Arab Saudi Mulakan Usaha Perolehi 54 Buah Pesawat Pejuang Rafale Dari Perancis

Akhbar mingguan Perancis Le Tribune menyatakan bahawa Arab Saudi secara rasmi telah meminta harga bagi perolehan 54 pesawat pejuang Rafale itu daripada syarikat pembuatnya, Dassault Aviation yang mempunyai tempoh sehingga 10 November ini untuk memberikan respons.

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Arab Saudi dilaporkan sedang menimbangkan cadangan untuk memperolehi sejumlah 54 buah pesawat pejuang Rafale buatan Perancis bagi tentera udaranya, selepas usahanya memperolehi pesawat pejuang Eurofighter Typhoon dihalang oleh Jerman.

Jikalau perolehan pesawat pejuang Rafale itu direalisasikan oleh Arab Saudi, ia menandakan pembelian pesawat pejuang pertama buatan Perancis oleh negara Arab itu.

Akhbar mingguan Perancis Le Tribune menyatakan bahawa Arab Saudi secara rasmi telah meminta harga bagi perolehan 54 pesawat pejuang Rafale itu daripada syarikat pembuatnya, Dassault Aviation.

Dassault Aviation mempunyai tempoh sehingga 10 Nov depan untuk memberikan respons terhadap permintaan Riyadh itu, menurut akhbar itu.

Sebelum ini, akhbar Perancis itu dalam laporannya menyatakan bahawa kerajaan Arab Saudi bercadang memperolehi di antara 100 buah hingga 200 buah pesawat pejuang Rafale,yang turut digunakan oleh beberapa negara jiran Arabnya.

Walaupun permintaan harga pesawat pejuang Rafale itu tidak menandakan bahawa Arab Saudi akan membelinya kerana prosesnya masih panjang,tetapi ia menandakan bahawa kerajaan Riyadh bersedia untuk mempelbagai sumber import sistem persenjataanya.

Pada ketika ini, Tentera Udara Arab Saudi mengoperasikan pesawat-pesawat pejuang seperti F-15 buatan Amerika Syarikat dan juga Eurofighter Typhoon serta Panavia Tornado yang dibuat oleh konsortium syarikat beberapa negara Eropah.

Sejak beberapa tahun lepas, Arab Saudi mahu menambah pegangan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon yang dibina oleh Britain, Jerman, Sepanyol dan Itali.

Pada 2018, Arab Saudi dan Britain menandatangani Memorandum Niat (Memorandum of Intent) mengenai hasrat negara Arab itu untuk membeli 48 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon, bagi menambah pesawat pejuang itu yang sudah pun berada di dalam pegangannya.

Perolehan itu sekiranya berjaya dilaksanakan, akan menjadikan keseluruhan jumlah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon Arab Saudi kepada 120 buah, memandangkan Riyadh telah pun memiliki 48 buah pesawat pejuang generasi itu.

Pesawat Rafale ketika singgah di Malaysia baru-baru ini. (kredit Kedutaan Perancis di Malaysia)

 

Cadangan penjualan 48 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon kepada Riyadh berdepan rintangan berikutan tindakan kerajaan Jerman menggantung penjualan senjata kepada Arab Saudi berikutan kejadian penculikan dan pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi.

Sehingga kini sekatan senjata Jerman terhadap Arab Saudi itu kekal,yang berkemungkinan telah mendorong Riyadh untuk memulakan rundingan dengan Perancis untuk memperolehi pesawat pejuang Rafale daripada Perancis.

Sejak beberapa tahun lepas, Dassault Aviation telah berjaya menembusi pasaran Timur Tengah dengan beberapa negara Arab membeli pesawat pejuang Rafale.

Antaranya adalah Mesir, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar yang telah memperolehi pesawat pejuang Rafale.

Pada ketika ini, Iraq juga dilaporkan sedang meninbangkan cadangnya untuk memperolehi pesawat pejuang Rafale itu untuk tentera udaranya. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact admin: haikalhamas73@gmail.com

 

Arab SaudiDassault AviationfeaturedPerancisRafale
Comments (0)
Add Comment