“Pegase23”: Empat Buah Rafale Tentera Udara Perancis Kini Di Malaysia

Objektif misi udara "Pegase23" itu adalah untuk menonjolkan kuasa udara Perancis ke rantau Indo-Pasifik membabitkan 10 buah pesawat pejuang Rafale B/C, lima buah pesawat pengisi minyak A330 MRTT (Multi Role Tanker Transport) dan empat buah pesawat pengangkut A400M Atlas, untuk menangani sikap agresif tentera China.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Empat buah pesawat pejuang Rafale milik Tentera Udara Perancis melakukan persinggahan selama dua hari di Malaysia, sebelum ia meneruskan semula misi udara Long-Range Power Projection (Penonjolan Kuasa Udara Jarak Jauh) dinamakan “Pegase23”.

Kehadiran keempat-empat pesawat pejuang itu di pangkalan udara TUDM, Subang pada Isnin (26 Jun 2023) diiringi oleh dua buah pesawat A330 MRTT (Multi Role Tanker Transport)  dan sebuah pesawat pengangkut A400M Atlas.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kedutaan Perancis di Malaysia, pesawat-pesawat milik Tentera Udara Perancis akan berada di Malaysia sehingga Rabu ini, sebelum ia meneruskan misi udara “Pegase23”.

(kredit Kedutaan Perancis di Malaysia)

 

Semasa di Malaysia pesawat-pesawat terbabit akan mengadakan latihan bersama pada Selasa (27 Jun 2023)

Enam buah pesawat pejuang Rafale, tiga buah pesawat MRTT dan tiga A400M pula melakukan persinggahan di Singapura pada hari yang sama.

Misi udara “Pegase23” merangkumi 11 persinggahan di 10 buah negara serta kerjasama dengan 14 buah tentera udara.

Objektif misi udara itu adalah untuk mengerahkan kehadiran berskala besar pesawat Tentera Udara Perancis daripada tanah besar negara itu ke rantau Indo-Pasifik, membabitkan 10 buah pesawat pejuang Rafale, lima buah pesawat pengisi minyak A330 MRTT dan empat buah pesawat pengangkut A400M Atlas.

Menurut kenyataan itu lagi, Perancis dan Malaysia merupakan rakan lama yang telah lama menikmat kerjasama di dalam pelbagai bidang sejak 1957.

(kredit Armee Francaise)

 

“Ini terutamanya di dalam bidang pertahanan di mana Perancis mahu mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa Malaysia kerana menyambut misi ini dan atas latihan bersama yang akan dijalankan.”

“Misi ini membuktikan kepercayaan di antara kedua-dua pihak serta sinergi lojistik yang mendalam, berikutan penggunaan peralatan yang sama.”

Perancis menurut kenyataan itu lagi, adalah negara Indo-Pasifik dengan kira-kira dua juta rakyatnya tinggal di rantau itu terutamanya di wilayah luar negara Perancis (France’s overseas territories), meliputi 9 juta km persegi kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).

(kredit Armee Francaise)
Ketika persinggahan di UAE. (kredit Armee Francaise)

 

Perancis juga mempunyai kehadiran tetap anggota tenteranya di Indo-Pasifik.

Kerahan tentera Perancis di rantau itu dilakukan selari dengan rangka kerja strategi Indo-Pasifik negara itu yang memajukan pendekatan seimbang dan tidak konfrontasi serta melindungi undang-undang antarabangsa dan akses percuma kepada ruangan terbuka.  — DSA  

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

featuredIndo PasifikMalaysiaPegase23PerancisRafale