Proses Perolehan 136 Kenderaan Perisai 4×4, Meriam SPH Selesai Akhir Tahun Ini

Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman berkata pihaknya telah menyerahkan proses perolehan 136 kenderaan perisai 4x4 dan 18 unit meriam Self Propelled Howitzer (SPH) 155mm kepada Kementerian Pertahanan dan menjangkakan proses itu selesai pada Disember ini.

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Tentera Darat Malaysia telah menyerahkan proses perolehan 136 buah kenderaan perisai 4×4 serta 18 unit meriam Self Propelled Howitzer (SPH) 155mm kepada Kementerian Pertahanan, dengan proses itu dijangka selesai pada Disember ini.

Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman berkata kini terpulang kepada Kementerian Pertahanan untuk menyelesaikan proses perolehan kedua-dua aset pertahanan itu.

“Perolehan kenderaan 4×4 itu dijangka selesai pada akhir tahun ini, Disember,” kata beliau selepas Istiadat Perbarisan Penghargaan Panglima Tentera Darat ke-29 di Dataran PTD Kem Perdana Sungai Besi hari ini.

Mohamad Ab Rahman bakal mengambilalih jawatan Panglima Angkatan Tentera ke-22 esok, bagi menggantikan Jen Tan Sri Affendi Buang yang akan bersara selepas memegang tampuk pemerintahan ATM sejak 2 Jan 2020. 

Mengenai penghantaran 26 buah kenderaan perisai 8×8 Gempita ke Sarawak bermula pada 2 Sept lalu, Panglima Tentera Darat itu memberitahu bahawa penghantaran itu adalah selaras dengan Kertas Putih Pertahanan dan Pelan Pembangunan Strategik Tentera Darat 2021-2050 untuk melengkapkan kenderan perisai di Malaysia Barat dan Malaysia Timur.

“Penghantaran 26 buah Gempita ke Sarawak adalah hanya ‘gap filler’ sahaja sementara kita membuat proses perolehan kenderaan perisai 4×4. Proses perolehan ini dijangka selesai akhir tahun ini, Disember,” kata beliau. 

Sementara itu, bermula esok, Tentera Darat Malaysia akan memiliki Panglima Tentera Darat , Timbalan Panglima Tentera Darat dan Panglima Medan Barat yang baru, kata Mohammad.

Perubahan dalam pucuk pimpinan Tentera Darat Malaysia berlaku kerana Mohamad bakal mengambilalih jawatan Panglima Angkatan Tentera ke-22 esok, bagi menggantikan Jen Tan Sri Affendi Buang yang akan bersara selepas memegang tampuk pemerintahan ATM sejak 2 Jan 2020. 

Mohammad dilantik sebagai Panglima Tentera Darat ke-29 pada 22 Mac lalu menggantikan Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

(KD Mahawangsa)

 

Beliau merupakan anak kelahiran negeri Kelantan yang ditauliahkan sebagai Pegawai Muda dalam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada 1 Jul 1987 dan telah berkhidmat dalam TD selama lebih 36 tahun.

Antara jawatan yang pernah disandang oleh beliau ialah Pegawai Memerintah Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja, Panglima Briged Kedua Infantri Malaysia, Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia, Panglima Latihan Tentera Darat dan Panglima Medan Barat Tentera Darat.

Menurut Mohammad lagi, Panglima Tentera Darat yang baru akan dijawat oleh Timbalan Panglima Tentera Darat pada ketika ini Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan.

Selain itu, perubahan dalam pucuk pimpinan Tentera Darat Malaysia juga akan menyaksikan Panglima Medan Barat Lt Jen Datuk Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim mengambil alih jawatan sebagai TPTD yang baharu.

“Selain beliau, Panglima Divisyen Kedua Infantri Malaysia (Panglima 2 Divisyen) Mej Jen Datuk Muhammad Huzaimi Sabri akan dinaikkan pangkat Lt Jen dan dilantik sebagai Panglima Medan Barat yang baharu.

“Bermula esok akan berlaku perubahan ke atas kepimpinan ATM (Angkatan Tentera Malaysia) bahawa saya akan serahkan tampuk pemerintahan tentera darat kepada TPTD yang akan dinaikkan pangkat sebagai Jen dan dilantik sebagai PTD yang ke-30,” katanya.

Meriam SPH Bergerak “Caesar” 155mm 52-cal yang dibangunkan oleh NEXTER Systems.

 

Mohammad berkata demikian kepada wartawan selepas Istiadat Perbarisan Penghargaan Panglima Tentera Darat ke-29 di Dataran PTD Kem Perdana Sungai Besi hari ini.

Istiadat Perbarisan itu terdiri daripada 12 Detasmen berkekuatan seramai 46 pegawai dan 1,110 anggota lain-lain pangkat yang diketuai oleh Lt Kolonel Mohd Azroi Ariffin Shah – Pegawai Memerintah Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD). 

Perbarisan itu melibatkan tujuh Panji-Panji Rejimen dan Kor di dalam Tentera Darat Malaysia iaitu Panji- Panji Rejimen Askar Melayu Diraja, Rejimen Renjer Diraja, Kor Armor Diraja, Rejimen Semboyan Diraja, Rejimen Askar Jurutera Diraja, Rejimen Artileri Diraja dan Kor Perkhidmatan Diraja sebagai penghargaan dan penghormatan kepada Mohammad. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

ATMfeaturedKementerianKenderaan PerisaiMalaysia featuredMeriamPanglimaPerolehanPTD
Comments (0)
Add Comment