Pesawat Pejuang JAS39 Gripen Thailand Berlepas, Mendarat Guna Lebuhraya Pendek di Songkla

Perlepasan dan pendaratan pesawat-pesawat pejuang Gripen milik RTAF menggunakan lebuhraya itu merupakan sebahagian daripada ujian yang dilakukan untuk menilai pesawat pejuang pilihan tentera udara negara itu.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pesawat-pesawat pejuang JAS39 Gripen milik Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF) telah berjaya “melepasi ujian” selepas melaksanakan perlepasan dan pendaratan daripada sebuah lebuhraya di Wilayah Songkla yang terletak di selatan negara itu pada Rabu.
Penduduk di wilayah selatan Thailand itu berkumpul di tepi lebuhraya di bawah kawalan ketat pihak berkuasa untuk melihat pesawat-pesawat pejuang buatan Sweden milik negara itu berlepas dan mendarat daripada lebuhraya terbabit.
Perlepasan dan pendaratan pesawat-pesawat pejuang Gripen milik RTAF menggunakan lebuhraya itu merupakan sebahagian daripada ujian yang dilakukan untuk menilai pesawat pejuang pilihan tentera udara negara itu.
Kementerian Pertahanan Thailand telah pun mengumumkan bahawa ia bakal memperolehi pesawat pejuang JAS39 Gripen E/F buatan syarikat Saab Group daripada Sweden.
Bagaimanapun, sebelum membuat keputusan perolehan pesawat pejuang Gripen itu secara rasmi, Thailand akan melaksanakan satu ujian terakhir terhadap pesawat pejuang buatan Sweden itu.
Ujian itu melibatkan kemampuan pesawat pejuang pejuang Gripen E/F itu berlepas dan mendarat daripada lebuhraya dan ia merupakan ujian pertama dilakukan oleh (RTAF), menurut sumber kepada media Thailand pada bulan lepas.

Ujian itu mengkehendaki pesawat pejuang Gripen berlepas dan mendarat daripada atas lebuhraya sepanjang 800 meter.
“Ujian itu diadakan bertujuan mengesahkan dakwaan oleh syarikat Saab Group yang membangunkan pesawat pejuang Gripen (bahawa) pesawat pejuang Gripen itu berkemampuan berlepas dan mendarat daripada lebuhraya),” menurut media Thailand.
Menurut sumber yang memberitahu media Thailand, syarikat Saab yang membangunkan pesawat pejuang Gripen itu mendakwa pesawat pejuang itu berkemampuan berlepas dan mendarat di atas lebuhraya sepanjang 800 meter sekiranya pangkalan udara mereka musnah dibedil.
Tentera Udara Sweden dilaporkan telah menguji kemampuan pesawat pejuang Gripen itu, yang berjaya berlepas dan mendarat menggunakan lebuhraya yang hanya sepanjang di antara 400 meter hingga 500 meter sahaja.
Bagaimanapun Tentera Udara Diraja Thailand mahu mengesahkan kemampuan pesawat pejuang Gripen itu secara langsung.
Membuktikan kemampuan pesawat pejuang Gripen itu untuk berlepas dan mendarat daripada lebuhraya bakal mengesahkan secara rasmi keputusan Tentera Udara Diraja Thailand tentang keputusan untuk memilih Gripen dan bukan F-16 Block 70 buatan syarikat Lockheed Martin daripada Amerika Syarikat.
Kredit Pracha Chokpong
Baru-baru ini, Kementerian Pertahanan Thailand menyatakan bahawa ia menyokong keputusan Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF) memilih pesawat pejuang JAS39 Gripen buatan Sweden berbanding F-16 buatan Amerika Syarikat.
Menteri Pertahanannya  Phumtham Wechayachai yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata RTAF mahu memperolehi sebuah lagi skuadron pesawat pejuang Gripen bagi menambah 11 buah pesawat pejuang Gripen yang sudah pun dimilikinya pada ketika ini.
“Tentera Udara Diraja Thailand kini mengoperasi dua jenis pesawat pejuang iaitu Gripen dan F-16. Kedua-dua jenis pesawat ini mampu melindungi kedaulatan negara.
“Memandangkan RTAF berhasrat untuk memperoleh satu skuadron lagi, saya menyerahkan kepada pihak Tentera Udara untuk memilih model yang mereka anggap paling sesuai bagi mempertahankan negara kita kerana mereka lebih memahami keperluannya.”
“Proses perolehan ini dijangka selesai sebelum akhir tahun ini,” kata Phumtham sebagaimana dipetik oleh akhbar Bangkok Post.
Menteri Pertahanan Thailand itu melahirkan keyakinan terhadap keputusan yang diambil oleh RTAF dalam memilih pesawat pejuang buatan Sweden itu berbanding Amerika Syarikat.

“Saya akan meluluskan pembelian pesawat pejuang Gripen oleh Tentera Udara Diraja Thailand  sekiranya harganya tidak melebihi bajet kita dan melibatkan pemindahan teknologi,” katanya.
RTAF mengoperasikan kira-kira 50 buah pesawat pejuang F-16 dan 11 buah pesawat pejuang JAS39 Gripen pada ketika ini.
Sebelum ini, pengarah kempen Gripen Thailand Robert Bjorklund sebagaimana dipetik oleh akhbar utama Thailand itu berkata syarikat SAAB menawarkan kepada Thailand jaringan sistem penderia fusion (networked sensor fusion) dan tiga jenis radar yang canggih.
Radar-radar canggih yang ditawarkan untuk melengkapi pesawat pejuang Gripen E/F Thailand itu adalah Raven ES-05-AESA, Skyward G-IRST and Mode 5-IFF.
Mengenai sistem data link pula, beliau berkata, pesawat pejuang Gripen E/F yang ditawarkan kepada Thailand itu adalah bersesuaian dengan sistem datalink Link-16 dan juga sistem datalink yang dibangunkan sendiri oleh RTAF iaitu Link-TH. 
— DEFENCE SECURITY ASIA

GripenLebuhrayaSongklaThailand
Comments (0)
Add Comment