“The Monster” Undang Kehadiran Kapal Perang Indonesia, Amerika

Beberapa hari lepas, Armada ke-Tujuh Tentera Laut Amerika Syarikat mengumumkan bahawa kapal pengangkut pesawatnya, USS Nimitz dan kapal-kapal pengiringnya telah “memasuki” Laut China Selatan dan beroperasi di perairan itu. Laporan terkini mengatakan USS Nimitz dan kapal-kapal pengiringnya beroperasi tidak jauh daripada barat daya Laut China Selatan.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kehadiran kapal pengawal pantai terbesar China, CCG 5901 aka “The Monster” di barat daya Laut China Selatan (dipanggil Laut Natuna oleh Indonesia) telah menyebabkan sedikit ketegangan kerana ia juga telah “mengundang” bukan sahaja kehadiran kapal-kapal Tentera Laut Indonesia tetapi juga kapal-kapal perang Amerika Syarikat.

Kapal Pengawal Pantai China, CCG 5901 seberat 12,000 tan dan beberapa kapal pengawal pantai negara itu yang saiznya lebih kecil dikesan “keluar-masuk” perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia, Indonesia dan Vietnam.

Walaupun tiada kenyataan setakat ini daripada pihak berkuasa Malaysia tentang tindakan mereka berhubung laporan-laporan berkenaan kehadiran kapal pengawal pantai terbesar China itu di perairan ZEE mereka, namun ia berlainan pula dengan Indonesia.

Kepala Staf Tentera Laut Indonesia Laksamana Muhammad Ali memberitahu Radio Free Asia (RFA) bahawa Jakarta telah mengerahkan di antara tiga hingga empat buah kapal tentera lautnya ke barat daya Laut China Selatan itu untuk memantau kapal CCG 5901, “The Monster” kerana saiznya yang jauh lebih besar daripada kapal-kapal perang cruiser dan destroyer.

Indonesia turut menghantar sebuah pesawat peronda maritim dan pesawat tanpa pemandu milik Tentera Udara Indonesia ke barat daya Laut China Selatan itu yang kaya dengan sumber minyak dan gas  untuk memantau pergerakan kapal pengawal pantai China itu.

“The Monster” aka kapal pengawal pantai China, CCG 5901

 

“Semua berada di dalam kawalan,” kata pegawai tertinggi tentera laut Indonesia itu.

Beberapa hari lepas, Armada ke-Tujuh Tentera Laut Amerika Syarikat mengumumkan bahawa kapal pengangkut pesawatnya, USS Nimitz dan kapal-kapal pengiringnya telah “memasuki” Laut China Selatan dan beroperasi di perairan itu.

Laporan terkini mengatakan USS Nimitz dan kapal-kapal pengiringnya beroperasi tidak jauh daripada barat daya Laut China Selatan di mana lapangan gas milik Indonesia itu terletak.

Selain USS Nimitz, Makin Island Amphibious Ready Group (ARG) dipercayai berada di Singapura selepas mengadakan latihan dengan tentera laut republik itu.

Sementara itu, pegawai kanan Indonesia, Satya Pratama sebagaimana dipetik sebagai berkata oleh Benar News pula berkata, kehadiran kapal-kapal tentera laut negara itu di barat daya Laut China Selatan bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana aset-aset keselamatan negara itu kerap melakukan rondaan di perairan tersebut.

Lapangan Gas Tuna milik Indonesia

 

Menurutnya, kehadiran kapal-kapal perang Indonesia itu diyakini tidak akan meningkatkan ketegangan.

Tambahnya, tidak ada pihak mahukan sebarang ketegangan di kawasan perairan tersebut.

Baru-baru ini, Indonesia telah meluluskan usaha membangunkan Lapangan Gas Tuna dengan pelaburan bernilai US$3 bilion (RM12 bilion) untuk memulakan pengeluaran gas, menurut badan kawalselia SKK Migas.

Lapangan gas Tuna itu terletak di Laut China Selatan berhampiran sempadan maritim Indonesia dan Vietnam.

Gas asli daripada Lapangan Gas Tuna, yang dioperasikan oleh Harbour Energy yang berpengkalan di London dijangka dieksport ke Vietnam bermula pada tahun 2026, menurut kenyataan oleh Menteri Tenaga Indonesia sebelum ini.

Kapal pengangkut pesawat, USS Nimitz kini berada di Laut China Selatan.

 

Pengerusi SKK Migas Dwi Soetjipto berkata bahawa selain daripada faedah-faedah ekonomi daripada pelaburan itu, pembangunan Lapangan Gas Tuna itu juga akan mengukuhkan lagi hak Indonesia terhadap kawasan maritim itu.

“Akan ada aktiviti di kawasan sempadan itu, yang merupakan antara lokasi panas geopolitik dunia,” kata beliau. — DSA

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE  

 

 

 

AmerikafeaturedIndonesiaKapal PerangLaut China SelatanThe Monster
Comments (0)
Add Comment