Anggota PGA Kena Heret Pajero Penyeludup

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Seorang anggota Batalion Ke-7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) Kuantan, Pahang, nyaris maut, selepas diheret sejauh hampir 100 meter oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda yang disyaki dipandu penyeludup minyak masak dan tepung gandum, ke negara jiran.

Ketua Polis Kelantan DCP Shafien Mamat berkata, kejadian kira-kira pukul 4 pagi di Lubuk Setol dekat Rantau Panjang, Pasir Mas, dekat sini, Jumaat lepas itu berlaku sewaktu anggota berusia 30 tahun itu bersama rakan setugas sedang menjalankan rondaan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.

Mereka terserempak dengan dua buah pacuan empat roda yang dilihat dalam keadaan mencurigakan sebelum mengarahkan pemandu kenderaan itu berhenti untuk pemeriksaan dan sebaik hendak disoal siasat, pemandu kenderaan jenis Mitsubishi Pajero itu, terus memecut untuk melarikan diri.

Mitsubishi Pajero (gambar hiasan kredit Bernama)

“Anggota tersebut sempat berpaut pada kenderaan di bahagian pemandu dan telah diheret sejauh hampir 100 meter, sebelum terpaksa melepaskan pautannya itu selepas penyeludup tersebut cuba menghimpitnya ke sebatang tiang elektrik,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Shafien berkata, anggota tersebut dikatakan telah melepaskan dua tembakan ke arah tayar kenderaan itu, namun tersasar.

Katanya, anggota tersebut yang mengalami kecederaan calar dan lebam di beberapa anggota badan, kemudiannya telah dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Pasir Mas.

Shafien berkata, sebuah lagi pacuan empat roda jenis Isuzu Trooper berjaya melarikan diri selepas melanggar bahagian belakang kenderaan yang dinaiki rakan setugas anggota PGA7 itu.

Anggota Tiger Platoon, PGA. (gambar internet)

Bagaimanapun katanya, kira-kira jam 10 malam, Isuzu Trooper tersebut telah ditemui ditinggalkan dalam keadaan berkunci di Felda Kemahang, Tanah Merah.

“Hasil penemuan itu, seorang lelaki berusia 26 tahun berjaya ditahan di Lubuk Setol kira-kira 10.45 malam hari yang sama, dan hasil soal siasat, lelaki tersebut mengaku terlibat dalam kejadian mengheret anggota PGA7 tersebut.

“Hasil siasatan juga membolehkan penahanan dua lagi lelaki berusia 40 dan 45 tahun pada pukul 12 tengah hari tadi,” katanya, dan memaklumkan polis sedang mengesan dua lagi suspek dikenali sebagai Mohd Tarmizi, 22, dan Mohd Hafiz, 37 tahun.

Shafien berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dengan niat dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan, kerana menghalang tugas.

— sumber berita adalah daripada Bernama

PajeroPasukan Gerakan AmPenyeludupSempadan