Adakah K’jaan Akan Pertingkat Peruntukan Pertahanan Dlm Bajet 2023?

Jika kerajaan bersetuju dengan permintaan Panglima Angkatan Tentera (PAT) supaya peruntukan pertahanan dalam Bajet 2023 dipertingkatkan kepada 1.5 peratus daripada KDNK, maka peruntukan pertahanan pada tahun depan dijangkakan disekitar RM24 bilion-RM25 bilion berbanding RM16 bilion pada tahun ini.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Adakah kerajaan akan bersetuju dengan permintaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) supaya peruntukan pertahanan dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan awal bulan depan dipertingkatkan kepada 1.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 1 peratus pada ketika ini?

Permintaan itu disuarakan oleh Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang baru-baru, ketika isu “keusangan” aset angkatan tentera negara sedang hangat diperkatakan oleh media dan orang ramai.

Ia adalah suatu tamparan kepada kerajaan apabila pegawai-pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia secara terbuka menyatakan bahawa di antara 61 peratus hingga 75 peratus aset-aset yang dimiliki oleh TLDM dikategorikan sebagai “telah berusia”.

Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang.

 

Ada di antara kapal-kapal serang laju TLDM telah berusia separuh abad tetapi khidmatnya masih lagi ditagih.

Apa yang telah dilakukan atau tidak dilakukan oleh kerajaan sehingga mengakibatkan TLDM kini dikategorikan sebagai “tentera laut usang” berikutan sebahagian besar asetnya yang sudah berusia itu?

Sampai bila TLDM dan cabang-cabang perkhidmatan keselamatan negara lain terpaksa bergantung kepada aset-aset berusia separuh abad untuk memelihara kedaulatan dan keselamatan negara?

Sampai bila hendak menjadikan diplomasi sebagai benteng pertahanan negara yang pertama?

Sememangnya isu mengenai bajet pertahanan yang tidak mencukupi itu bukanlah suatu isu yang baru kerana ia telah berlegar sejak sekian lama dan dikatakan menjadi antara punca utama mengapa aset-aset ketenteraan kita agak ketinggalan berbanding negara jiran.

Antara kapal serang laju TLDM yang telah berusia.

 

Mungkin kerajaan tidak mempunyai “political will” untuk berbelanja besar bagi sektor pertahanan disebabkan tindakan pembangkang yang sering menjadikan pertahanan sebagai “peluru politik” mereka untuk menyerang kerajaan?

Bagaimanapun, pembangkang juga tidak akan mempunyai alasan untuk menyerang kerajaan sekiranya setiap perolehan aset-aset baru angkatan tentera itu dijalankan secara tertib, tanpa sebarang elemen rasuah serta disiapkan tepat pada masanya.

Ok berbalik kepada isu peruntukan pertahanan Malaysia yang rendah, tidak dapat dinafikan ia sememangnya jauh rendah berbanding negara-negara jiran terdekat kita (Singapura, Indonesia dan Thailand).

Sektor ketenteraan negara menerima RM16 bilion peruntukan dalam Bajet 2022, iaitu itu RM11 bilion untuk perbelanjaan operasi manakala RM5 bilion pula adalah untuk perbelanjaan pembangunan.

Sebagai perbandingan, peruntukan pertahanan Singapura pada tahun ini adalah di sekitar RM65 bilion walaupun KDNK di antara Malaysia dan negara jiran selatan kita itu adalah tidak banyak berbeza.

Kapal-kapal friget kelas Formidable Tentera Laut Singapura.

 

RM65 bilion berbanding RM16 billion? Sememangnya kita akan sentiasa ketinggalan berbanding Singapura dengan peruntukan sedemikian.

Sebuah lagi negara jiran, Indonesia pula akan membelanjakan sekitar RM37 bilion pada tahun depan untuk sektor pertahanan mereka, yang merupakan peningkatan sebanyak 12 peratus berbanding peruntukan pertahanan pada 2022.

Kementerian Kewangan Indonesia itu mengatakan bahawa belanjawan pertahanan sebanyak RM37.2 bilion itu adalah untuk mencapai objektif Minimun Essential Force (MEF) negara itu.

Sementara itu, negara jiran kita di utara iaitu Thailand pula telah pun mengumumkan peruntukan sebanyak US$6.5 bilion (RM26 bilion) pada tahun depan untuk ketiga-tiga cabang angkatan tenteranya.

Daripada segi perbandingan pula,  Singapura tetap di tangga pertama sebagai negara yang memiliki bajet pertahanan terbesar di Asia Tenggara dengan peruntukan sebanyak RM65.44 bilion diikuti Indonesia dengan RM37.2 bilion, Thailand (RM26 bilion), Vietnam (RM22 bilion),  Filipina (RM17.56 bilion) dan Malaysia (RM16.14 bilion). 

Kapal APMM “shadow” sebuah kapal pengawal pantai China di Beting Patinggi Ali. (sumber internet)

 

Jika kerajaan bersetuju dengan permintaan PAT supaya peruntukan pertahanan dalam Bajet 2023 itu dipertingkatkan kepada 1.5 peratus daripada KDNK daripada 1 peratus, maka peruntukan pertahanan pada tahun depan dijangkakan disekitar RM24 bilion-RM25 bilion berbanding RM16 bilion pada tahun ini.

ATM akan menerima peruntukan tambahan sebanyak RM8 bilion untuk dibelanjakan pada tahun depan.

PAT dalam pertemuan dengan media baru-baru ini berkata, peningkatan peruntukan pertahanan kepada 1.5 peratus daripada KDNK  akan membolehkan ATM mempertahankan kedaulatan dan kepentingan negara.

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE

 

“Kita lihat keadaan geostrategik di Laut China Selatan, kita perlu pelaburan yang tinggi supaya kita dapat mempertahankan kedaulatan kita dan kepentingan kita.

“Pada akhirnya nanti, tidak ada orang lain menjaga (kedaulatan negara) kecuali kita sendiri,” katanya lagi.

Ya persoalannya adalah, sampai bila kita mahu bergantung kepada “orang lain” untuk mempertahankan negara kita sendiri. — DSA

Jom!!!! follow TwitterTelegramFacebook dan download Apps Defence Security Asia di Google Playstore
featuredKDNKPATpertahananPeruntukan