu “terbang” sejauh di antara 80km hingga 100km apabila dipasang dengan kit UMPC/UMPK untuk membedil sasaran yang terletak jauh di dalam wilayahnya.

Bom-bom dilengkapi dengan dilengkapi dengan kit UMPC/UMPK disifatkan sebagai kalis sistem pertahanan udara kerana ia tidak menghasilkan sebarang signal elektromagnetik radio atau radar atau haba daripada enjin yang boleh dikesan oleh pengesan Infra Red (IR) sistem pertahanan udara itu.

Menteri Pertahanan Russia Sergey Shoigu ketika melawat kilang yang menghasikan bom-bom FAB baru-baru ini.

 

Russia menggunakan bom-bom dilengkapi dengan kit UMPC/UMPK untuk membedil kubu-kubu pertahanan Ukraine yang diperkukuhkan dan terletak di luar daripada kawasan perlindungan sistem pertahanan udara miliknya.

Pada ketika ini, tentera Russia telah banyak menggunakan bom-bom FAB-500 seberat 500kg dan juga FAB-1500 seberat 1.5 tan untuk membedil kedudukan tentera Ukraine dan hasilnya sebagaimana didakwa oleh Moscow adalah amat berkesan.

Mengakui bahawa bom-bom FAB selepas ia dilengkapi dengan kit UMPC/UMPK adalah amat berkesan di medan peperangan di Ukraine, maka pihak tentera Russia kini meningkatkan keberkesanan keluarga bom FAB itu dengan memperkenalkan FAB-3000 seberat 3 tan pula.

Menurut penganalisis tentera Russia, bom-bom FAB-3000 seberat tiga tan yang dilengkapi dengan kit UMPC/UMPK akan digugurkan oleh pesawat pengebom seperti Tu-22M3 dan bukan lagi oleh pesawat pejuang Su-34 seperti sebelum ini.

Bom-bom FAB 1500 tanpa dilengkapi dengan kit UMPK.

 

Bagaimanapun mimpi ngeri Ukraine dengan pembuatan besar-besaran bom FAB-3000 itu berkemungkinan tidak berakhir setakat itu sahaja kerana terdapat dua lagi ahli keluarganya iaitu bom FAB-5000 seberat 5 tan dan juga FAB-9000 seberat 9 tan.

Setakat ini, pihak Russia tidak lagi memberikan keputusan sama ada ia akan memulakan semula pembuatan bom-bom FAB-5000 dan FAB-9000, tetapi ia berkemungkinan juga bergantung kepada keadaan di medan peperangan di Ukraine. — DSA

BomFABfeaturedRussia