MAWILLA 4 Bantu Perkukuh Kawalan Di Beting Patinggi Ali, Laut China Selatan

“Pada kelajuan 12 knot, kapal-kapal TLDM dari Teluk Sepanggar akan mengambil masa 19 jam untuk sampai ke Beting Patinggi Ali, berbanding dengan hanya sembilan jam dari Bintulu pada kelajuan yang sama,” katanya Menteri Pertahanan di Dewan Rakyat semalam.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Keputusan kerajaan membina Markas Wilayah Laut 4 (MAWILLA 4) di Bintulu akan memperkukuhkan lagi kawalan dan pemantauan terhadap perairan negara di Sarawak terutamanya Beting Patinggi Ali.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, kedudukan Bintulu yang terletak berhampiran dengan Beting Patinggi Ali dan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) negara di Laut China Selatan membuatkan ia lokasi yang strategik untuk didirikan sebuah pangkalan TLDM yang baru.

Pada masa ini, sebarang pemantauan dan kawalan keselamatan perairan di Beting Patinggi Ali dan ZEE milik negara di Laut China Selatan adalah menggunakan aset-aset TLDM daripada Pangkalan Kota Kinabalu di Teluk Sepanggar.

“Pada kelajuan 12 knot, kapal-kapal TLDM dari Teluk Sepanggar akan mengambil masa 19 jam untuk sampai ke Beting Patinggi Ali, berbanding dengan hanya sembilan jam dari Bintulu pada kelajuan yang sama,” katanya beliau di Dewan Rakyat semalam.

Beliau berkata, MAWILLA 4 itu akan dibina di kawasan seluas 200 ekar di Samalaju Industrial Park (SIP), Tanjung Bogam di Bintulu.

Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals).

 

Pembinaan akan dilaksanakan menerusi dua fasa dan ia menunjukkan komitment kerajaan pusat dalam menjamin keselamatan dan pertahanan negeri Sarawak.

Walaupun sebelum terdapat cadangan untuk membina stesen luar pantai milik TLDM di Beting Patinggi Ali, namun keputusan untuk membina MAWILLA 4 di Bintulu yang berhampiran itu dapat memastikan pemantauan dan pengawasan berterusan di kawasan perairan sekitar beting dan ZEE di Laut China Selatan yang kerap diceroboh oleh kapal-kapal asing.

Pada Jun lalu, Kementerian Pertahanan menyatakan ia tidak mempunyai sebarang perancangan untuk membangunkan Stesen Luar Pantai di Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals).

Ia dinyatakan sendiri oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hassan dalam jawapan bertulis kepada soalan yang dikemukakan oleh Datuk Seri Dr Haji Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) pada 14 Jun yang lalu.

Bekas Menteri Kesihatan itu bertanya sama ada kementerian mempunyai perancangan membangunkan Stesen Luar Pantai di Beting Patinggi Ali untuk meletakkan aset-aset ketenteraan negara, sebagaimana apa yang dilakukannya di Sabah.

Kapal APMM “shadow” sebuah kapal pengawal pantai China di luar pantai Sarawak. (gambar fail)

 

“Kementerian Pertahanan tidak berhasrat untuk melaksanakan pembangunan di Beting Patinggi Ali (BPA),” kata Mohamad Hasan dalam jawapan bertulis beliau itu.

Dari sudut geografi, Beting Patinggi Ali berkedudukan 84 batu nautika (155 km) dari pantai Miri (spesifiknya di Tanjung Baram), Sarawak dan terletak dalam Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Malaysia.

Beting ini berada di kedudukan paling selatan dalam gugusan Kepulauan Spratly. 

Kawasan dasar laut di kawasan beting ini menyimpan khazanah gas asli dan minyak yang masih banyak yang dianggarkan bernilai berbilion-bilion Ringgit.

Kawasan-kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) milik negara di luar pantai Sarawak seperti di sekitar Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals) dan Beting Raja Jarom (Luconia Breaker) yang kaya dengan sumber minyak dan gas akan dipertahankan “at any cost” (apa cara sekalipun), kata Menteri Pertahanan pada Jun lepas.

(TLDM)

 

Beliau berkata, kawasan-kawasan perairan negara seperti di kedua-dua beting itu menyimpan khazanah minyak dan gas yang amat bernilai.

Beliau juga berkata kawasan perairan ZEE negara di luar pantai Sarawak itu juga menempatkan Lapangan Gas Kasawari di Blok SK316 yang sedang diusahakan oleh syarikat minyak dan gas negara, PETRONAS.

“Kawasan (Lapangan Gas) Kasawari dan Beting Raja Jarom berada di dalam kawasan ZEE kita yang telah termaktub dalam United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS).”

“Mengambil kira kawasan itu seperti (Lapangan Gas) Kasawari dan Beting Patinggi Ali itu adalah kawasan yang memberikan pendapatan kepada negara hampir 25 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, dimana di situlah terletaknya telaga minyak kita, di situlah telaga gas kita, maka ia perlu dipertahankan ‘at any cost’,” kata Mohamad Hasan. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Beting Patinggi AlifeaturedLaut China SelatanMAWILLATLDM