Pembinaan MAWILLA 4 TLDM Di Sarawak Bermula Tidak Lama Lagi

Pangkalan pertama TLDM di Sarawak itu akan bertempat  di Samalaju di Bintulu, utara negeri itu dan dijangka beroperasi pada Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13).

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Usaha Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) membina Markas Wilayah Laut 4 (MAWILLA 4) di Bintulu,Sarawak bakal bermula tidak lama lagi dengan proses pengambilan tanah bagi memulakan projek pembinaannya berada di peringkat akhir ketika ini.

Pangkalan pertama TLDM di Sarawak itu akan bertempat  di Samalaju di Bintulu, utara negeri itu.

Panglima Armada Timur TLDM Laksamana Madya Datuk Sabri Zali berkata tapak untuk projek pangkalan itu telah ditawarkan Kerajaan Sarawak, dan pembinaannya dirancang bermula dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12.

(TLDM)

 

MAWILLA 4 itu dijangka beroperasi menjelang pertengahan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Pangkalan ini apabila siap nanti akan menjadi Markas Wilayah Laut 4 untuk menempatkan kapal-kapal TLDM di Sarawak,” katanya pada sidang media selepas merasmikan penutupan Latihan Pelayaran ‘Operational Sea Training Excercise East’ (OSTEX EAST) 1/22, di sini, hari ini.

TLDM tidak mampu menempatkan kapal-kapalnya dalam jangka masa panjang di pelabuhan awam di negeri itu, kerana kosnya yang tinggi dan ini meningkatkan keperluan untuk membina pangkalannya sendiri.

(TLDM)

 

Beliau menambah TLDM buat masa ini sedang melaksanakan Operasi Satria dengan majoriti daripada jumlah kapal yang digunakan berpangkalan di Kota Kinabalu, Sabah bagi menjaga keseluruhan perairan Sarawak khususnya di kawasan Beting Patinggi Ali.

Sementara itu TLDM dalam satu kenyataan berkata, latihan OSTEX EAST 1/22 telah berjaya dilaksanakan di Laut China Selatan.

Latihan selama 12 hari bermula 14 Mac 22 lalu melibatkan aset-aset TLDM di Armada Timur dan TUDM Labuan seperti kapal kelas Peronda, kapal pembinasa laju, helikopter Fennec milik TLDM, kapal selam, Scan Eagle Unmanned Aerial System (UAS) dan pesawat Hawk milik TUDM.

TLDM

 

Seramai 600 orang telah terlibat dalam latihan OSTEX EAST 1/22 kali ini.

 Latihan OSTEX EAST 1/22 pada kali ini memberi penekanan terhadap latihan kemahiran seperti komunikasi, navigasi, peperangan dan juga ilmu kelautan bagi tujuan meningkatkan kompetensi warga kapal.

Pada yang sama, kapal-kapal TLDM turut memperagakan kehadiran di perairan Laut China Selatan khususnya perairan Sarawak. 

(TLDM)

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Antara aset-aset TLDM dan TUDM terlibat adalah KD PERAK, KD SUNDANG, KD BADIK, KD TODAK, KD SERANG, KD GANAS, KD BAUNG, KD TUN RAZAK, Bot Tempur TLDM, SKN 501 Helikopter FENNEC milik TLDM dan 2 pesawat HAWK milik TUDM.

 Buat julung kalinya, eksesais ini turut disertai oleh Skuadron 601 UAS. — DSA

(TLDM)

 

 

featuredMAWILLA 4SarawakTLDM
Comments (0)
Add Comment