Korea Utara Bakal Hantar 500,000 Tentera, Komando Bantu Russia Di Ukraine

“Saya telah bercakap dengan ketua organisasi veteran perang Korea Utara yang berada di Moscow baru-baru ini dan beliau telah menyatakan bahawa 50,000 anggota komando Korea Utara bersedia untuk dikerah ke Ukraine,” kata Alexsander Sladkov.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dalam tindakan yang bakal memarakkan lagi konflik Russia-Ukraine, Korea Utara dikatakan sedang “mempersiapkan” kira-kira 500,000 anggota tentera dan pasukan sukarelanya  untuk menyertai operasi ketenteraan khas Russia di Ukraine, dakwa seorang koresponden perang televisyen kebangsaan Russia.

Koresponden perang terbabit, Alexsander Sladkov mendakwa bahawa rejim Pyongyang pimpinan Kim Jong Un merupakan penyokong kuat dasar Russia di Ukraine.

“Saya telah bercakap dengan ketua organisasi veteran perang Korea Utara yang berada di Moscow baru-baru ini dan beliau telah menyatakan bahawa 50,000 anggota komando Korea Utara juga bersedia untuk dikerah ke Ukraine,” katanya.

Menurut beliau, Korea Utara bersedia untuk menyumbang ke arah kempen Russia di Ukraine dengan menyumbang anggota tentera dan kelengkapan pada operasi khas itu,yang merujuk kepada konflik bersenjata antara Moscow dan Kiev yang bermula sejak Februari tahun lepas.

Sladkov juga berkata bahawa perancangan Pyongyang untuk menghantar setengah juta anggota tentera ke Ukraine itu juga bergantung kepada persetujuan daripada China.

Katanya, keputusan akhir mengenai penghantaran tentera Korea Utara itu akan dibuat oleh Pyongyang pada bila-bila masa.

Beliau juga berkata bahawa Korea Utara baru-baru ini telah membuka tawaran pada para sukarelawan yang berminat untuk berjuang di Ukraine dan seramai 800,000 orang telah menyatakan minat mereka dalam tempoh sehari.

Kim Yo-Jong yang merupakan adik perempuan kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un juga telah menyatakan bahawa negara itu menyebelahi Russia dalam konfliknya dengan Ukraine dan penyokong-penyokong dikalangan negara Barat terutamanya Amerika Syarikat.

Beliau juga berkata bahawa konflik bersenjata boleh berlaku pada bila-bila masa di antara Korea Utara dan Amerika Syarikat.

Penganalisa-penganalisa ketenteraan Ukraine juga menyatakan tentang kemungkinan bantuan ketenteraan daripada Korea Utara untuk menyokong tentera Russia di Ukraine.

Pada Novenber tahun lepas, pihak perisikan Barat mendakwa bahawa Korea Utara telah menyumbang aset-aset ketenteraan terutamanya peluru artileri kepada tentera Russia dalam membantu kempen ketenteraannya di Ukraine.

Pyongyang juga didakwa menyumbang senjata kepada kontraktor keselamatan Russia, Kumpulan Wagner yang mengetuai serangan di wilayah Bakhmut.

Bagaimanapun dakwaaan oleh pihak Barat itu telah dinafikan oleh Russia dan Korea Utara.

Selain Korea Utara, Russia juga telah mendapatkan bekalan senjatanya daripada Iran seperti dron-dron berani mati dan kini terdapat usaha untuk memperolehi pelbagai aset ketenteraan daripada China. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

Bantuan TenterafeaturedKorea UtaraRussiaUkraine
Comments (0)
Add Comment