K’jaan Umum Pembinaan Pangkalan TUDM di Bintulu, Laut China Selatan Fokus

Pembinaan “bare bone airbase” di Bintulu itu telah diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada pembentangan RMK-12 hari ini.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dibawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), kerajaan akan membina sebuah pangkalan udara bagi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Bintulu, Sarawak, berhadapan dengan perairan Laut China Selatan dan lapangan-lapangan minyak dan gas milik negara.

Pembinaan “bare bone airbase” di Bintulu itu telah diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada pembentangan RMK-12 hari ini, yang kemudiannya disahkan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam media sosialnya.

Pembinaan pangkalan udara di Bintulu itu yang akan dilaksanakan di dalam tempoh lima tahun ini merupakan salah satu daripada projek-projek pembangunan ATM dibawah RMK-12 yang diumumkan hari ini.

“RMK12 merangkumi langkah menambah baik kesiapsiagaan, kawalan sempadan dan penguatkuasaan, mempertingkat ketenteraman awam, mengukuhkan keselamatan dan pertahanan siber serta menjaga kebajikan anggota.”

“pembinaan Bare Base Tentera Udara Bintulu, Sarawak, pembinaan Hospital Angkatan Tentera Terendak, Melaka dan peningkatan keupayaan aset maritim. Selain itu, kem tentera baharu di Felda Sahabat, Kem 5 Briged di Kota Belud akan siap dibina,” menurut petikan dalam laporan RMK-12 yang dibentangkan itu.

Kedudukan Bintulu

 

Kehadiran sebuah pangkalan udara di Bintulu amat ditagih dan merupakan suatu keputusan yang tepat berikutan keadaan terkini di Laut China Selatan pada masa ini.

Dengan adanya pangkalan TUDM di Bintulu itu, ia akan memudahkan lagi pesawat-pesawat TUDM (sama ada pesawat pejuang atau Maritime Patrol Aircraft) untuk melakukan pemantauan di kawasan-kawasan seperti Beting Patinggi Ali, James Shoal dan lain-lain yang kerap dicerobohi oleh kapal-kapal pengawal pantai China.

Hopefully, pangkalan udara Bintulu dan Labuan akan menjadi “frontline airbase” dalam usaha kita mengekang pencerobohan oleh mana-mana pihak.

Selepas insiden pencerobohan 16 pesawat tentera China terhadap Zon Maritim Malaysia (ZMM) pada 31 Mei lepas, negara kena menjangkakan bahawa insiden-insiden pencerobohan itu akan berulang pada masa dengan terutamanya apabila Beijing meningkatkan kehadiran pesawat tenteranya di “pulau-pulau buatannya” di Kepulauan Spratly di Laut China Selatan.

Ia sebenar bukan sekadar pulau lagi tetapi lebih menyerupai “pangkalan tentera terapung” China di tengah-tengah Laut China Selatan.

Salah sebuah pesawat China yang dipintas oleh TUDM di Zon Maritim Malaysia beberapa bulan lepas. (kredit TUDM)

 

Sementara itu Hishammuddin dalam kenyataan di media sosialnya berkata di bawah RMK-12, ATM akan memperketat kawalan sempadan darat, maritim dan udara termasuk menambah pos keselamatan termasuk di Sabah dan Sarawak.

Ia juga akan memperkukuhkan aspek perisikan, pengawasan, perolehan sasaran dan peninjauan serta menambah baik kuasa tembakan dan mobility, kata Menteri Pertahanan.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

BintuluIsmail SabriRMK12TUDM
Comments (0)
Add Comment