Anak Marcos Sebagai Presiden Baru Filipina? Tuntutan Sabah Diperhebat?

Dengan Marcos Jr berkemungkinan besar akan diisytiharkan sebagai pemenang pilihanraya presiden Filipina itu dalam beberapa hari mendatang ini, apa yang penting untuk diketahui oleh rakyat Malaysia adalah apakah dasarnya berkenaan tuntutan Manila terhadap Sabah?

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada ketika ini, Ferdinand “Bongbong” Marcos Jr semakin dilihat sebagai calon utama yang bakal memenangi pilihanraya presiden Filipina untuk menggantikan Rodrigo Duterte.

Ahli politik berusia 64 tahun itu bergandingan dengan Datuk Bandar Davao Sara Duterte-Carpio, anak perempuan kepada Rodrigo Duterte yang bertanding sebagai Naib Presiden Filipina pada pilihanraya presiden kali ini.

Sebagaimana yang  kita telah pun tahu, Marcos Jr  bekas senator Filipina yang berkhidmat pada 2010 hingga 2016 adalah anak lelaki tunggal kepada bekas diktator negara itu, Ferdinand Marcos yang memerintah negara jiran Malaysia itu secara kuku besi daripada 1965 hingga 1986.

Marcos Jr (kiri) bersama bapanya,Presiden Marcos, ibunya Imelda dan adik-beradiknya yang lain.

 

Selepas 36 tahun bapanya digulingkan dalam rampasan kuasa diketuai oleh Corazon Aquino (kemudian menjadi Presiden Filipina) dan mati dalam buangan di Hawaii, Marcos Jr kini berada di ambang  untuk mengulangi kejayaan dicipta mendiang bapanya pada 1965.

Pada ketika ini, Marcos Jr mendahului pencabar terdekatnya, Naib Presiden Leni Robredo sebanyak kira-kira 500,000 undi dalam persaingan untuk menggantikan Duterte sebagai Presiden Filipina yang baru.

Anak kepada bekas diktator Filipina itu memperolehi lebih daripada 900,000 undi, diikuti oleh Robredo (400,000 undi) manakala atlet tinju professional, Manny Pacquiao yang hanya mampu memperolehi lebih 70,000 undi.

Ninoy Aquino

 

Dengan Marcos Jr berkemungkinan besar akan diisytiharkan sebagai pemenang pilihanraya presiden Filipina itu dalam beberapa hari mendatang ini, apa yang penting untuk diketahui oleh rakyat Malaysia adalah apakah dasarnya berkenaan tuntutan Manila terhadap Sabah?

Apakah beliau akan mengugurkan tuntutan Filipina terhadap Sabah atau meningkatkan lagi tuntutan Manila terhadap wilayah Malaysia itu?

Pulau Corregidor, lokasi pembunuhan 180 pemuda Islam dalam Peristiwa Jabidah.

 

Apakah Kesultanan Sulu akan merasa lebih berani, lebih “adventurous” untuk menuntut Sabah apabila Marcos Jr dilantik sebagai Presiden Filipina kelak?

Apakah pemilihan Marcos Jr sebagai presiden baik untuk hubungan dua hala Malaysia dan Filipina?

Semua ini adalah persoalan-persoalan yang perlu dijawab sekiranya Marcos Jr benar-benar terpilih sebagai Presiden Filipina yang baru bagi menggantikan Rodrigo Duterte.

Ditakuti adakah Marcos Jr akan mengikut jejak langkahnya dalam isu Sabah.

Hanya selepas tiga tahun pemerintahan bapanya iaitu pada 1968, telah berlaku apa dipanggil “Peristiwa Jabidah”di mana 180 pemuda Islam selatan Filipina berusia 18 hingga 30 tahun telah dibunuh dengan kejam di Corregidor.

Pemuda Islam itu telah dilatih secara rahsia oleh tentera Filipina di Pulau Simunul di kepulauan Sulu sebelum dipindahkan ke Corregidor.

Tujuan latihan ketenteraan itu adalah untuk terlibat dalam operasi rahsia dinamakan “Freedom Operation” (Operasi Merdeka) dengan kumpulan pemuda Islam itu digunakan untuk menyusup dan membuat kacau-bilau di Sabah.

Apabila kekacauan dan ketidakstabilan berlaku di Sabah, maka ia adalah alasan yang cukup untuk mereka yang berada di belakang “Operasi Merdeka” itu mengambilalih Sabah daripada Malaysia.

Bagaimanapun, tindakan subversif untuk menimbulkan kekacauan di Sabah di atas nama Kesultanan Sulu itu gagal selepas pemuda-pemuda Islam itu tidak berpuashati dengan rancangan itu yang berakhir dengan pembunuhan kejam mereka.

Jibin Arula di Pulau Corregidor sekitar tahun 2008.

 

Kesemua pemuda Islam itu telah dibunuh dengan kejam kecuali seorang yang berjaya menyelamatkan diri dikenali dengan nama “Jibin Arula” yang telah membocorkan niat jahat pihak tentera Filipina itu kepada media tempatan serta ahli politik negara itu termasuk Ninoy Aquino (yang kemudiannya juga telah ditembak mati ketika turun daripada pesawat)

Media tempatan mendakwa rancangan jahat yang membawa kepada Peristiwa Jabidah itu didalangi oleh Presiden Marcos, yang menafikan dakwaan itu

Ahli politik Islam di Filipina mendakwa ia adalah satu contoh di mana tindakan keterlaluan Marcos yang boleh menjerumuskan negara itu kepada peperangan dengan negara jirannya, Malaysia.

Pemuda-pemuda Islam yang malang itu telah dieksploitasi oleh Marcos dan pegawai tentera bagi mencapai cita-cita politik kotor Marcos.

Dan kini 54 tahun selepas berlakunya Peristiwa Jabidah yang mengakibatkan kira-kira 180 orang pemuda Islam Filipina dibunuh dengan kejam, anak kepada individu yang didakwa bertanggungjawab terhadap insiden pembunuhan itu berkemungkinan besar akan dilantik menjadi presiden Filipina.

Sebab itulah perlu diperhati dengan teliti tindak-tanduk Marcos Jr ini berkenaan isu tuntutan Sabah, takut-takut perumpamaan “Bapa Borek Anak Rintik” itu benar-benar menjadi kenyataan. — DSA

 

 

featuredFilipinaMarcos JrSabah