PETRONAS Meterai Perjanjian Bekal Gas Asli Cecair Bernilai RM29 Bilion Pada Syarikat China

Perjanjian antara Petronas dan CNOOC itu bernilai kira-kira US$7 bilion (RM29 bilion) untuk tempoh 10 tahun, kata Petronas dalam kenyataan di sini hari ini.

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Petronas LNG Ltd (PLL), anak syarikat Petronas, memeterai perjanjian selama 10 tahun bagi membekalkan gas asli cecair (LNG) bernilai RM29 bilion kepada CNOOC Gas and Power Trading & Marketing Ltd, anak syarikat China National Offshore Oil Corporation (CNOOC).

Perjanjian antara Petronas dan CNOOC bernilai kira-kira US$7 bilion (RM29 bilion) itu adalah untuk tempoh 10 tahun, kata Petronas dalam kenyataan di sini hari ini.

Perjanjian pembekalan jangka panjang itu termasuk pembekalan daripada LNG Canada apabila kemudahan di negara Amerika Utara itu mula beroperasi pertengahan dekad ini.

Perjanjian untuk 2.2 juta tan setahun (MTPA) selama 10 tahun, dengan gabungan indeks Brent dan Alberta Energy Company (AECO).

“Petronas berbangga dapat mengukuhkan hubungan yang panjang selama sedekad dengan CNOOC melalui perjanjian pembekalan LNG itu.

“Paling penting, ia mencerminkan penerimaan pasaran dan pengiktirafan LNG indeks AECO dalam pasaran LNG terbesar dunia berikutan kami akan meningkatkan penggunaan LNG sebagai bentuk tenaga yang bersih dan menjimatkan kos,” kata Naib Presiden Pemasaran & Perniagaan LNG Petronas Shamsairi M. Ibrahim dalam kenyataan terbabit.

Perjanjian dengan CNOOC mencerminkan komitmen Petronas untuk memastikan jaminan bekalan melalui indeks harga yang telus dan stabil seperti AECO dalam pasaran LNG,.

Selain itu ia juga memberikan pilihan harga tambahan kepada pelanggannya.

CNOOC merupakan pengimport LNG terbesar China.

Apabila siap untuk beroperasi kelak, projek LNG Canada memberi laluan kepada Petronas untuk membekalkan LNG pelepasan gas rumah hijau yang rendah kepada pasaran permintaan utama di Asia.

Perjanjian itu mengukuhkan lagi hubungan yang terjalin sejak 2006 dan mencerminkan komitmen Petronas dalam menyokong usaha CNOOC dan syarikat bersekutunya untuk memenuhi permintaan yang meningkat terhadap tenaga bersih dan menyokong aspirasi nasional China untuk puncak pelepasan karbon dan neutral karbon.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

ChinaCNOOCPetronas
Comments (0)
Add Comment