(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pyongyang bertindak memutuskan hubungan dengan Malaysia berhubung tindakan mahkamah di Kuala Lumpur memerintahkan seorang warga Korea Utara diekstradisi ke Amerika Syarikat bagi menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram.
Pengumuman mengenai tindakan memutuskan hubungan dengan Malaysia itu dilakukan oleh agensi berita rasmi Korea Utara rasmi, KCNA.
Menurut agensi terbabit di dalam satu kenyataan, Malaysia telah “melakukan jenayah yang tidak boleh dimaafkan dengan memaksa penghantaran pulang rakyatnya yang tidak bersalah ke Amerika Syarikat.”
Kementerian Luar Korea Utara dengan ini “mengumumkan hubungan dengan Malaysia telah putus secara keseluruhannya.”
Kenyataan itu juga menyebut, tindakan Malaysian itu adalah sesuatu yang “hostile” dan dilakukan di atas tekanan daripada Amerika Syarikat.
Ia juga mengatakan dakwaan yang rakyatnya terlibat dalam aktiviti (pengubahan wang haram) yang di Singapura adalah fabrikasi (tidak benar).
Seorang lelaki Korea Utara akan diekstradisi dari Malaysia untuk menghadapi tuduhan pengubahan wang haram di Amerika Syarikat (AS) selepas gagal dalam rayuan terakhir untuk mencabar perintah ekstradisi terhadapnya.
Mun Chol Myong, yang tinggal di Asia Tenggara selama sedekad bersama keluarganya, ditangkap pada 2019 berikutan permohonan ekstradisi oleh Washington.
Beliau menafikan dakwaan FBI bahawa dirinya terbabit mengetuai kumpulan penjenayah yang melanggar sekatan dengan membekalkan barang terlarang ke Korea Utara dan mencuci dana haram melalui syarikat samaran.
Chol Myong mencabar perintah ekstradisi itu di mana peguamnya berhujah dalam prosiding rayuan bahawa dia tidak bersalah dan terperangkap di tengah-tengah ketegangan diplomatik di antara Washington dan Pyongyang.
Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya, dengan memutuskan semua syarat di bawah perjanjian ekstradisi antara AS dan Malaysia sudah dipenuhi.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Dusuki Mokhtar, terdahulu berhujah, bahawa ia adalah menjadi tugas kerajaan untuk memudahkan proses ekstradisi.
“Ini membabitkan hubungan antara dua negara, kita tidak perlu bimbang mengenai hak untuk mendapatkan perbicaraan yang adil… Perbicaraan yang sebenarnya akan berlangsung di AS,” katanya.
Chol Myong, 50-an, tidak berada di mahkamah ketika keputusan itu, bagaimanapun isteri dan anak perempuannya hadir pada prosiding berkenaan.
Peguamnya, Gooi Soon Seng, berkata keluarga itu kecewa dengan keputusan itu, dan pihak berkuasa kini akan memutuskan tarikh anak guamnya akan diekstradisi.
Chol Myong didakwa dengan empat tuduhan pengubahan wang haram serta dua tuduhan konspirasi untuk membersihkan wang haram, dan menurut Soon Seng, tuduhan berkenaan berkaitan dengan pekerjaannya di Singapura.
Tidak dinyatakan apakah barangan yang dibekalkan tetapi terdapat kes perniagaan di Singapura yang mengirim barangan mewah, seperti minuman keras dan jam tangan, ke Korea Utara.
Eksport beberapa barang mewah ke Korea Utara adalah dilarang sebagai sebahagian daripada sekatan yang dikenakan ke atas Pyongyang oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan negara lain termasuk AS kerana tindakan negara itu berhubung program senjatanya.