Pakistan Pasang Impian Miliki Pesawat “Termoden Dunia” J-20C Mighty Dragon

Menteri Dalam Negeri Pakistan Sheikh Rasheed Ahmad berkata negara itu memasang impian suatu hari nanti ia akan memiliki pula pesawat pejuang J-20C yang merupakan pesawat pejuang generasi kelima dan termoden yang dihasilkan oleh China.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Baru-baru ini Pakistan yang mempunyai hubungan ketenteraan yang rapat dengan China telah menerima enam buah pesawat pejuang J-10C buatan China yang akan digunakan tentera udara negara Asia Selatan bagi berhadapan dengan India.

Islamabad sudah semestinya mahu menggunakan pesawat J-10C itu untuk mengimbangi kekuatan udara seteru tradisinya, India yang menggunakan kombinasi pesawat pejuang Rafale dan Sukhoi Su-30MKI.

Sebagaimana yang dilaporkan oleh media-media tempatan Pakistan, selepas memperolehi pesawat pejuang J-10C daripada China, Islamabad juga menanam impian untuk memiliki “pesawat pejuang termoden dunia” yang dihasilkan oleh Beijing.

Pesawat J-10 buatan China milik Tentera Udara Pakistan

 

Sebagaimana diperkatakan oleh Menteri Dalam Negeri Pakistan Sheikh Rasheed Ahmad, negara itu juga memasang impian suatu hari nanti ia akan memiliki pula pesawat pejuang J-20C yang merupakan pesawat pejuang generasi kelima yang dihasilkan oleh China.

“Kita sudah pun memiliki J-10C, Insya Allah, masanya akan tiba apabila pesawat J-20C pula akan dating ke Pakistan yang merupakan pesawat paling moden di dunia,” kata beliau sebagaimana dipetik oleh media-media tempatan negara itu.

Keenam-enam pesawat pejuang J-10C milik Pakistan telah tiba di Pangkalan Tentera Udara negara itu di Minhas,Kamra baru-baru ini.

Pesawat J-10 Pakistan

 

Pesawat pejuang itu dijadualkan melakukan flypast semasa sambutan Hari Kemerdekaan Pakistan pada 23 Mac ini.

Pesawat pejuang J-20 “Mighty Dragon” dipercayai telah pun dihasilkan secara besar-besaran oleh China bermula pada Julai 2020.

Pada ketika ini, pesawat pejuang J-20 sedang berkhidmat dengan Tentera Udara China.

Pesawat J-20 “Mighty Dragon”China.

 

Tidak diketahui sama ada China bersedia mengeksport pesawat pejuang paling modennya kepada negara luar kerana diketahui Beijing mahu memelihara teknologi canggih dan sensitif pada pesawat pejuang itu daripada jatuh kepada musuhnya.

Ia adalah sama seperti Amerika Syarikat yang tidak menjual pesawat pejuang F-22 Raptor kepada negara-negara luar termasuk kepada sekutu paling rapatnya seperti Israel dan Britain.

Sama seperti Beijing, Amerika juga bimbang teknologi canggih pada pesawat F-22 jatuh ke tangan musuhnya jika ia mengeksport pesawat itu.

Terdapat juga penganalisis yang mempersoalkan kemampuan kewangan Pakistan untuk membiayai perolehan pesawat J-20 itu berikutan harganya yang dianggarkan di antara US$100 juta sebuah hingga US$120 juta sebuah.

Pesawat J-20 dilengkapi dengan peluru berpandu “PL-10.”

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Ini kerana ekonomi Pakistan kini berada di dalam keadaan yang kurang baik, malah Islamabad diketahui meerupakan antara negara penerima bantuan kewangan International Monetary Fund (IMF) atau Tabung Kewangan Antarabangsa.

Bagaimanapun, Pakistan mempunyai alternatif jika ia gagal memperolehi pesawat J-20 itu.

Islamabad boleh cuba untuk mendapatkan pesawat pejuang F-31 yang dihasilkan sepenuhnya oleh industri pertahanan tempatan China dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kerajaan China.

F-31 ini adalah cabaran China terhadap pesawat pejuang F-35 keluaran syarikat Lockheed Martin, Amerika Syarikat. — DSA

 

 

 

 

 

 

 

ChinafeaturedJ-20Pakistan