Singapura Boleh Kembali “Besarkan” Pulaunya, Indonesia Tarik Larangan Jual Pasir Laut

Sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1965, Singapura sudah menambah keluasan kawasan tanahnya sebanyak satu per-empat, kebanyakannya menggunakan pasir laut yang diimport daripada negara-negara jiran terdekatnya untuk menambak kawasan pantainya.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kerajaan Singapura kini boleh kembali mempergiatkan usaha “membesarkan” saiz pulau itu, selepas Indonesia menarik balik larangan eksport pasir laut ke republik itu yang dikuatkuasakan pada 2003.

Sebelum  Indonesia mengenakan larangan eksport pasir laut ke Singapura pada 2003, negara itu merupakan antara pembekal terbesar pasir laut ke republik pulau itu iaitu pada kadar 53 juta tan setahun di antara tahun 1997 hingga 2003 apabila larangan itu mula dikuatkuasakan.

Singapura menggunakan pasir laut yang diimportnya daripada Indonesia untuk membesarkan lagi keluasan saiz republik itu.

Keadaan Singapura pada 2017 dan 2030 selepas aktiviti penambakan laut.

 

Malaysia mengharamkan eksport pasir laut kepada Singapura pada 2019 pada ketika ia merupakan negara pengeksport terbesar komiditi  itu kepada republik berkenaan. Larangan eksport pasir laut ke Singapura masih kekal sehingga kini.

Menurut data daripada United National Comtrade berdasarkan kepada maklumat yang disediakan oleh pejabat kastam masing-masing, Singapura mengimport 59 juta tan pasir dari Malaysia pada 2018, bernilai AS$347 juta (RM1.4 bilion).

Ia mewakili 97 peratus daripada jumlah import pasir Singapura pada tahun itu, dan mewakili 95 peratus penjualan pasir global Malaysia.

Sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1965, Singapura sudah menambah kawasan tanahnya sebanyak satu per-empat, kebanyakannya menggunakan pasir laut import daripada beberapa negara lain untuk membesarkan lagi kawasan pantainya.

Mengikut laporan oleh agensi berita antarabangsa, Reuters, Presiden Joko Widodo menarik balik larangan eksport bahan itu dalam satu pernyataan tentang peraturan pengurusan sedimen marin yang dikeluarkan beberapa bulan lepas.

Jurucakap Kementerian Hal Ehwal Marin dan Perikanan Indonesia Wahyu Muryadi sebagaimana dipetik oleh agensi berita itu berkata, peraturan tentang pengurusan sedimen marin negara itu bertujuan memastikan aktiviti perlombongan pasir mematuhi standard alam sekitar.

Menurut satu laporan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 2019, Singapura merupakan negara pengimport pasir laut terbesar di dunia, dengan republik itu mengimport kira-kira 517 juta tan pasir laut daripada negara-negara jirannya sejak dua dekad lepas.

Disebabkan keluasan tanahnya yang terhad, kerajaan Singapura terpaksa melakukan kerja-kerja penambakan kawasan lautnya bagi memastikan ia memiliki tanah yang mencukupi untuk aktiviti ekonomi dan pembangunan.

Larangan ekport pasir laut oleh Indonesia kepada Singapura merupakan satu isu yang hangat diperdebatkan antara kedua-dua kerajaan.

Singapura itu menuduh Jakarta menggunakan larangan eksport pasir laut sebagai usaha untuk menekan republik itu dalam rundingan berkenaan isu ekstradisi dan sempadan kedua-dua negara.

Singapura dan Jakarta menandatangani perjanjian mengenai ekstradisi pada tahun lepas,

Pada ketika ini, Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura sedang dalam peringkat merancang dan merekabentuk fasa ketiga projek mega Pelabuhan Tuas, dengan kerja-kerja penambakan laut dijangka selesai pada pertengahan tahun 2030-an.  

Fasa Pertama Pelabuhan Tuas selepas penambakan laut.

 

Apabila siap kelak, Pelabuhan Tuas bakal menjadi terminal kontena terbesar di dunia dengan sebahagiannya didirikan di atas kawasan pantai yang telah ditambak.

Malah kerajaan Singapura juga mempunyai perancangan untuk menambak Batu Puteh (Pedra Branca) bagi menambah keluasannya.

Sementara itu, pegawai kempen Indonesian Forum for the Environment, Parid Ridwanuddin berkata penarikan balik larangan eksport yang terkandung dalam pernyataan peraturan itu bertentangan dengan komitmen Jakarta untuk memastikan ekosistem lautan yang lebih baik.

Pengkaji di Greenpeace Indonesia Afdillah Chudiel pula berkata perlombongan pasir laut akan mempercepatkan lagi krisis perubahan iklim.

“Ia (perlombongan pasir laut) akan mempercepatkan lagi ‘penenggelaman’ pulau-pulau kecil dan hakisan kawasan pesisir pantai.

Pasir laut kebanyakannya digunakan untuk penambakan laut, manakala pasir sungai adalah komponen utama dalam bahan pembinaan seperti simen. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

featuredIndonesiaPasirPeraturanSingapuraTambak