(DEFENCE SECURITY ASIA) – Selepas hampir dua bulan “berehat” di pangkalannya di China,kapal pengawal pantai terbesar dunia CCG 5901 yang digelar sebagai “The Monster” dikesan sudah kembali ke Laut China Selatan untuk “membuat kacau”.
Menurut akaun Twitter milik South China Sea News @SCS_news, kapal pengawal pantai gergasi China itu kini dikesan berada di kawasan selatan perairan strategik Laut China Selatan dipercayai di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) milik Vietnam.
Kapal pengawal pantai “The Monster” itu berkemungkinan akan menyertai kapal penyelidik China, Xiang Yang Hong 10 dan beberapa kapal pengawal pantai negara itu yang kini berada di dalam kawasan perairan ZEE Vietnam.
Kumpulan kapal-kapal milik China itu dikesan melakukan aktiviti pemetaan dasar laut (underwater mapping) di kawasan perairan ZEE Vietnam yang kaya dengan sumber minyak dan gas.
Vietnam telah mengerah kapal-kapal pengawal pantai dan jabatan perikanannya untuk memantau (shadow) kumpulan kapal China itu daripada dekat.
Kumpulan kapal-kapal China yang turut disertai oleh bot-bot militia maritim negara itu telah berada di dalam kawasan perairan ZEE Vietnam sejak 8 Mei lalu, tanpa mengendahkan arahan daripada pihak berkuasa Vietnam untuk keluar daripada perairan miliknya.
Kapal pengawal pantai China “The Monster” itu juga tidak asing kepada pihak berkuasa Malaysia kerana tindakannya yang kerap kali menceroboh perairan ZEE Malaysia terutamanya berhampiran Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals) yang kaya dengan sumber minyak dan gas.
China memiliki dua buah kapal pengawal pantai kelas-Zhaotou yang masing-masing seberat 12,000 tan.
Dibina oleh Limbungan Kapal Jiangnan di Shanghai, kedua-dua buah kapal pengawal pantai kelas-Zhaotou milik China itu merupakan kapal pengawal pantai terbesar di dunia, mengatasi kapal pengawal pantai Jepun kelas-Shikishima yang memiliki berat lebih 9,000 tan. (berat penuh)
Sebelum ini, kapal pengawal pantai terbesar China adalah sekitar 4,000 tan, tetapi kewujudan kapal-kapal kelas-Zhaotou itu sememangnya suatu lonjakan kuasa pasukan pengawal pantai negara Asia dalam usaha mengukuhkan lagi tuntutan “tidak lojiknya” terhadap lebih daripada 80 peratus Laut China Selatan.
Menurut media-media China, rancangan membina dua buah kapal pengawal pantai kelas-Zhaotou bermula pada tahun 2012, beberapa tahun sebelum pasukan Pengawal Pantai China itu ditubuhkan di bawah State Oceanic Administration (SOA) negara itu.
Kewujudan kapal-kapal pengawal pantai gergasi milik China itu disedari apabila syarikat China Shipbuilding Industry Corporation (CSIC) yang merupakan pemilik kepada Limbungan Kapal Jiangnan mengumumkan pada 2013 ia telah dianugerahkan kontrak untuk membina kapal pengawal pantai kelas-Zhaotou itu.
Kapal pertama “The Monster” telah siap dibina pada tahun 2014 dan setahun selepas itu pada Mac 2015 ia telah berjaya melakukan pelayarannya yang pertama ke Laut China Timur (East China Sea).
Kapal kedua “The Monster” itu pula telah siap dibina pada 2016 di Limbungan Kapal Jiangnan dan setahun selepas itu telah memulakan pelayaran pertamanya ke Laut China Selatan.
Dalam pelayaran pertama ke Laut China Selatan itu, ia telah menghabiskan 19 hari “meronda dan melawat” apa yang ditakrifnya sebagai pulau-pulau dan ciri maritim milik negara itu di perairan strategik dan kaya dengan sumber asli itu.
Dengan berat 12,000 tan, ia jauh meninggalkan kapal-kapal destroyer kelas-Arleigh Burke dan cruiser kelas-Ticonderoga Tentera Laut Amerika Syarikat yang beratnya di antara 7,000 tan hingga 9,000 tan.
Saiznya yang besar itu membolehkan “The Monster” membawa lebih banyak bekalan yang lebih untuk ia kekal beroperasi di lautan lebih lama.
Kapal pengawal pantai kelas-Zhaotou itu dilengkapi dengan meriam utama 76mm, dua buah meriam 30mm dan dua buah mesingan anti-pesawat, selain dua buah helikopter Z-8 (sebuah di dek dan sebuah lagi di dalam hangar) dan beberapa pesawat tanpa pemandu (UAV) dan UUV (Unmanned Underwater Vehicle).
Dengan enjin yang dibekalkan oleh MAN (sebelum Kesatuan Eropah mengenakan sekatan), kapal pengawal pantai terbesar dunia itu berkemampuan belayar selaju 25 knot dengan jarak operasinya adalah diantara 10,000 batu nautika hingga 15,000 batu nautika.
Disebabkan saiz yang amat besar untuk kapal pengawal pantai, maka kehadiran “The Monster” di mana-mana perairan termasuk Laut China Selatan sentiasa menarik perhatian ramai, sebagaimana yang berlaku baru-baru apabila berada di dalam perairan ZEE Malaysia berhampiran Beting Patinggi Ali.
Oleh kerana saiznya yang amat besar, maka kehadirannya memang “menggentarkan” banyak pihak terutamanya kapal-kapal pengawal pantai negara lain yang boleh diibaratkan sebagai “ikan bilis” jika dibandingkan dengan saiz kedua-dua kapal kelas-Zhaotou itu. — DSA
DOWNLOAD APPS DEFENCE SECURITY ASIA
Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com