(DEFENCE SECURITY ASIA) — Nampaknya Laos yang berhadapan dengan masalah hutang yang besar daripada China akibat kerakusan negara itu membina empangan hidro, kini berhadapan dengan masalah lain pula.
Terbaru, agensi penarafan antarabangsa. Fitch Ratings telah menurunkan penarafan negara Asia Tenggara itu kepada “CCC” daripada “B-“.
Laos adalah negara tunggal daripada 22 negara Asia Pasifik yang menerima taraf kredit “CCC”, bersamaan empat negara Afrika seperti Gabon, Gongo, Zambia dan Angola.
Dengan penurunan penarafan itu, Laos berhadapan dengan kemungkinan “risiko kredit yang besar” dan kemungkinan tidak mampu membayar balik hutangnya (default).
Menurut agensi penarafan antarabangsa itu sebagaimana dipetik oleh media The Nikkei Asian Review, adalah amat jarang baginya untuk memberikan penarafan serendah “CCC” kepada sebuah negara berdaulat.
Selain Fitch Ratings, sebuah lagi syarikat penarafan kredit iaitu Moody’s Investor Service turut bertindak menurunkan taraf kredit negara Asia Tenggara itu kepada “Caa2” daripada “B3”.
Moody’s turut menurunkan prospek masa depan negara itu kepada “negatif.”
Apa maksud penurunan taraf kredit itu sebenarnya, ia bermakna Laos akan berhadapan kadar faedah yang lebih tinggi jika ia mengambil hutang dengan mana-mana bank atau institusi kewangan antarabangsa.
Pelabur antarabangsa juga tidak akan melabur di negara yang mempunyai kadar penarafan yang rendah.
Sebab itulah, kadar penarafan oleh syarikat-syarikat penarafan kredit antarabangsa ini amat penting kerana adalah suatu penanda aras tentang keadaan ekonominya.
Menurut portal Trading Economic, kadar penarafan kredit Malaysia pada ketika ini sebagaimana diunjurkan oleh Standard & Poor’s adalah “A-” manakala prospek masa depan adalah “negatif”, manakala bagi Moody’s pula, adalah “A3” dan prospek “stabil”.
Fitch juga meletakkan Malaysia pada “A-” dan prospek masa depan, “Stabil.”
So, kedudukan Malaysia dan Laos adalah amat berlainan walaupun kedua-duanya menerima pelaburan daripada China dalam pembinaan pelbagai infrastruktur.
Antara sebab utama disebalik penurunan penarafan kredit Laos adalah kerana tekanan terhadap tahap kecairan dalam negara berikutan pandemik COVID-19 dan jumlah besar pembayaran hutang dalam waktu terdekat ini.
Menurut Fitch, kedudukan terkini ini memungkinkan Laos terpaksa bergantung kepada bantuan daripada China.
Laos perlu membayar hutang berjumlah US$500 pada akhir tahun ini, diikuti US$1.1 billion setiap tahun selama empat tahun mulai tahun depan.
Kadar rizab luar negara Laos adalah US$1.3 billion.