Pakar Malaysia-Belanda Laksana Ekspedisi Menyelam di Lokasi Bangkai Dua Kapal Selam Perang Dunia Kedua Belanda

Satu pasukan pakar tinjauan bawah air (underwater surveillance team) dari Malaysia dan Belanda telah menjalankan ekspedisi menyelam bersama ke lokasi dua bangkai kapal selam Tentera Laut Diraja Belanda yang tenggelam ketika Perang Dunia Kedua di perairan Malaysia.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Satu pasukan pakar tinjauan bawah air (underwater surveillance team) dari Malaysia dan Belanda telah menjalankan ekspedisi menyelam bersama ke lokasi dua bangkai kapal selam Tentera Laut Diraja Belanda yang tenggelam ketika Perang Dunia Kedua di perairan Malaysia.

Menurut kenyataan bersama yang dipetik oleh agensi berita nasional BERNAMA,  satu pasukan pakar tinjauan bawah air dan penyelidik dari Belanda dan Malaysia telah menjalankan ekspedisi bersama itu dari 17 hingga 30 Jun.

“Pasukan penyelidik mencari lokasi bangkai kapal K-XVI dan O-20, dua kapal selam Tentera Laut Diraja Belanda yang tenggelam di perairan Malaysia semasa Perang Dunia II.

“Penemuan awal menunjukkan bahawa bangkai kapal K-XVI tidak ditemukan dan dipercayai telah diselamatkan. Sebaliknya, bangkai kapal O-20 disahkan berada di lokasi yang direkodkan,” menurut kenyataan bersama itu.

Menurut kenyataan itu penemuan ekspedisi dan tindakan susulan akan dibincangkan antara Belanda dan Malaysia.

Satu upacara memperingati dan menghormati 36 kru di K-XVI dan tujuh kru di O-20 yang terkorban ketika bertugas di dalam kapal selam berkenaan diadakan oleh delegasi Belanda semasa ekspedisi itu, kata kenyataan itu.

Gambar arkib kapal selam O-20 Tentera Laut Belanda ketika ia naik ke permukaan semasa Perang Dunia Kedua.

 

“Ekspedisi bawah air bersama ini memberikan peluang yang sangat baik untuk Belanda dan Malaysia memperkukuhkan hubungan dua hala, terutamanya dalam bidang latihan dan pembinaan kapasiti berkaitan arkeologi maritim dan pengurusan warisan budaya bawah air,” kata kenyataan itu.

Kapal selam K-XVI (Lt.Cdr. Louis Jan Jarman, Tentera Laut Jerman) telah tenggelam dilokasinya kira-kira 60 Batu Nautika di Barat Kuching, Sarawak  selepas terkena bedilan torpedo yang dilancarkan oleh sebuah kapal selam milik tentera Imperial Jepun, I-66.

Serangan itu telah mengorbankan kesemua 36 krew kapal selam Belanda itu.

Kapal selam K-XVI (Lt.Cdr. Louis Jan Jarman, Tentera Laut Belanda) dilaporkan adalah sebahagian daripada 3rd Dutch Submarine Division yang berpangkalan di Surabaya, Indonesia dan kerap kali melakukan rondaan dan operasi di Laut China Selatan.

Dalam satu operasi yang dilaksanakannnya pada 24 Disember 1941 semasa Perang Dunia Kedua, kapal selam K-XVI (Lt.Cdr. Louis Jan Jarman, Tentera Laut Belanda) telah melancarkan serangan torpedo terhadap kapal destroyer Jepun, Sagiri di luar pantai Kuching.

Ia kembali ke Surabaya selepas serangan itu.

Kapal selam KXVI Tentera Laut Belanda semasa Perang Dunia Kedua.

 

Sementara itu, sebuah lagi kapal selam O-20 merupakan kapal selam Tentera Laut Belanda yang berpangkalan di Singapore Submarine Base, Singapura yang berada di bawah pemerintahan tentera British.

Tugas utamanya adalah meronda laluan-laluan perkapalan di Laut China Selatan.

Ketika melaksanakan operasi di luar pantai Kota Baharu, kapal selam Tentera Laut Belanda itu telah mengesan kehadiran tiga buah kapal destroyer tentera Jepun terdiri daripada Ayanami, Uranami dan Yugiri yang sedang mengiringi pelayaran dua buah kapal pengangkut Jepun.

Kapal selam O-20 Tentera Laut Belanda itu pada mulanya telah diserang oleh pesawat pengebom Jepun yang menguggurkan periuk api dan merosakkan sistem pendengarannya.

Dalam pertempuran yang berlanjutan, ia juga telah ditembak oleh kapal destroyer Jepun, Uranami yang menyebabkannya mengalami kerosakan teruk sehingga menyebabkan kapten kapal selam Belanda itu mengarahkan anak-anak kapalnya menyelamatkan diri.

 

Kapal selam O-20 Tentera Laut Belanda itu telah dimusnahkan oleh kapal destroyer Jepun, Uranami.

Bangkai kapal selam Belanda itu dilaporkan telah ditemui oleh penyelam pada tahun 2002.

Sejumlah 32 anak kapal selam O-20 Tentera Laut Belanda itu termasuk kaptennya telah diselamatkan oleh kapal destroyer Jepun itu dan dijadikan tawanan perang oleh Tentera Imperial Jepun. — DSA

 

 

 

BelandafeaturedKapal SelamMalaysia
Comments (2)
Add Comment