[VIDEO] Ukraine Mula Kehilangan Kereta Kebal Leopard, Kereta Perisai Bradley

Laporan oleh pemerhati menyatakan bahawa dalam serangan itu, Kiev telah kehilangan sekurang-kurangnya enam buah kereta kebal Leopard yang terdiri daripada varian Leopard 2A6 dan Leopard 2A4 serta kereta perisai Bradley yang dibekalkan oleh negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sejak tentera Ukraine melancarkan serangan balas musim panas yang ditunggu-tunggu baru-baru ini, ia dilaporkan telah mula kehilangan kereta kebal dan kereta perisai yang dibekalkan oleh negara-negara Barat.

Dalam serangan di wilayah Zaphorizia, selatan Ukraine yang berjaya dipatahkan oleh tentera Russia sebagaimana didakwa oleh media negara itu, tentera Ukraine dilaporkan telah kehilangan kereta kebal Leopard dan kereta perisai Bradley.

Laporan oleh pemerhati menyatakan bahawa dalam serangan itu, Kiev telah kehilangan sekurang-kurangnya enam buah kereta kebal Leopard yang terdiri daripada varian Leopard 2A6 dan Leopard 2A4.

“Dua buah daripada kereta kebal buatan Jerman itu telah musnah sepenuhnya akibat tembakan peluru berpandu anti-kereta kebal atau periuk api, sebuah ditembak dan ditinggalkan manakala tiga buah yang lain telah ditinggalkan,” menurut laporan itu.

Gambar-gambar serta video kemusnahan kereta kebal Leopard dan kereta Bradley juga telah tersebar.

Dalam satu video yang telah tersebar, sebuah kereta kebal Leopard yang dioperasikan oleh tentera Ukraine telah dibedil oleh dron kamikaze “Lancet” milik tentera Russia.

Sebuah lagi video yang tersebar menunjukkan helikopter penyerang Russia,KA-52 telah melancarkan peluru berpandu terhadap konvoi armor diketuai oleh kereta kebal Leopard dan kereta perisai Bradley.

Sementara itu, saham syarikat Rheinmetall AG yang membina kereta kebal Leopard menjunam di bursa saham Jerman apabila berita, video serta imej tentang kehilangan kereta-kereta kebal buatan mereka ditangan Russia mula tersebar.

Kereta perisai Bradley yang ditinggalkan oleh tentera Ukraine selepas serangan tentera Russia.

 

Setiap sebuah kereta kebal Leopard buatan Jerman itu dianggarkan bernilai US$15 juta (RM60 juta).

Laporan media-media Russia mendakwa serangan Ukraine di wilayah Zaphorizia itu menyaksikan Kiev kehilangan di antara 22 hingga 24 buah kereta kebal Leopard yang dibekalkan oleh negara-negara Eropah.

Dalam serangan balas Ukraine di wilayah yang sama, laporan pemerhati juga menyatakan bahawa enam buah kereta perisai M2A2 Bradley yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat telah musnah sepenuhnya akibat tembakan pihak Russia dan telah ditinggalkan di medan peperangan.

Kereta perisai VAB sumbangan Perancis

 

Laporan daripada pemerhati lain pula menyatakan bahawa tentera Ukraine telah kehilangan sehingga 10 buah kereta perisai Bradley sumbangan Amerika Syarikat.

Selain itu, pemerhati juga melaporkan tentera Ukraine juga telah kehilangan tiga buah kereta MRAP (Mine-Resistant Ambush Protected) jenis “M1224 MaxxPro” yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat.

“Ketiga-tiga kenderaan MRAP itu telah ditinggalkan oleh tentera Ukraine selepas terkena tembakan tentera Russia.”

Pemerhati turut melaporkan bahawa tentera Ukraine telah kehilangan sebuah kereta perisai YPR-765 yang dibekalkan oleh Belanda,kereta kebal T-72M1 dibekalkan oleh kerajaan Czech dan sebuah kereta perisai VAB sumbangan Perancis. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

BradleyfeaturedLeopardUkraine
Comments (0)
Add Comment