(DEFENCE SECURITY ASIA) – Beberapa hari lepas, kabinet Thailand meluluskan peruntukan sebanyak US$413.7 juta (RM2.8 bilion) untuk tentera udara negara itu membuat perolehan empat buah pesawat pejuang baru dipercayai F-35 Joint Strike Fighter (JSF) yang dibangunkan oleh syarikat Lockheed Martin.
Peruntukan itu merupakan langkah pertama Thailand untuk memperolehi lapan buah pesawat generasi kelima dipercayai F-35 bagi menggantikan pesawat-pesawat F-16A/B yang berpengkalan di Wing 1 di Nakhon Ratchasima.
Peruntukan itu adalah untuk dibelanjakan pada tahun 2023 hingga 2026 bagi memperolehi empat buah pesawat halimunan itu, manakala peruntukan untuk empat lagi buah pesawat pejuang mungkin akan datang pada tempoh 2026-2030.
Tentera Udara Thailand akan menubuhkan dua jawatankuasa diketuai oleh pegawai-pegawai kanan untuk mengkaji tentang perolehan pesawat pejuang generasi kelima itu.
Kalau kita perhatikan, cara perolehan peralatan pertahanan Thailand adalah ia membeli sedikit-sedikit berbanding dengan kita yang membeli sekaligus 18 buah pesawat. Kedua-dua cara memiliki pro dan kontra.
Langkah Thailand memperolehi pesawat pejuang halimunan F-35 (berkemungkinan varian “A”), sekiranya terbukti benar, menyusul langkah negara jiran di selatan tanahair, Singapura pada 2018 yang memutuskan untuk melengkapkan tentera udara republik itu dengan pesawat F-35B yang merupakan varian “Short Take-Off and Vertical Landing” (STOVL).
Varian F-35B STOVL ini adalah lebih mahal berbanding F-35A yang mungkin diperolehi oleh Thailand kerana ia adalah adalah lebih strategik, memandangkan pesawat boleh berlepas dan mendarat di landasan yang pendek dan tidak lengkap.
Singapura yang menyertai program pembangunan pesawat F-35 itu dijangka akan mula menerima pesawat generasi kelima itu bermula daripada tahun 2026, manakala Thailand pula dijangka mula menerima pesawat pejuang barunya sebelum tahun 2030.
Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store:
Malaysia kini seolah-olah “dihimpit” dengan negara-negara jiran di selatan dan utara kita yang sedang melengkapkan tentera udara masing-masing dengan pesawat halimunan generasi kelima.
Apa impak kepada pertahanan udara negara kita apabila negara-negara jiran (selatan dan utara) memiliki pesawat-pesawat pejuang halimunan?
Walaupun kita memilliki hubungan yang amat baik dengan Singapura dan Thailand, tetapi tidak dapat dinafikan bahawa kita juga mempunyai pertikaian dengan kedua-dua mereka.
Adakah pesawat-pesawat pejuang kita pada masa ini seperti F/A-18C/D Hornet dan Sukhoi Su-30MKM mampu bersaing dengan pesawat-pesawat halimunan yang bakal digunakan oleh negara-negara jiran kita?
Persoalan-persoalan ini bukanlah bermaksud kita hendak berperang dengan negara-negara jiran, tetapi adalah penting untuk memastikan kita sentiasa setanding dan tidak ketinggalan terlalu jauh di belakang.
Era pesawat-pesawat halimunan di rantau Asia Tenggara yang bermula dengan Singapura, kini semakin dirancakkan apabila Thailand merancang untuk memiliki lapan buah pesawat F-35A yang dianggarkan bernilai US$82 juta sebuah.
Sebuah lagi negara jiran kita, Indonesia pula sedang merancang untuk memiliki sama ada F-15EX atau Rafale untuk tentera udaranya.
Harga per-unit pesawat F-35 semakin rendah berbanding ketika ia mula diperkenalkan di pasaran pada tahun 2007 iaitu mencecah sehingga US$220 juta sebuah, membolehkan lebih banyak negara untuk memiliki pesawat itu.
Menurut Tentera Udara Thailand, dengan harga sebanyak US$82 juta sebuah, harga bagi sebuah pesawat F-35A itu adalah hampir sama dengan harga per-unit varian pesawat Gripen yang terkini di pasaran.
Di atas dasar itulah, tentera udara negara jiran kita itu kini bersungguh-sungguh mahu memperolehi pesawat F-35, untuk muncul sebagai negara kedua di Asia Tenggara selepas Singapura yang memiliki kemampuan pesawat pejuang halimunan.
Daripada ia menambah pegangan pesawat Gripen C/D, adalah lebih baik jika ia melakukan lonjakan dalam teknologi aeroangkasa dengan memiliki pesawat generasi kelima dan halimunan di dalam bentuk pesawat F-35 JSF.
Tentera Udara Thailand mengoperasikan 12 buah pesawat Gripen yang beroperasi daripada Pangkalan Udara Surat Thani di selatan Thailand.
Admin terpikir, sama ada Thailand dengan sengaja meletakkan pesawat-pesawat termodennya iaitu Gripen di selatan Thai untuk mengawasi “pergerakan” pesawat-pesawat Su-30MKM kita yang berpengkalan di Gong Kedak, Terengganu.
Apapun, era pesawat generasi kelima dan halimunan menjadi semakin rancak di Asia Tenggara menerusi keputusan yang diambil oleh Thailand minggu lepas.
Apa pula perancangan kita? — DSA