Persaingan Sengit Rafale, Typhoon Untuk Tarik Minat Bangladesh

satu rintangan yang terpaksa dihadapi oleh Paris  adalah negara jiran Bangladesh iaitu India turut menggunakan pesawat pejuang Rafale dan ia dikatakan telah membuatkan Dhaka kurang berminat untuk memperolehi pesawat pejuang Perancis itu yang turut digunakan oleh negara jirannya itu.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pesawat pejuang Rafale dan Eurofighter Typhoon sedang bersaing dengan sengit untuk menarik minat Bangladesh yang bercadang memperolehi pesawat pejuang untuk tentera udaranya.

Dibawah program “Force Goals 2030”, Angkatan Tentera Bangladesh mahu memodenkan ketiga-tiga cabang angkatan tenteranya dengan sistem persenjataan moden.

Dibawah program pemodenan angkatan tentera itu, negara Asia Selatan itu memperolehi 32 buah pesawat pejuang J-7/F-7 buatan China dan pada 2018 ia telah mengiklankan tender untuk memperolehi lapan buah pesawat pejuang MRCA (Multi Role Combat Aircraft) untuk fasa pertama.

Pesawat-pesawat pejuang Rafale Tentera Udara Qatar.

 

Dibawah fasa kedua pula, Dhaka bercadang memperolehi empat buah lagi pesawat MRCA, membawa keseluruhan jumlahnya kepada 12 buah.

Bagaimanapun sebelum ia sempat memperolehi pesawat MRCA itu, pandemik COVID-19 melanda seluruh dunia dan Bangladesh turut terjejas sehingga menyebabkan ia terpaksa menangguhkan keputusan pemilihan pesawat pejuang itu.

Kini selepas pandemik COVID-19 berlalu, negara Asia Selatan itu bercadang meneruskan semula perancangan perolehan pesawat MRCA untuk tentera udaranya, dengan Rafale dan Eurofighter Typhoon dikatakan calon-calon untuk merebut kontrak Bangladesh itu.

Dhaka dijangka membuat keputusan pesawat pejuang pilihannya pada tahun depan.

Hari ini, sebaik sahaja menghadiri mesyuarat negara-negara G20 di India, Presiden Perancis Emannuel Macron telah terbang ke Bangaldesh untuk melawat negara Asia Selatan itu dan bertemu dengan pemimpinnya.

Macron dan Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina di Dhaka.

 

Sudah tentu, Macron akan menggunakan peluang berkunjung ke Bangladesh itu untuk mempromosi dan menarik minat negara itu supaya memilih pesawat pejuang Rafale buatan syarikat Dassault Aviation untuk tentera udaranya.

Dalam tindakan di anggap mengejut dan secara tiba-tiba, Presiden Perancis itu memutuskan untuk mengadakan lawatan kerja selama dua hari ke Bangladesh.

Macron berkemungkinan teruja dengan peningkatan jualan pesawat pejuang Rafale beberapa tahun kebelakangan ini daripada negara-negara seperti Indonesia, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Croatia, Greek dan beberapa negara lain.

Maka Paris kini sedang mempertingkatkan usahanya pemasarannya di Bangladesh, dengan harapan ia dapat menarik sebuah lagi negara untuk menjadi pelanggan pesawat pejuang Rafale.

Bagaimanapun satu rintangan yang terpaksa dihadapi oleh Paris  adalah negara jiran Bangladesh iaitu India turut menggunakan pesawat pejuang Rafale dan ia dikatakan telah membuatkan Dhaka kurang berminat untuk memperolehi pesawat pejuang Perancis itu yang turut digunakan oleh negara jirannya itu.

Pesawat pejuang Typhoon membawa dua buah peluru berpandu “Storm Shadow”

 

Sebab itulah, ramai dikalangan penganalisis pertahanan di Bangladesh menyatakan bahawa kemungkinan tinggi adalah negara itu akan memilih pesawat pejuang Eurofighter Typhoon dan menolak tawaran daripada Perancis itu adalah amat tinggi pada ketika ini.

New Delhi telah pun mengoperasikan 36 buah pesawat pejuang Rafale pada ketika ini dan baru-baru ini telah memesan sebanyak 26 buah varian Rafale M untuk operasi di atas kapal-kapal pengangkut pesawatnya.

Diatas sebab itulah, peluang pesawat pejuang Eurofighter Typhoon untuk dipilih oleh kerajaan Bangladesh semakin tinggi.

Dhaka dikatakan “kurang berminat” untuk memiliki pesawat pejuang yang sama seperti negara jirannya, India.

Pada ketika ini, Tentera Udara Bangladesh mengoperasikan lapan buah pesawat pejuang MiG-29 S/UB yang diperolehinya daripada Russia pada awal tahun 2000, diikuti dengan 32 pesawat Chengdu F-7 yang merupakan versi pesawat under-license MiG-21 yang dibina oleh China.

Sebuah pesawat pejuang MiG-29 Tentera Udara Bangladesh.

 

Pada 2013, produksi bagi pesawat ini telah pun ditamatkan sejurus selepas penghantaran pesawat itu kepada Bangladesh.

Selain itu Bangladesh juga menggunakan beberapa jenis pesawat untuk misi-misi serangan darat dan Light Combat Aircraft (LCA), dengan aset terbaru adalah 16 buah pesawat YAK-130 (opsyen lagi 10 buah) yang dibangunkan oleh firma Irkut daripada Russia.

Bangladesh juga menggunakan pesawat-pesawat seperti Nanchang A-5, L-39 Albatross, beberapa jenis pesawat latihan, pesawat pengangkut seperti C-130 Hercules, Mil Mi-17 dan lain-lain. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

BangladeshfeaturedMinatRafaleTyphoon
Comments (0)
Add Comment