Korea Utara Beri “Amaran Keras” Akan Tembak Jatuh Pesawat Pengintip Amerika Syarikat

Ancaman yang dianggap oleh pemerhati jarang-jarang sekali dikeluarkan oleh Korea Utara itu dinyatakan oleh jurucakap Kementerian Pertahanan negara Komunis itu, tidak lama selepas Korea Selatan dan Amerika Syarikat menamatkan “latihan udara” antara kedua-dua tentera udara.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Korea Utara memberikan amaran keras kepada Amerika Syarikat bahawa ia akan mula menembak jatuh pesawat-pesawat pengintip milik seterunya itu jika mereka terus menceroboh ruang udaranya.

Pyongyang berkata pesawat-pesawat pengintip Amerika Syarikat sudah beberapa kali menceroboh ruang udaranya dan mahukan perkara itu dihentikan dengan serta-merta.

Ancaman yang dianggap oleh pemerhati jarang-jarang sekali dikeluarkan oleh Korea Utara itu dinyatakan dalam kenyataan oleh jurucakap Kementerian Pertahanan negara Komunis itu, tidak lama selepas Korea Selatan dan Amerika Syarikat menamatkan “latihan udara” antara kedua-dua tentera udara.

Sistem pertahanan udara Korea Utara

 

“Pada bulan ini sahaja (Julai 2023), pesawat pengintip RC-135, U-2 dan dron RQ-4B milik Tentera Udara Amerika Syarikat terbang di kawasan timur dan barat perairan di Semenanjung Korea selama lapan hari berturut bermula daripada 2 hingga 9 Julai.”

“Pesawat-pesawat dan dron pengintip Amerika Syarikat itu telah melakukan penerbangan provokasi di kawasan strategik Korea Utara,” kata jurucakap Kementerian Pertahanan Korea Utara itu.

Beliau berkata pesawat pengintip milik Tentera Udara Amerika Syarikat telah menceroboh ruang udara Korea Utara sebanyak beberapa kali.

Jurucakap Korea Utara itu juga berkata bahawa negara tersebut sedang berada pada tahap kesabaran tertinggi dan kawalan diri tetapi kesemuanya “mempunyai had.”

“Tidak ada jaminan bahawa insiden yang mengejutkan seperti penembakan jatuh pesawat pengintip strategik Tentera Udara Amerika Syarikat tidak akan berlaku,” menurutnya lagi.

Pesawat perisik elektronik RC-135W Rivet Joint milik Tentera Amerika Syarikat.
Pesawat pengintip U2
RQ-4B “Global Hawk”

 

Kenyataan itu juga memberikan contoh insiden yang berlaku pada 1969 apabila tentera Korea Utara menembak jatuh pesawat pengintip EC-121 milik Amerika Syarikat yang mengorbankan 31 orang warganya.

Ia juga memetik insiden penembakan jatuh helikopter Amerika di Korea Utara pada 1994 serta pemintasan pesawat pengintip RC-135 oleh pesawat pejuang Korea Utara pada 2003.

Sementara itu Kim Yo Jong, adik perempuan kepada pemimpin utara Korea Utara Kim Jong-un berkata, Pyongyang akan mengambil tindakan yang tegas jika Amerika Syarikat menceroboh ruang udaranya sekali lagi.

Dipetik sebagai berkata oleh agensi berita Reuters, Kim menuduh Amerika Syarikat menceroboh ruang udaranya dengan melakukan penerbangan-penerbangan pengintipan.

Jurucakap tentera Korea Selatan pula menafikan dakwaan oleh Korea Utara dan mahu Pyongyang menghentikan segala “pembohongan” yang hanya meningkatkan ketegangang di Semenanjung Korea. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

AmaranAmerikafeaturedKorea UtaraPesawat PengintipRuang Udara
Comments (0)
Add Comment