“Perlumbaan Menentang Masa” Mencari KRI Nanggala, Oksigen Sehingga 3 Pagi Esok

Sehingga hari ini, pihak Indonesia masih belum dapat menentukan kedudukan sebenar kapal selam yang membawa 53 orang anak kapal, walaupun operasi menyelamat tertumpu kepada perairan utara Bali.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Indonesia kini berdepan dengan “perlumbaan menentang masa” (race against time) untuk mencari kapal selam kelas-Cakra KRI Nanggala berikutan pendedahan bahawa bekalan oksigennya dianggarkan hanya mampu bertahan sehingga 3 pagi esok (hari Sabtu).

Sehingga hari ini, pihak Indonesia masih belum dapat menentukan kedudukan sebenar kapal selam yang membawa 53 orang anak kapal, walaupun operasi menyelamat tertumpu kepada perairan utara Bali.

Selagi lokasi sebenar KRI Nanggala tidak dapat dikenalpasti dengan tepat, maka usaha menyelamat anak-anak kapalnya tidak dapat dilakukan dan jam terus berdetik menuju ke pukul 3 pagi hari Sabtu.

Petunjuk paling hampir berkenaan kedudukan KRI Nanggala adalah tompokan minyak yang ditemui di perairan, yang menurut pakar berkemungkinan menunjukkan bahawa tangki minyak kapal selam itu mengalami kerosakan.

Pihak berkuasa negara itu telah mengerahkan beberapa buah kapal perangnya termasuk dua buah yang memiliki kemampuan sonar dalam operasi mencari dan menyelamat KRI Nanggala.

Presiden Joko Widodo dalam kenyataan pertamanya berhubung insiden itu telah mengarahkan usaha maksimal melibatkan pelbagai agensi untuk mencari dan menyelamat kapal selam malang itu dan anak-anak kapalnya.

“Saya telah mengarahkan ketua angkatan tentera, ketua staf tentera laut, pasukan penyelamat untuk mengerah segala aset mereka dan usaha maksimal untuk mencari kapal selam itu dan menyelamatkan anak-anak kapalnya.”

“Keutamaan adalah keselamatan 53 anak kapalnya,” kata Jokowi.

Beberapa buah negara termasuk Malaysia telah mengerahkan kapal khusus menyelamat kapal selam ke lokasi tetapi pelayaran menuju ke perairan utara Bali itu akan mengambil masa dan mungkin tidak sempat sampai sebelum 3 pagi esok.

Kapal MV Mega Bakti milik negara dijangka tiba di utara Bali pada 25hb April (Ahad) manakala MV Swift Rescue milik Singapura pula esok.

India turut mengerah aset lautnya ke Indonesia untuk membantu usaha mencari dan menyelamat KRI Nanggala.

Kapal Deep-Submergence Rescue Vessel (DSVR) milik Tentera Laut India belayar daripada Visakhapatnam ke Bali semalam dan dijangka mengambil masa tiga hari untuk tiba di lokasi insiden terbabit.

Kapal penyelamat kapal selam milik India.

 

DSRV itu dikatakan mampu melakukan usaha-usaha menyelamat kapal selam sehinggga kedalaman 650-1000 meter menggunakan Side Scan Sonar dan Remotely Operated Vehicle (ROV).

Australia turut menyatakan ia akan “berbuat segala termampu” untuk membantu Indonesia.

Sementara itu Amerika Syarikat juga akan menghantar “aset-aset udara” untuk membantu usaha-usaha mencari dan menyelamat KRI Nanggala selepas dijemput oleh pihak berkuasa Indonesia, kata jurucakap Pentagon Laksamana John Kirby.

Aset udara Amerika Syarikat itu berkemungkinan pesawat P-8A Poseidon yang antaranya boleh menjatuhkan sonabuoys untuk mengesan lokasi kapal selam terbabit, selain peralatan canggih lain yang dibawanya.

Kirby juga berkata, Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Lloyd Austin akan menghubungi Menteri Pertahanan Indonesia Prabowo Subianto.

Kapal selam KRI Nanggala seberat 1,395 tan buatan Jerman itu dibina pada 1977 dan siap pada 1980.

Berkemampuan membawa 14 butir torpedo, ia secara rasmi menjadi anggota keluarga TNI-AL pada 1981 dengan Ujung, Surabaya menjadi pengkalannya.

— DEFENCE SECURITY ASIA

IndonesiaKapal SelamKRI NanggalaMV Mega BaktiMV Swift RescueTLDM