Malaysia Tegas Tidak Iktiraf “Peta Standard China Edisi 2023”

Malaysia secara konsisten menolak tuntutan kedaulatan, hak kedaulatan dan bidang kuasa mana-mana pihak asing ke atas ciri-ciri maritim atau kawasan maritim negara berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979, kata Kementerian Luar negara.

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan China di Laut China Selatan, seperti yang digariskan dalam “Peta Standard China Edisi 2023”, yang turut meliputi kawasan maritim Malaysia, tegas Kementerian Luar.

Peta itu sama sekali tidak mengikat Malaysia, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Peta itu, antara lain, menunjukkan tuntutan maritim sepihak oleh China yang melangkau kawasan maritim Malaysia di Sabah dan Sarawak berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979,” kata Kementerian Luar sebagaimana dipetik oleh agensi berita nasional, BERNAMA hari ini.

Seperti yang ditegaskan Kerajaan Malaysia berhubung isu Laut China Selatan sebelum ini termasuk isu persempadanan maritim, Malaysia secara konsisten menolak tuntutan kedaulatan, hak kedaulatan dan bidang kuasa mana-mana pihak asing ke atas ciri-ciri maritim atau kawasan maritim negara berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979.

Malaysia juga berpandangan bahawa isu Laut China Selatan merupakan isu yang kompleks dan sensitif.

Isu ini perlu dikendalikan secara aman dan rasional melalui dialog dan rundingan berdasarkan peruntukan undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 (UNCLOS 1982).

“Malaysia komited untuk terus bekerjasama bagi memastikan semua pihak melaksanakan Deklarasi Tatalaku Pihak–pihak Berkepentingan di Laut China Selatan secara menyeluruh dan efektif. 

“Malaysia juga komited terhadap proses rundingan Kod Tatalaku di Laut China Selatan (COC) yang efektif dan substantif, serta terhadap sasaran untuk memuktamadkan COC seawal mungkin,” katanya.

Kementerian Sumber Asli China pada Isnin mengeluarkan “Peta Standard China Edisi 2023” yang turut meliputi kawasan maritim zon ekonomi eksklusif (EEZ) Malaysia berhampiran Sabah dan Sarawak, Brunei, Filipina, Indonesia dan Vietnam, selain beberapa kawasan di India.

Gambar dikirim pembaca Defence Security Asia menunjukkan kapal pengawal pantai China tidak jauh daripada platform minyak dan gas negara.

 

China pada Isnin mengeluarkan peta standardnya untuk edisi 2023 yang turut meliputi seluruh negeri Arunachal Pradesh, India; wilayah Aksai Chin, Taiwan, dan kawasan di perairan Laut China Selatan yang dituntut pelbagai negara termasuk Malaysia.

Berdasarkan peta itu, ia memasukkan Arunachal Pradesh yang didakwa China sebagai Tibet Selatan dan Aksai Chin, wilayah India yang dikuasai China pada 1962 sebagai sebahagian daripada negara berkenaan.

Peta sama memasukkan seluruh kawasan maritim di dalam sembilan titik ‘Nine Dash Line’ atau Sembilan Garis Putus di Laut China Selatan. Vietnam, Filipina, Malaysia, Brunei dan Taiwan turut menuntut beberapa kawasan di Laut China Selatan yang dituntut China itu.

Menurut Asia Maritime Transparency Initiative (AMTI) yang berpengkalan di Washington, Amerika Syarikat,  kapal-kapal pengawal pantai China didapati melakukan rondaan di sekitar Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals) yang terletak di dalam perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia hampir sepanjang masa pada tahun lepas.

Kata badan penyelidikan itu, kapal-kapal pengawal pantai China melakukan rondaan di Beting Patinggi Ali sebanyak 316 hari pada tahun lepas, yang merupakan suatu peningkatan daripada 279 hari pada tahun 2020.

“Bilangan hari di mana kapal-kapal pengawal pantai China melakukan rondaan di Beting Patinggi Ali berhampiran dengan operasi minyak dan gas penting Malaysia telah meningkat daripada 279 hari pada 2020 kepada 316 hari pada tahun lepas,” menurut badan penyelidik itu.

Kapal pengawal pantai China sedang meronda berhampiran sebuah platform minyak dan gas.

 

Beting Patinggi Ali hanya terletak  84 batu nautika (155 km) dari pantai Miri (spesifiknya di Tanjung Baram), Sarawak dan secara jelas berada di dalam perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia mengikut takrifan United Nations Convention on the Law of The Sea 1982 (UNCLOS).

Menurut AMTI, bilangan hari di mana kapal-kapal peronda pantai China meronda di Beting Patinggi Ali adalah kedua tertinggi di antara kelima-lima ciri maritim di Laut China Selatan.

Lima ciri maritim yang dipantau oleh AMTI itu adalah Second Thomas Shoal, Beting Patinggi Ali,Scarborough Shoal, Vanguard Bank dan Thitu Island.

Hasil kajian oleh badan penyelidikan itu menunjukkan Beting Patinggi Ali hanya berada dibelakang Scarborough Shoal yang menyaksikan bilangan hari rondaan kapal-kapal China meronda pada tahun lepas meningkat kepada 344 hari daripada 287 hari pada 2020. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

ChinafeaturedKementerian LuarMalaysiaPeta
Comments (0)
Add Comment