Peluru Berpandu Balistik Anti-Kapal Houthi Hanya Tersasar 200 Meter Dari USS Dwight D.Eisenhower

"Menurut maklumat, peluru berpandu ballistik anti-kapal itu yang dilancar oleh pejuang Houthi itu gagal dipintas dan meledak hanya kira-kira 200 meter daripada kapal pengangkut pesawat, USS Dwight D. Eisenhower."
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebuah penerbitan Akademi Tentera Amerika Syarikat mendakwa bahawa tembakan peluru berpandu ballistik anti-kapal (Anti-Ship Ballistic Missile – ASBM) dilancar oleh pejuang Houthi hampir mengenai kapal pengangkut pesawat USS Dwight D.Eisenhower.
Dalam artikel yang disiarkan dalam CTC Sentinel, penerbitan bulanan oleh Combating Terrorism Centre di Akademi Tentera Amerika Syarikat menyatakan bahawa pejuang berjaya mencapai kejayaan membanggakan dalam penggunaan peluru berpandu ballistik anti-kapal itu.
“Menurut maklumat, peluru berpandu ballistik anti-kapal itu yang dilancar oleh pejuang Houthi itu gagal dipintas dan meledak hanya kira-kira 200 meter daripada kapal pengangkut pesawat, USS Dwight D. Eisenhower,” menurut artikel itu.
Menurut penulis artikel itu, maklumat tersebut diperolehi daripada pegawai-pegawai perisikan British dan Amerika Syarikat.
Pada Mei lalu, pejuang Houthi mendakwa mereka telah melancarkan peluru berpandu ballistik anti-kapal terhadap kapal pengangkut pesawat USS Dwight D.Eisenhower yang sedang belayar di Laut Merah pada ketika itu.
Peluru berpandu ballistik anti-kapal “Khalije Fars”
Kapal pengangkut pesawat berada di Laut Merah daripada November tahun lepas hingga Jun tahun ini, sebelum belayar pulang ke Amerika Syarikat.
Ketika ditanya tentang dakwaan oleh pejuang Houthi itu, seorang pegawai kanan tentera Amerika hanya menyatakan bahawa ia hanyalah khabar angin yang tidak berasas.
Kehadiran kapal pengangkut pesawat USS Dwight D.Eisenhower di Laut Merah itu diiringi oleh kapal cruiser USS Philippine Sea, kapal destroyer USS Gravely dan USS Mason selain sembilan buah skuadron pesawat-pesawat kombat.
Dua buah kapal destroyer USS Laboon dan USS Carney turut mengiringi pelayaran kapal pengangkut pesawat itu di Laut Merah.
Kapal-kapal kruiser dan destroyer yang menjadi pengiringi itu telah memberikan perlindungan udara kepada USS Dwight D.Eisenhower daripada sebarang ancaman udara sama ada daripada pesawat musuh, tetapi juga daripada serangan dron-dron berani mati dan peluru berpandu.

Pada 15 Disember tahun lalu, kumpulan bersenjata Houthi dilaporkan telah melancarkan dua butir peluru berpandu ballistik anti-kapal “Khalije Fars” terhadap kapal dagang, MV Palatium 3 yang sedang belayar di Selat Bab El-Mandep di Laut Merah berhampiran Yaman.
Ia adalah kali pertama dalam sejarah, peluru berpandu ballistik anti-kapal (anti-ship ballistic missile – ASBM) berkemungkinan besar telah digunakan dengan jayanya untuk membedil sebuah kapal yang sedang belayar di perairan.
Tindakan kumpulan bersenjata Houthi itu membedil kapal dagang MV Palatium 3 itu dengan peluru berpandu ballistik anti-kapal dianggap sebagai suatu kejayaan kerana kemampuan mereka menyasarkan kapal dianggap “sasaran kecil” dengan tepat.
Kapal dagang MV Palatium yang terkena bedilan itu telah terbakar dan mengalami kerosakan yang teruk akibat bedilan itu.
Kumpulan bersenjata Houthi yang disokong oleh Iran itu dilaporkan telah dibekalkan dengan peluru berpandu ballistik anti-kapal daripada Teheran, berkemungkinan sebahagian daripada usaha untuk menangani kapal-kapal perang Amerika Syarikat dan sekutunya.

Ia telah memberi amaran akan menembak mana-mana kapal dagang di Laut Merah yang menuju ke pelabuhan Eilat di Israel.
Peluru berpandu ballistik anti-kapal yang digunakan oleh kumpulan Houthi terhadap kapal MV Palatium 3 dikenalpasti sebagai “Khalije Fars”, yang merupakan peluru berpandu single-stage solid propellant berkemampuan membedil sasaran sejauh 300km.
Media-media Iran menyatakan bahawa peluru berpandu itu membawa bahan peledak seberat 650kg selain adalah kalis kepada sebarang usaha jamming daripada pihak musuh.
Peluru berpandu ballistik anti-kapal “Khalije Fars” yang didedahkan kepada awam pada 2011 itu telah direkabentuk berdasarkan kepada peluru berpandu “Fateh-110”.
Selain itu, peluru berpandu ballistik anti-kapal itu yang dilancar daripada pelancar bergerak itu  dilaporkan memiliki sistem penjejak sasaran yang canggih di mana ia mampu mencari dan menemui sasarannya.
Dengan sistem navigasi secara internal, peluru berpandu ballistik anti-kapal “Khalije Fars” milik Houthi itu berkemampuan meluncur selaju Mach 4. — DSA

featuredHouthiPeluru berpanduUSS Dwight D.Eisenhower
Comments (2)
Add Comment